`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, March 23, 2024

Bazar Ramadan, peranan PBT dan pengangkutan awam

 

Kesesakan jalan raya di waktu puncak, pagi dan petang sudah menjadi kebiasaan bagi ramai penduduk Lembah Klang. Tetapi keadaan hari ini lebih rumit dengan pembukaan sekolah untuk pelajar tahun pertama bermula pada tanggal 11 Mac yang lalu dan dekat pula dengan bermulanya Ramadan pada tanggal 12 Mac. Ini menyebabkan ramai ibu bapa anak-anak yang baru memulakan persekolahan turut terperangkap dalam kesesakan dan menyambut Ramadan pada masa yang sama.

Seingat saya, situasi sebegini belum pernah terjadi dan tidak ada rekod abad sekarang.

Kajian trafik menunjukkan kadar kesesakan jalan raya naik hampir 35% apabila sekolah dibuka semula sepuluh hari yang lalu, ditambah dengan sikap ibu bapa yang tidak mahu menggunakan bas atau van sekolah. Bermulanya Ramadan bererti bazar sementara turut dibuka. Kita semua tahu bazar ini satu keperluan kerana ramai yang pulang dari kerja kesuntukan masa untuk memasak dan menyediakan makanan untuk berbuka puasa. Tidak dapat dinafikan juga bazar akan menarik ramai pengunjung.

Akan tetapi ada beberapa tempat di mana lokasinya amat tidak sesuai dan sepatutnya tidak harus dibenarkan kerana ia memburukkan aliran trafik. Adalah tidak adil kepada seluruh pengguna jalan raya apabila bazar beroperasi di pinggir lebuh raya atau di jalan utama sesuatu bandar dan menyulitkan lagi kesesakan. Di sinilah letaknya peranan penting yang harus dimainkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

PBT harus lebih peka apabila merancang dan memastikan bazar Ramadan yang diatur tidak mengganggu aliran trafik sedia ada. PBT mesti ambil langkah tegas dan menilai di mana pengunjung berhenti dan meletakkan kenderaan. Di banyak kawasan yang ditinjau, bazar-bazar ini terletak di kawasan yang tidak mempunyai tempat letak kenderaan yang tersedia. Hampir semua pengunjung meletak kenderaan di pinggir jalan sibuk lantas menyempitkan laluan dan mengganggu aliran lalu lintas, serta mempunyai dua garisan kuning, sekaligus menyalahi peraturan jalan raya.

Inisiatif

Di dalam perbincangan isu ini, saya ingin menarik perhatian pembaca dan masyarakat amnya tentang langkah-langkah yang diambil oleh MRT Corp. Pihak MRT Corp membuka dan memberi peluang kepada peniaga-peniaga di tujuh lokasi khas (sila lihat gambar) untuk bazaar Ramadan.

Ini satu pendekatan baharu yang harus dipuji dan dialu-alukan oleh semua pihak termasuk PBT. Saya berharap pendekatan ini boleh dipanjangkan ke stesen-stesen pengangkutan awam yang lain seperti LRT, KTM, dan monorail yang mempunyai kawasan lapang untuk meletak kenderaan.

Pengendali pengangkutan awam bersama PBT boleh memainkan peranan dalam menyediakan lapangan letak kenderaan yang sesuai ke arah pendekatan ini. Dalam keadaan sekarang, walaupun syarikat milik awam ini mendominasi bidang pengangkutan awam, tetapi kereta persendirian masih mengatasi jumlah bilangan trip penumpang – kerana itu kesesakan jalan raya masih berterusan.

Dengan adanya bazar Ramadan atau ruang perniagaan secara berterusan, pengangkutan awam tersebut akan menjadi satu tarikan orang ramai bukan saja untuk berkunjung tetapi juga untuk mendorong penggunaan pengangkutan awam tersebut. Dalam masa yang sama, pendekatan ini tidak lagi mengganggu aliran trafik dan mungkin meningkatkan penggunaan pengangkutan awam. Ini mungkin juga satu pendekatan yang sesuai untuk PBT mempromosikan stesen-stesen pengangkutan awam ke arah meningkatkan penggunaannya.

Kita tahu bahawa peningkatan kadar penggunaan pengangkutan awam masih rendah jika dibandingkan dengan penggunaan kereta (dan motosikal) milik persendirian. Mungkin ramai di antara pengunjung bazar Ramadan akan beralih kepada pengangkutan awam dan tidak lagi menggunakan kenderaan sendiri bagi mengelak kesesakan jalan raya yang semakin parah.

Mungkin pada tahun-tahun mendatang, kita dapat mengadakan ruang perniagaan, termasuk bazar Ramadan, secara eksklusif di semua stesen-stesen pengangkutan awam di seluruh negara. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.