`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, March 25, 2024

Antara boikot dan tidak boikot

 

Berkata Akmal Saleh, si ketua Pemuda Umno yang pada masa ini sedang mendapat perhatian ramai, isu kalimah Allah isu akidah yang melebihi kepentingan menjaga ekonomi golongan kaya.

‘Peringatan’ itu sebenarnya beliau tujukan pada Ameer Ali Mydin, si pemilik rangkaian pasar raya Mydin. Ada lagi mesej Akmal kepada Ameer iaitu Pemuda Umno akan melakukan tindakan yang sama yakni memboikot Mydin jika Mydin menjual stoking tertera kalimah Allah seperti mana yang berlaku di sebuah cawangan KK Mart.

Keras. Mungkin tersentak juga Ameer dibuatnya. Imbau kembali apa yang dikata Ameer yang mencetus reaksi keras Akmal. Pada 23 Mac lalu FMT memetik Ameer taikun peruncitan membidas Akmal yang meneruskan kempen boikot KK Mart dan menghangatkan isu walaupun permohonan maaf sudah dibuat.

Menurut laporan itu, Ameer serta komuniti perniagaan bimbang tindakan Ketua Pemuda Umno itu boleh menjejaskan keyakinan pelabur serta pasaran yang akhirnya menjejaskan periuk nasi pekerja terutama orang Melayu Islam.

Ameer mengaku isu kalimah Allah sememangnya serius tetapi berpendapat Akmal dan parti politik patut menjauhi isu raja, kaum dan agama (race, religion, royalty atau 3R) dan tidak menjadikan isu kalimah Allah sebagai “batu loncatan dalam politik”.

Namun beberapa hari lalu Majlis Tertinggi Umno dilapor ‘merestui’ tindakan ketua Pemudanya. Saya tidak persoalkan keikhlasan Akmal mempertahankan akidah. Namun saya tidak tahu sama ada beliau sedar atau tidak ada elemen keuntungan politik buat beliau dan partinya hasil tindakannya.

Maklumlah sebagai parti Melayu Umno mestilah dilihat mempertahan kalimah Allah, sesuatu yang amat dekat dan terlekat di hati umat Islam sebelum PAS atau Bersatu mengorak langkah. Kali ini diakui Umno melalui ketua Pemudanya mendahului – ambil langkah sebelum parti lawan. Seperti yang pernah saya tulis pada beberapa artikel terdahulu Umno di belakang PAS dan Bersatu dalam perebutan sokongan orang Melayu. Kemerosotan sokongan Melayu untuk Umno memuncak pada 2018.

Tetapi sehingga kini boleh kata ramai orang Melayu yang bukan ahli Umno bersetuju dengan tindakan Akmal dan menyahut seruannya. Saya nyatakan satu contoh. Ini bukan pasal tunjuk perasaan depan kedai KK Mart atau kata-kata kesat serta ancaman ke atas pekerja KK Mart.

Ini mengenai seorang kawan berbangsa Melayu yang pernah memegang jawatan tinggi dalam sebuah syarikat besar menulis di Facebook mempertikaikan “sampai bila korang nak bertengkar dan bergaduh pasal stoking? Cukup-cukuplah. Cuba berfikiran waras sikit”.

Respons beberapa pengikut Facebooknya ialah dengan membidas keras beliau. Mereka bekas kakitangan syarikat dan pernah bekerja di bawah beliau dahulu. Rasa hormat selama ini hilang serta-merta. Mungkin ini contoh kecil tetapi pada hemat saya significant untuk mengetahui sentimen sebahagian masyarakat Melayu dewasa ini berhubung isu ini. Ringkasnya orang Melayu yang sokong boikot akan kecam orang Melayu yang tidak sependirian.

Akmal dipetik Berita Harian 20 Mac lalu berkata jangan halang orang Melayu nak boikot KK Mart. Bolehkah dibaca desakan terus menerus beliau bererti boikot sampai KK Mart gulung tikar? Sebab kempen boikot terus dianjur meskipun maaf sudah dimohon rangkaian kedai serbaneka itu.

Malah Akmal tempoh hari berkata KK Mart mungkin boleh cari perniagaan lain. Ada orang menyifatkan itu sebagai perli tetapi mungkin juga ia membayangkan hasrat Akmal mahu melihat atau menjangka rangkaian KK Mart tutup kedai kerana pihaknya tidak akan berhenti gesa boikot dilakukan. Ertinya tidak akan puas sehingga KK Mart bungkus. Begitu?

Andai itu terjadi barisan tauke atau pemilik KK Mart akan mengalami kerugian tetapi mereka tetap mampu dan berkebolehan membuka perniagaan lain seperti disaran Akmal. Hakikatnya pada jangka masa panjang penderitaan mereka tidak akan berterusan.

Yang sengsara dan derita kita semua tahu iaitu pekerja bawahan KK Mart termasuk orang Melayu yang Umno selama ini dakwa bertekad mahu membela.

Dengan keadaan ekonomi tidak sihat, harga barangan mahal dan kos sara hidup tinggi kita semua tahu mereka akan tertekan dan terkesan. Sesungguhnya bukan senang dapat kerja waktu tidak menentu sekarang. Mungkin Akmal dan rakan-rakan dalam Umno boleh tolong carikan kerja untuk mereka. Mungkin syarikat yang dapat untung dengan penutupan KK Mart boleh beri pekerjaan. Mungkin.

DAP dan MCA membantah tindakan Umno menyaran boikot. Memang sebab dan alasan yang mereka ketengahkan ada benarnya tetapi perlu diakui ada juga elemen keuntungan politik untuk diraih. Kalau Umno mahu dilihat sebagai juara orang Melayu, DAP dan MCA mahu jadi wira orang Cina. Yang membimbangkan wujud keadaan Cina di satu pihak dan Melayu pada satu pihak walaupun ada orang Melayu yang tidak setuju tindakan Akmal. Keharmonian terjejas tidak bagus buat negara.

Saya dapati catatan Facebook oleh pengarah operasi Ilham Centre, Azlan Zainal, cukup wajar dihayati. Katanya “isu kalimah Allah ini menguji kita semua. Benar mempertahan Allah atau ada agenda atau punya kepentingan. Mengurus dengan ilmu atau tenggelam dalam amarah emosi hingga merobek kesatuan, mengheret sentimen, dan membenih kebencian”.

Azlan menegaskan memang tidak boleh berdiam atas kesilapan kerana salah tetap salah tetapi “boikot sementara waktu sebagai tekanan tapi ia bukan penyelesaian keseluruhan. Tapi kita perlu pencerahan”. Betul kata beliau.

Menurut beliau, kemaafan wajar disambut dengan tangan terbuka dan didekati juga memastikan apa yang berlaku tidak diulangi. “Waktu ini akhlak kita yang wajar diperterjemahkan. Dalam perang sekalipun jika ada yang memilih untuk berdamai itu lebih utama untuk dipertimbangkan.”

Kesimpulan terbaik pada hemat saya ialah apabila Azlan berkata: “kita berharap perang di Palestin dihentikan, adanya gencatan senjata tapi di sini kita sendiri seolah mahu berperang.” - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.