`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, February 21, 2024

Taib nakhoda era moden Sarawak

 

Abdul Taib Mahmud terus menabur bakti sehingga riwayat terakhirnya dan semua pengorbanan itu diabadikan dalam lembaran sejarah moden Bumi Kenyalang.

KUCHING: Pemergian Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Abdul Taib Mahmud merupakan kehilangan cukup besar buat Sarawak dan negara.

Figura penting Bumi Kenyalang itu yang turut menerima gelaran bapa pemodenan Sarawak meninggal dunia kira-kira 4.40 pagi tadi pada usia 87 tahun di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

Menelusuri lembaran sejarah moden Sarawak, jika tidak membicarakan jasa dan pengorbanan Taib, ia boleh diibaratkan umpama mengoyak atau mengasingkan sejumlah besar helaian muka surat dari sebuah buku yang tebal.

Tokoh penting itu merupakan watak utama yang menakhoda Sarawak sebagai ketua menteri selama 33 tahun dalam melayari cabaran 1980-an sehingga memasuki abad ke-21.

Dilahirkan pada 21 Mei 1936, Taib menerima pendidikan rendah di Sekolah St Joseph di Miri sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Kebangsaan St Joseph di Kuching.

Allahyarham kemudiannya menerima biasiswa (New Colombo Plan Scholarship) untuk mengikuti pengajian dalam bidang undang-undang di Universiti Adelaide, Australia sebelum kembali ke Sarawak.

Permulaan khidmat Taib selama 61 tahun dalam pentadbiran kerajaan serta gelanggang politik bertitik tolak apabila beliau dilantik sebagai menteri komunikasi dan kerja raya Sarawak dalam Kabinet Sarawak pertama yang diterajui Ketua Menteri ketika itu, Stephen Kalong Ningkan pada 1963.

Walaupun menganggotai Kabinet negeri pertama ketika baru berusia 27 tahun, Allahyarham menunjukkan kesediaan serta kematangannya dalam menghadapi cabaran demi negeri kelahirannya yang pada awal penubuhannya berdepan ancaman komunis serta konfrontasi dari negara jiran Indonesia.

Setelah berkhidmat selama beberapa tahun dalam kerajaan negeri, panggilan untuk berbakti di peringkat persekutuan tiba apabila beliau memenangi kerusi Parlimen Samarahan pada 1969.

Khidmatnya di peringkat persekutuan memberi pendedahan besar buat dirinya apabila memegang pelbagai portfolio penting seperti menteri perusahaan utama (1972), menteri perancangan am dan penyelidikan sosio ekonomi (1974), menteri pertahanan (1978) dan menteri Wilayah Persekutuan (1980).

Bagai sirih pulang ke gagang, 1981 menjadi tahun penting buat Taib apabila meletak jawatan sebagai menteri Wilayah Persekutuan untuk bertanding dalam PRK Dewan Undangan Negeri Sebandi.

Setelah menang tanpa bertanding dalam PRK itu, Allahyarham dilantik menteri tanah dan galian Sarawak sebelum menggantikan bapa saudaranya, Abdul Rahman Ya’kub sebagai ketua menteri Sarawak keempat pada 26 Mac 1981.

Selaku watak utama mengetuai kerajaan Sarawak selama 33 tahun, pelbagai agenda pembangunan diperkenalkan Taib dalam usaha membawa kemajuan kepada negeri itu yang agak terbelakang ketika itu.

Antara usaha dilaksanakan Taib untuk merancakkan lagi aktiviti ekonomi di Sarawak ialah menubuhkan zon perindustrian di Samajaya, Demak Laut, Samalaju dan Tanjung Manis yang mewujudkan peluang pekerjaan buat penduduk tempatan.

Di bawah pentadbiran Allahyarham juga, Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) ditubuhkan sebagai pemangkin pembangunan tenaga boleh baharu seperti tenaga hidro di negeri itu.

Loji hidroelektrik pertama Sarawak, iaitu empangan Batang Ai yang berkuasa 108 megawatt (MW) beroperasi pada 1985, diikuti Bakun (2,400MW) pada 2011 dan Murum (944MW) pada 2014.

Pentadbiran Taib turut menyaksikan penubuhan bahagian pentadbiran baharu seperti di Mukah, Betong dan Samarahan, selain pembinaan Dewan Suarah di semua bandar utama di Sarawak untuk keperluan sosial masyarakat.

Selain aspek pembangunan fizikal, pembangunan modal insan turut menjadi keutamaan Taib dalam memastikan anak Sarawak mendapat pendidikan berkualiti serta berkemahiran tinggi.

Atas dasar itu, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Universiti Teknologi Swinburne kampus Sarawak, Universiti Curtin ditubuhkan, selain memastikan Sarawak mempunyai universiti awam pertamanya dengan penubuhan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Perjalanan Taib sebagai ketua menteri Sarawak berakhir apabila beliau meletak jawatan pada 28 Feb 2014 dan digantikan Adenan Satem.

Selepas hampir 33 tahun menabur jasa sebagai ketua menteri, Taib secara rasmi dilantik Yang di-Pertua Negeri Sarawak ketujuh menggantikan Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng pada 1 Mac 2014.

Selepas hampir 10 tahun memegang jawatan itu, Taib digantikan Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mengangkat sumpah pada 29 Jan lalu.

Walaupun berdepan pelbagai sentimen terhadap legasi pentadbirannya, Taib terus menabur bakti sehingga riwayat terakhirnya dan semua pengorbanannya itu diabadikan dalam lembaran sejarah moden Bumi Kenyalang. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.