Kenalan saya, seorang Melayu yang sifatkan dirinya “old school” berkongsi kenangan di Facebook mengimbau kembali zaman persekolahan pada tahun 60-an. Katanya semasa pesta kuih bulan yang diraikan masyarakat Cina beliau turut bersama bermain tanglung. Macam apa yang saya lakukan juga masa budak-budak. Agaknya gologan “old school” semua macam ini.
Dan kata kawan saya itu lagi apabila perarakan tarian naga datang ke bandar (beliau duduk di Ipoh hingga sekarang) sempena Tahun Baharu Cina beliau akan menari bersama. Namun katanya “sedih hari ini itu semua dilabel haram oleh orang yang anggap diri mereka ulama”.Bercakap mengenai tarian naga, baru-baru ini Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari memuat naik satu klip video pendek memaparkan perarakan replika naga yang beliau kapsyenkan “satu perarakan naga yang cantik bersama bendera negara China”.
Perarakan itu berlangsung di Melaka tentulah sebahagian sambutan Tahun Baharu Cina. Untuk berlaku adil perlu dinyatakan Fadhli tidak membuat apa-apa komen selain kapsyen itu. Namun ada pihak melihat itu sebagai ada yang tersurat dan tersirat. Wallahuaklam. Namun hantaran Facebook Fadhli itu mengundang komen (saya kira penyokong beliau) yang agak kasar dan kesat bukan sahaja kepada penganjur perarakan tetapi juga terhadap orang Cina. Saya tidak akan ulangi apa dilemparkan.
Pengerusi Jawatankuasa Jonker Walk Gan Tian Loo dipetik Utusan Malaysia menyifatkan penularan klip video berdurasi dua minit 19 saat itu satu “cubaan menimbulkan salah faham dalam masyarakat Malaysia”.
Sekali lagi untuk berlaku adil kali ini untuk Gan, perlu dinyatakan beliau tidak menuding jari kepada sesiapa. Sehingga kini tidak diketahui siapa yang menghasil klip video itu. Menurut Gan, naga yang diarak merupakan simbolik meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dengan China.
“Bendera China dihias pada sisi kiri replika berkenaan manakala bendera Malaysia pula berada sebelah kanan naga tetapi tidak ditunjukkan dalam video itu”. Apa yang Gan maksudkan video itu hanya menunjuk bendera China tidak tunjuk Malaysia. Tidak tahu secara sengaja atau tidak, atau kebetulan.
Kata seorang kawan yang pro-PAS, lebih “manis” jika bendera Malaysia dan China diletakkan berselang-seli bagi menggambarkan hubungan dimaksudkan. Dan katanya apa kaitan sambutan Tahun Baharu Cina dengan hubungan diplomatik yang terjalin antara Malaysia dengan China?
Saya akui ada logik apa beliau katakan itu. Bagi saya hal tidak seharusnya timbul. “So very unnecessary“. Tanpa menyalahkan penganjur perarakan, pada pandangan saya, mereka seharusnya memisahkan sambutan Tahun Baharu Cina dengan sambutan ulang tahun hubungan diplomatik Malaysia-China. Buat dua upacara. Dan golongan yang komen pula tidak perlulah keterlaluan dalam menyuarakan ketidakpuasan hati.
Beralih kepada isu kampung baru. Bukan Kampung Baru Kuala Lumpur tempat saya dilahirkan. Ini soal kampung baru kawasan penempatan masyarakat Cina. Diberitakan Jun lalu Nga Kor Ming, menteri perumahan dan kerajaan tempatan mencalonkan tujuh kampung baru di Pulau Pinang, Selangor, Perak, Melaka dan Johor sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco.
Baru-baru ini dilaporkan beliau bercadang mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor. Tidak dapat dipastikan sama ada cadangan ini sesuatu yang baharu atau merujuk pencalonan kampung baru di Selangor yang dilaporkan Jun lalu.
Apa pun tindakan Nga dikecam keras NGO Melayu yang mendakwa cadangan itu boleh menimbulkan ketidakharmonian kaum. Kita faham yang dimaksudkan. NGO Melayu mahu Nga dipecat. Respons Nga cadangannya bukan “zero end game“.
Beliau menafikan dakwaan mencabar kepentingan hak Melayu dan menunjuk ke arah pelbagai inisiatif kementerian diterajuinya sepanjang 2023 tanpa mengira kaum membuktikan “saya bukan seperti apa yang didakwa”.
Kita tahu Kampung Baru Cina ada sejarahnya tersendiri dalam lapisan sejarah negara. Suka atau tidak itu hakikatnya. Saya tidak tahu apa manfaat yang dibawa kepada kampung-kampung baru Cina jika ia diiktiraf Unesco. Yang penting penempatan itu semua dijaga dan diuruskan baik. Tak kiralah diiktiraf Unesco atau tidak. Dan NGO Melayu yang mengakui pembela bangsa tidak perlulah keterlaluan. Hal ini juga bagi saya “so very unnecessary“.
Teringat saya satu sambutan Tahun Baharu Cina semasa remaja. Saya dan kawan, tiga Melayu dan seorang India berkunjung ke rumah Leong Meng kawan baik saya. Sebaik kami masuk ke rumahnya ayah Leong tangkas bangun. Lintang-pukang dan kelam-kabut pergi ke meja makan dan membawa satu dulang ke dapur. Di atas dulang itu seekor anak babi panggang. Ayah Leong memohon maaf sambil berkata “ni kamu semua tak makan”. Langkah beliau membebaskan meja daripada benda yang kami tidak makan lalu membolehkan kami menikmati limau, kacang, kuaci dan berjenis biskut.
Ada satu lagi cerita Tahun Baharu Cina. Saya dan keluarga pergi ke rumah kawan lama Cheng Lee. Sedang kami berbual di ruang tamu adiknya memandu kereta keluar dari pekarangan rumah.
Tidak lama kemudian beliau pulang dengan bungkusan berisi sate. Sate Anika yang popular waktu itu. Saya tahu sate dihidangkan kerana Cheng mahu saya sekeluarga makan tanpa was-was. Keluarga Cheng dan Leong menghormati kepercayaan dan amalan saya.
Menutup penulisan ini saya sampaikan satu lagi kisah semasa Tahun Baharu Cina disambut. Pada malam tahun baharu saya dan kawan-kawan dari Kampung Baru pergi ke panggung wayang Odeon di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Bangunannya masih ada di depan Kompleks Pertama, panggung wayang sudah tiada.
Di sepanjang jalan depan panggung deretan peniaga Cina menjaja rokok (boleh hisap dalam panggung waktu itu), gula-gula, kacang dan sebagainya. Saya agak terkejut mereka masih berniaga pada malam hari perayaan mereka.
Kata seorang lelaki tua, majlis makan malam keluarga beliau sudah diadakan pukul 6 petang itu. Selesai makan mereka terus ke Odeon untuk berniaga seperti biasa. Beliau dibantu isteri serta anak lelaki dan perempuan. Saya tanya mereka tidak sambut tahun baharu? Jawabnya ringkas “kalau kaya hari-hari pun tahun baharu”. Kesimpulannya bukan semua orang Cina tauke besar kaya-raya.
Saya tidak ingat filem apa yang kami tonton malam itu. Pada tahun 1973 antara filem “box office” ialah Enter the Dragon dibintangi Bruce Lee. Tajuk sesuai untuk digunakan tahun ini kerana orang Cina sedang menyambut tahun naga. Xin Nian Kuai Le buat masyarakat Cina. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.