`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, February 9, 2024

Tak jejas pun Surendran keluar, tapi PKR wajar turun padang, kata penganalisis

 

N Surendran menyertai PKR ketika era reformasi pada lewat 1990-an.

PETALING JAYA: Tindakan bekas naib presiden, N Surendran, keluar parti atas alasan PKR gagal melaksanakan pembaharuan yang dijanjikan dipercayai tidak akan menjejaskan parti itu, kata penganalisis.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, isu dibangkitkan bekas Ahli Parlimen Padang Serai itu tidak begitu dekat dengan hati kebanyakan rakyat.

Sebagai misalan, beliau berkata kebanyakan rakyat lebih peduli tentang impak tindakan kerajaan pada harga barang dan peluang pekerjaan, berbanding pengasingan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya atau meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bawah Parlimen.

“Sokongan sebenar rakyat kepada parti bukan hanya bersifat isu teknikal dan berprinsip yang diperjuangkan kumpulan masyarakat sivil,” katanya kepada FMT, dan menambah rakyat mungkin lebih menerima “realiti politik sebenar” dihadapi pentadbiran Anwar Ibrahim, berbanding golongan aktivis.

Mazlan Ali.

“Kerajaan perpaduan bukan kerajaan mutlak Pakatan Harapan (PH). Kerajaan ini disertai parti utama dari Semenanjung, Sabah, dan Sarawak. Anwar nak buat reformasi mestilah yang terpilih sahaja dan perlu ambil masa.”

Surendran memaklumkan peletakan keahliannya kepada Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil secara terbuka di media sosial, kelmarin. Isnin lalu, beliau menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap sikap berdiam diri PH berhubung siasatan ke atas bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua daripada DAP.

Bukit Aman menyiasat Pua berhubung kenyataan tentang pengurangan hukuman bekas perdana menteri Najib Razak.

Mazlan berkata, peristiwa lalu menyaksikan PKR tidak lumpuh selepas ditinggalkan oleh ahli politik yang lebih berpengaruh, misalnya bekas timbalan presiden, Azmin Ali.

“Azmin keluar PKR bawa banyak pemimpin. PKR tak terjejas sangat, akhirnya berkembang semula,” katanya.

Surendran menyertai PKR ketika era reformasi pada lewat 1990-an. Beliau merupakan peguam, selain berkhidmat sebagai penasihat kumpulan Lawyers for Liberty.

Salawati Mat Basir.

Salawati Mat Basir dari Universiti Kebangsaan Malaysia tidak nampak akan berlaku keluar parti beramai-ramai, namun menyarankan PKR dan PH menjelaskan kepada masyarakat sebab-sebab “kegagalan melakukan reformasi”.

“Pucuk pimpinan PH perlu turun padang membuat penjelasan bagi memastikan sokongan rakyat kepada gabungan itu kekal pada PRU akan datang,” katanya.

“Kalau tidak rakyat akan anggap Anwar gagal.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.