`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, February 22, 2024

Peja bantu menang 5 kerusi di sebalik kritikan, kata ketua PN NS

 

Mohamad Hanifah Abu Baker menggantikan Ahmad Faizal Azumu sebagai ketua PN Negeri Sembilan berkuat kuasa 12 Feb.

PETALING JAYA: Ketua Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan Mohamad Hanifah Abu Baker berkata kejayaan Ahmad Faizal Azumu menghadiahkan lima kerusi pada PRN lalu harus diiktiraf di sebalik kritikan daripada rakannya, PAS.

Adun Labu itu yang menggantikan Faizal atau Peja sebagai ketua PN Negeri Sembilan berkuat kuasa 12 Feb menyifatkan kritikan berkenaan bukan mewakili parti sebaliknya peribadi.

“Ulasan mantan pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan itu lebih kepada pandangan peribadi beliau, kehadiran Peja (Faizal) sebenarnya membantu PN di Negeri Sembilan, tiada kekurangan semua dirancang dalam kempen PRN lalu berjalan baik yang dipersetujui pimpinan pusat.

“Beliau bantu kita menang lima DUN di Negeri Sembilan, saya akan menambah baik segala kekurangan untuk menarik sokongan rakyat kepada PN,” katanya kepada FMT.

Hanifah merujuk kenyataan bekas pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Rafiei Mustapha pada Nov lalu mendesak timbalan presiden Bersatu terbabit meletak jawatan ketua PN negeri kerana seolah-olah tidak lagi berminat.

Faizal dilantik ketua Negeri Sembilan pada Jun tahun lalu, dua bulan menjelang PRN yang menyaksikan komponen itu gagal menewaskan gabungan Barisan Nasional (BN) serta Pakatan Harapan (PH) apabila hanya menang lima kerusi iaitu Labu, Serting, Bagan Pinang, Paroi dan Gemas.

Menurutnya, kekurangan perlu diperbaiki termasuk memastikan ahlinya sentiasa mendekati rakyat menjelang pilihan raya, walaupun menafikan dakwaan PN meletakkan ramai calon bidan terjun menyebabkannya kalah pada PRN.

Hanifah berkata dalam menjalankan tugas baharu itu beliau akan mendapat nasihat pemimpin veteran PAS, Bersatu dan Gerakan termasuk bekas menteri besar Rais Yatim dalam usaha menawan Negeri Sembilan pada PRU akan datang.

“Kita sentiasa berhubung dengan pimpinan lama kerana mereka mempunyai pengalaman luas dalam politik.

“Tak semua kita putuskan itu baik kadang-kala ada kelemahan. Jadi kita boleh dapatkan nasihat mereka seperti Rais dan Eddin Syazlee Shith,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.