`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, March 13, 2024

Bayaran pencen penjawat awam meningkat lebih RM1 bilion setiap tahun, kata menteri

 

Dr Zaliha Mustafa berkata kerajaan dapat berjimat RM22,826.65 sebulan apabila Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak mengambil gaji pokok sejak dilantik pada Nov 2022. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Tanggungan kerajaan bagi pembayaran pencen untuk pesara perkhidmatan awam meningkat lebih RM1 bilion setiap tahun, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Zaliha berkata kerajaan membayar RM32.01 bilion pada 2023 kepada sejumlah 931,707 pesara bagi tujuan pencen, meningkat RM1.75 bilion berbanding RM30.26 bilion yang kerajaan bayar kepada 902,999 pesara pada tahun sebelumnya.

“Untuk 2021 pula sejumlah RM28.04 bilion dibelanjakan bagi pembayaran kepada 878,441 pesara manakala pada 2020, sejumlah 26.39 bilion dibayar kepada 859,422 pesara perkhidmatan awam.

“Bayaran pencen tersebut turut merangkumi Ahli Parlimen dan anggota pentadbiran, termasuk setiausaha politik dan juga hakim,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) yang meminta Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan jumlah sebenar pembayaran pencen kepada pesara penjawat awam pada 2020 sehingga 2023 dan berapa peratusan peruntukan pencen daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan.

Menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang), Zaliha menjelaskan sementara memperkenalkan kaedah baharu lantikan tetap pegawai kerajaan, lantikan kontrak (interim) akan diperkenalkan buat sementara waktu.

Katanya, tempoh lantikan adalah tidak melebihi tiga tahun sebelum mana-mana pegawai itu dilantik secara tetap tanpa melalui proses pengambilan semula.

Wong sebelum itu bertanya berapa banyak penjimatan dapat dinikmati kerajaan dalam jangka masa 20 tahun ke depan apabila sistem pencen penjawat awam digantikan dengan pengambilan secara kontrak bagi lantikan baru.

“Tanggungan faedah persaraan kerajaan diunjurkan semakin meningkat setiap tahun, pada 2023, jumlah perbelanjaan faedah persaraan adalah sebanyak RM32.01 bilion dan dijangka akan mencecah sebanyak RM46.36 bilion pada tahun 2030 dan RM120 bilion menjelang 2040.

“Bagi memastikan kerajaan dapat menguruskan perbelanjaan kewangan negara dengan lebih mampan, satu kaedah baharu lantikan tetap sedang diteliti dan pelaksanaan kaedah baharu lantikan tetap tersebut dijangka akan dapat memberi penjimatan kepada kerajaan daripada segi tanggungan pencen dalam tempoh jangka panjang,” kata Zaliha.

Menjawab soalan Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai jumlah penjimatan kerajaan apabila Anwar tidak mengambil gaji sebagai perdana menteri sejak dilantik pada Nov 2022, Zaliha berkata kerajaan dapat berjimat RM22,826.65 sebulan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.