`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, February 9, 2024

Reformasi Anwar perlahan, Bersih wajar turun ke jalan, kata wakil rakyat PKR

 

Pada 2015 dan 2016 Bersih mengadakan demonstrasi jalanan berhubung skandal 1MDB. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Hassan Karim daripada PKR berkata reformasi dilaksanakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim terlalu perlahan dan Bersih wajar turun ke jalanan menuntut janji.

Ahli Parlimen Pasir Gudang mendakwa, disebabkan itu rakyat hampa, kecewa, putus asa dan hilang harapan terhadap kerajaan perpaduan pimpinan Anwar.

“Jadi memang wajar jika Bersih memutuskan turun ke jalan raya untuk menyuarakan bantahan mereka terhadap perubahan yang sehingga kini gagal dilaksanakan Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar,” katanya kepada FMT.

Rabu lalu, Bersih menggesa pentadbiran Anwar tidak lagi berdalih dan melaksanakan semua agenda reformasi dijanjikan sebelum menjadi kerajaan atau bersedia berdepan demonstrasi jalanan.

Pengerusi Bersih, Muhammad Faisal Abdul Aziz, berkata rakyat kecewa dan marah berikutan perkembangan mutakhir pelaksanaan agenda reformasi dalam negara yang indah khabar dari rupa.

Bagaimanapun, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata kerajaan tidak pernah melupakan reformasi institusi kerana ia antara perkara utama diperjuangkan pentadbiran Anwar.

Sementara itu, Hassan berkata, perjuangan Bersih untuk pilihan raya bebas dan adil turut meliputi tuntutan reformasi seperti disuarakan PH dalam manifesto pilihan raya mereka.

Katanya, harapan rakyat terhadap perubahan yang dicetuskan reformasi sangat besar dan tinggi.

Menurutnya, kerajaan pimpinan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini turut gagal melaksanakan reformasi dijanjikan, dengan menyatakan dokumen manifesto PH bukan kitab suci.

“Jadi apabila tokoh reformasi Anwar Ibrahim yang melancarkan gerakan reformasi sejak 1998 menjadi perdana menteri, maka tentu sekali harapan rakyat akan berlaku perubahan seperti dijanjikan.

“Tetapi selepas lebih satu tahun kerajaan perpaduan pimpinan Anwar mentadbir Malaysia, terlalu perlahan reformasi dilaksanakan. Rakyat hampa, kecewa, putus asa dan hilang harapan,” katanya.

Bersih sebelum ini menganjurkan demonstrasi jalanan sejak 2007 sebagai protes terhadap penyelewengan pilihan raya dan untuk menuntut pilihan raya adil. Pada 2015 dan 2016 Bersih turut mengadakan demonstrasi berhubung skandal 1MDB. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.