`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, February 10, 2024

Sanusi, tunggakan gaji Kedah FC tidak boleh selesai dengan menganjing

 

Lelong saja kelab yang tak mampu bayar gaji pemain, kata seorang pemerhati sukan yang sudah muak penyakit tunggakan gaji masih terus membelenggu bola sepak Liga Malaysia (Liga M), tidak terkecuali membabitkan pasukan yang ditakrif sebagai besar seperti Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Kuala Lumpur City (KLC) FC.

Sambil itu mungkin satu cadangan baik untuk ‘membersihkan’ liga, Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Sanusi Nor harus otaknya lebih bergeliga. Cadangannya ialah supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ambil alih saja pengurusan KDA FC dan bayar gaji tertunggak pemain-pemainnya dari musim lalu yang belum dilunaskan.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan UiTM Shah Alam Mohd Sadek Mustafa dalam mencadangkan pasukan bermasalah dilelong dengan hutang-hutangnya sekali Disember lalu, turut menyorot bagaimana masalah tunggakan gaji pemain seakan-akan tiada jalan penyelesaian walaupun Liga M sudah lama memasuki era profesional selain pasukan-pasukan turut diswastakan dan tidak lagi mewakili negeri. Tindakan tegas sudah diambil Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebelum ini, antaranya terhadap Melaka United dan Sarawak United yang disingkirkan daripada saingan liga musim 2023.

Sebagai rekod, Perak FC juga hampir ketiadaan pasukan dalam liga musim 2023 disebabkan tidak mendapat lesen bertanding kerana hutang yang ditanggung oleh Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) hinggalah syarikat senaraian awam XOX Berhad dan pengerusinya Abdul Azim Mohd Zabidi tampil menyelamatkan pasukan menerusi penswastaan pada saat-saat akhir.

Bagi saingan musim 2024/2025 yang akan bermula pada Mei ini pula, Kelantan FC tidak mendapat lesen untuk turut bertanding kerana masalah serupa manakala KDA FC dan KLC FC diberi kelonggaran untuk menyelesaikan masalah masing-masing sebelum liga yang tarikh mulanya kini dianjak ke 10-12 Mei berbanding tarikh asalnya 3-5 Mei untuk sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) diluluskan FIFA.

Dalam pada itu, MFL selaku pentadbir liga tidak pula mengatakan kedua-dua kelab berkenaan sudah terlepas melainkan pengguguran kedua-duanya hanya boleh diambil selepas pasukan terbabit melalui proses atau peringkat hukuman tertentu sekiranya masalah tunggakan gaji masih tidak dapat diselesaikan.

Seperti dijelaskan Rabu lalu oleh Ketua Pegawai Eksekutif MFL Stuart Ramalingam, pembatalan penyertaan atau penarikan lesen hanya akan diambil sebagai jalan terakhir selepas hukuman lain dikenakan. Tetapi ia tidak bermakna KDA FC dengan reputasinya sebagai antara pencabar utama dalam liga akan mendapat sebarang keistimewaan melainkan ada langkah konkrit diambil untuk memperbaiki keadaan.

Di sebalik KDA FC juga sudah diswastakan untuk liga musim lalu dan bukan lagi tanggungan KFA, ia harus sesuatu yang terpuji apabila Sanusi selaku menteri besar Kedah tidak bersikap lepas tangan, sebaliknya tampil untuk membantu menyelesaikan masalah pasukan yang menduduki tangga keempat liga musim 2023 itu.

KDA FC sudah pun terlepas kapal terbang sebelum ini dan penyokongnya tidak akan dapat terima sebarang alasan jika skuad Sang Kenari itu terlepas kapal terbang sekali lagi. Menjelang dua perlawanan terakhir musim lalu, KDA FC yang bersaing untuk naib juara liga dan layak ke saingan peringkat Asia menyaksikan harapannya punah oleh masalah tunggakan gaji pemain hingga tewas 0-1 kepada Selangor FC di Alor Setar pada 2 Dis dan 0-2 kepada Sabah FC di Kota Kinabalu pada 17 Dis untuk kesudahannya sekadar menduduki tangga keempat.

Betapa mengecewakan hingga Azraai Khor Abdullah – jurulatih legenda yang membawa Kedah meraih gelaran ‘double treble’ pada 2007 dan 2008 – yang meninggal dunia kerana serangan stroke kelmarin, pernah melahirkan rasa terkilan.

Harus tidak silap untuk penyokong menyandarkan harapan kepada Sanusi sebagai ‘penyelamat’ di samping pemilik KDA FC Mohd Daud Bakar untuk menyuntik dana terutama daripada barisan penaja agar masalah kewangan yang membelenggu pasukan tidak terus berlarutan.

Cuma, Sanusi dikenali gemar berjenaka hingga ada kalanya sukar untuk membezakan bila beliau berseloroh dan bila pula beliau serius dan terpulang kepada umum untuk membuat tafsiran sendiri. Itu juga mungkin berlaku kekhilafan kerana Sanusi boleh saja menepis apa saja kenyataannya yang dianggap serius sebagai berjenaka dalam helahnya untuk melepaskan diri kemudian.

Selepas mempengerusikan mesyuarat Exco negeri di Alor Setar pada Rabu, Sanusi mencadangkan agar SPRM mengambil alih pengurusan KDA FC. Alasannya ialah penaja yang berminat menaja kelab itu menarik diri gara-gara siasatan agensi itu ke atas KFA berkaitan isu rasuah. Bakal penaja, katanya, bimbang sumbangan yang hendak disalurkan kelak kepada KDA FC akan dikaitkan dengan isu berkenaan.

“Orang bukan faham KFA dan KDA FC berbeza, mereka tahu dua-dua (entiti) itu pasukan bola saja. Bila dibuat tangkapan dan dituduh rasuah di mahkamah sedangkan ia tidak berlaku, penaja lari kerana mereka kata ada rasuah. Saya cadangkan SPRM ambil alih pasukan bola sepak KDA FC sebab mereka pandai sangat, tentu boleh urus pasukan bola dan bayar gaji tertunggak pemain,” katanya.

Cabaran Sanusi agar SPRM yang mengurus KDA FC harus satu lagi jenakanya atau paling tidak pun, menteri besar Kedah itu sekadar menganjing agensi berkenaan. Siasatan SPRM dalam isu rasuah KFA dan tunggakan gaji KDA FC adalah dua isu berbeza dan tidak berkaitan. Lebih elok Sanusi membiarkan agensi itu menjalankan tanggungjawabnya sambil beliau pula fokus kepada ikhtiar mendapatkan penaja lain.

Lagipun, Sanusi jugalah yang sebelum ini berjanji bahawa kerajaan negeri tetap akan terus memberi bantuan kepada KDA FC meskipun pasukan itu sudah diswastakan. Ketika berucap merasmikan Wisma KFA di Alor Setar pada 24 November 2023, menteri besar berkata kerajaan negeri melalui KFA tetap menyuntik kewangan buat KDA FC yang membawa nama Kedah dalam saingan Liga-M.

“Kita masih lagi membantu KDA FC iaitu dari kerajaan negeri ke KFA, kemudian ke KDA FC dan ianya masih lagi, dan jumlahnya pula saya tak boleh nyatakan tetapi kerajaan negeri tetap memberi. Berkaitan isu gaji pula kerajaan negeri juga membantu suntikan kewangan walaupun tidak beri semuanya namun KFA akan tolong. Kebanyakan pasukan bola sepak di Malaysia masih diberi sokongan oleh negeri terutama persatuan bola sepak negeri dan kerajaan negeri,” katanya ketika itu.

Namun, nada pertuturannya sudah berubah Rabu lalu apabila Sanusi berkata kerajaan negeri tidak boleh lagi mencampuri urusan KDA FC kerana ia merupakan kelab swasta yang dimiliki individu serta diuruskan sebagai sebuah syarikat.

“Saya dimaklumkan pemilik KDA FC, Tan Sri Mohd Daud Bakar sedang berusaha menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain dan pengurusan pasukan secepat mungkin. Ketika pasukan diurus bawah KFA, saya sudah tegaskan tidak akan guna duit kerajaan negeri untuk bayar gaji pemain sebab ini duit orang ramai. Bila sudah diswastakan jadi tanggung jawab syarikat tersebut untuk urus gaji,” katanya.

Mana satu ni Sanusi, nak tolong atau tak nak tolong? - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.