Khairy Jamaluddin pernah mengumpamakan empat Ahli Parlimen dari Bersatu sebagai ‘zombi’ selepas mengisytiharkan sokongan terbuka kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim tahun lalu – mereka sokong kerajaan perpaduan yang sebenarnya adalah lawan tapi pada masa sama tidak boleh sertai Barisan Nasional-Pakatan Harapan. Namun, keuntungan mereka ialah akan tetap dapat peruntukan bagi manfaat rakyat di kawasan masing-masing yang menjadi asbab utama mereka berbuat demikian. Apa yang tidak dinyatakan oleh bekas Ketua Pemuda Umno itu tapi mungkin boleh diambil maksud sedemikian ialah jika keempat-empatnya adalah ‘zombi’, maka kepimpinan Bersatu yang menaungi mereka ‘zombi’ juga kerana perkara itu berlaku di bawah pengawasan dan pentadbiran mereka ketika itu.
“Sekarang ini, mereka (empat wakil rakyat yang sokong Anwar) akan jadi ahli Parlimen ‘zombi’ yang mana Bersatu tidak boleh pecat mereka dan tidak boleh sertai Barisan Nasional-Pakatan Harapan, hidup macam ‘zombi’ dan akan dapat peruntukan,” ujarnya dalam satu program audio siar Keluar Sekejap kelolaannya bersama bekas ketua penerangan Umno Shahril Suffian Hamdan pada 10 Nov tahun lalu.
Ketika itu baru empat wakil rakyat Bersatu yang menyokong Anwar, iaitu Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid; Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman; Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Jeli Zahari Kechik yang berbuat demikian di antara 12 Okt dan 8 Nov. Mereka kemudian disertai dua lagi, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang), masing-masing pada 28 Nov dan 24 Jan 2024.
Pada waktu itu, harus tidak salah jika Khairy turut mengumpamakan kepimpinan Bersatu yang diketuai Muhyiddin sebagai ‘zombi’ kerana ketidakpekaan mereka yang menyebabkan Perikatan Nasional (PN) menanggung masalah kemudian, berkait penggubalan Akta Anti Lompat Parti. Ini di sebalik diingatkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika itu mengenai kelompangan dalam draf akta berkenaan. Ia berhubung klausa “wakil rakyat perlu mengosongkan kerusinya jika melanggar prinsip parti serta tidak mengikut pendirian parti di Parlimen”.
Mengimbau hujahnya dalam program itu, Khairy merumuskan tindakan keempat-empat Ahli Parlimen itu menyokong perdana menteri ‘diluangkan’ oleh ketidakpekaan beberapa pemimpin Bersatu menolak klausa itu yang kemudian memakan diri. Usul yang dibawa Wan Junaidi ketika itu agar peruntukan untuk mengisytiharkan pengosongan kerusi jika seorang ahli Parlimen bertentangan pendirian atau melanggar prinsip parti di Dewan Rakyat, ditolak oleh menteri dan wakil rakyat Bersatu. Sebagai perbandingan, DAP, Amanah, dan Umno kemudian membuat pindaan terhadap perlembagaan masing-masing untuk memasukkan klausa berkenaan bagi menghalang ahli daripada beralih sokongan atau mengingkari ketetapan yang diputuskan parti.
“Ironinya individu yang lantang menentang draf berkenaan (ketika ia pertama kali dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri) adalah ahli Parlimen dan menteri Bersatu (sehingga ia dikeluarkan daripada rang undang-undang tersebut). Mungkin kerana mereka juga ada pengalaman melompat parti. Menteri-menteri yang bantah itu kini menjadi mangsa terhadap draf yang telah dipinda dan diluluskan,” kata Khairy lagi.
Sabtu lalu, Bersatu meminda perlembagaan dalam satu perhimpunan agung khas yang diyakini akan memberi kesan kepada kedudukan enam Ahli Parlimen digelar ‘6 Jahanam’ itu yang menyokong perdana menteri. Muhyiddin begitu yakin sekiranya mereka kekal dengan pendirian itu, maka keahlian keenam-enamnya akan terhenti secara automatik, sekali gus menyebabkan kekosongan enam kerusi mereka. Padanya, tidak timbul soal pindaan itu boleh bersifat retrospektif (dikuatkuasakan ke belakang) atau tidak kerana keenam-enamnya masih lagi ahli parti dan tidak pernah disingkirkan.
“Keenam-enam Ahli Parlimen itu kata mereka masih ahli Bersatu dan mereka tidak kita singkirkan. Jadi, secara efektifnya sehingga ke hari ni mereka masih ahli parti. Tapi selepas pindaan ini dah diputuskan, nanti kita tanya balik pada mereka — you kata ahli parti tapi sokong sana (perdana menteri). Jadi, kalau ikut Perlembagaan Persekutuan, itu salah. Maka keahlian itu terhenti … itulah kesannya,” katanya.
Pindaan itu yang diluluskan oleh 1,956 perwakilan menimbulkan semacam keghairahan baharu pula — Umno menerusi presidennya Zahid Hamidi tidak berlengah umumkan akan letak calon sekiranya pilihan raya kecil diadakan di enam kawasan terbabit berdasarkan enam kerusi itu dulunya dipegang oleh Umno. Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Ahmad Maslan sudah mencadangkan Umno membuka “war room” di enam kawasan Parlimen milik Bersatu itu sebagai “persediaan awal”. Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah pula berkata parti itu sedia bertanding kerusi Jeli dan Gua Musang jika kerusi tersebut dikosongkan.
Sudah semakin ramai yang jadi umpama ‘zombi’ kerana didorong oleh keghairahan masing-masing, tidak terkecuali Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris yang mencabar Ahli-ahli Parlimen terbabit mengosongkan kerusi tanpa perlu menunggu keputusan mahkamah. Selepas pindaan diluluskan secara sebulat suara, tunggu sajalah proses undang-undang tanpa perlu nak cabar-cabar. Lainlah kalau Adun Kijal dan Ahli Exco kerajaan Terengganu itu tidak yakin pindaan berkenaan akan diluluskan Pendaftar Pertubuhan (RoS).
“Fasal 10.4 (perlembagaan Bersatu) menyatakan Adun dan Ahli Parlimen yang tidak patuh arahan parti akan terhenti keahlian secara serta merta. Ini secara jelas mengikat dan menafikan kebebasan Ahli Parlimen untuk bertindak dalam Parlimen,” kata Zulkafperi yang yakin RoS tidak akan meluluskan pindaan perlembagaan Bersatu itu. Berdasarkan pengalaman Umno pada 2022 yang membuat pindaan perlembagaannya agar pemilihan parti di semua peringkat diadakan tidak lebih daripada enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU), ia memerlukan RoS empat setengah bulan untuk meluluskannya. Bukannya sekejap.
Syed Abu Hussin, Suhaili, Zulkafperi, dan Mohd Azizi senada bahawa mereka tidak akan mengosongkan kerusi sehingga mahkamah mencapai keputusan — bermakna pindaan perlembagaan Bersatu Sabtu lalu tidak akan meleraikan sebarang kekusutan dalam tempoh singkat seperti diharapkan Muhyiddin melainkan ia akan jadi satu pertikaian panjang membabitkan RoS, Dewan Rakyat, dan pelbagai peringkat mahkamah.
“Tiada jalan mudah dan singkat untuk Bersatu memaksa enam Ahli Parlimennya yang berpaling tadah dan menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya mengosongkan kerusi dimenangi mereka pada PRU15 lalu,” kata peguam, Haniff Khatri Abdulla.
Pendapatnya itu turut disokong penganalisis politik Mohammad Tawfik Yaakub yang dipetik Sinar Harian mengungkapkan: “Jika enam Ahli Parlimen ini gugur keahlian, mereka tidak akan hilang kerusi mereka tapi Bersatu yang akan hilang enam kerusi. Ia akan jadi kerugian buat Bersatu jika mereka gagal tangani isu ini dengan cermat.
“Jika pindaan ini tidak berkuatkuasa secara retrospektif, enam Ahli Parlimen ini tidak akan terjejas olehnya. Saya jangka pindaan ini tidak akan berkuatkuasa dalam jangka terdekat dengan jangkaan permohonan injunksi oleh keenam-enamnya. Lantaran itu, Bersatu akan terus menghadapi dilema dengan kedudukan enam Ahli Parlimen ini,” tambahnya.
Harus ramai lagi akan berperwatakan umpama ‘zombi’ dalam bertindak sambil menantikan penamat kepada pertikaian ini. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.