`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, March 14, 2024

Hannah berpada-padalah

 

Hannah Yeoh gemar jadi kesayangan dalam kerabat sukan negara. Dilantik sebagai menteri belia dan sukan dalam Kabinet Anwar Ibrahim pada 2 Dis 2022 – menteri wanita kedua menerajui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selepas Azalina Othman pada 2004 – kehadirannya diumpama meniupkan semangat baru dalam sukan negara yang masih tercari-cari pingat emas pertama Olimpik sejak penyertaan sulung dalam temasya itu di Melbourne, Australia pada 1956.

Seperti diungkapkan laman sesawang dapmalaysia.org setahun dalam jawatan itu pada 11 Dis 2023, ramai pada mulanya ragu-ragu dengan peranan yang boleh dimainkannya, apatah lagi kementerian itu sudah sinonim dengan pelbagai cabaran dan rintangan. Tapi Yeoh, menteri muda pada usia 45 tahun, ditakrif dapat menanganinya sebagai menyerlahkan dirinya seorang pemimpin yang teguh dan berwibawa.

Kata artikel dalam laman itu lagi, dengan gaya kepimpinannya yang unik, lulusan undang-undang dari University of Tasmania ini memperkenalkan banyak penambahbaikan dalam kualiti kementerian berkenaan sambil membuktikan pengkritiknya silap. Yeoh banyak menumpukan kepada ikhtiar menyelesaikan masalah serta memperkukuh inisiatif dan program yang memberi impak kepada industri sukan, masyarakat akar umbi dan rakyat Malaysia amnya.

Janji pada hari pertamanya bertugas ialah untuk fokus kepada lima rangka kerja berbeza – membuat sukan boleh diakses oleh semua; menawarkan ruang dan keadaan selamat buat atlet; kebajikan atlet; mengupayakan program sedia ada; serta aspek-aspek belia.

Di sebalik pencapaiannya diukur daripada kejayaan lima rangka kerja berkenaan, tempoh ‘bulan madunya’ bagaimanapun sudah berakhir ketika belum pun mencecah enam bulan di kerusi panas menteri apabila kontinjen Malaysia merekodkan pencapaian terburuknya dalam sejarah Sukan SEA dalam temasya di Kemboja dari 5-17 Mei 2023. Kontinjen negara sekadar di tangga ketujuh keseluruhan dengan gagal mencapai sasaran 40 pingat emas apabila pulang berbekalkan 34 emas, 45 perak dan 97 gangsa – pungutan emas paling rendah dalam tempoh 20 tahun sejak temasya di Hanoi, Vietnam 2003.

Dianggap memburukkan lagi keadaan, Yeoh menyalahkan pencapaian hambar Malaysia kepada ketidakstabilan politik dalam negara sejak lima tahun sebelum itu. Ia dipersalahkannya kepada segala perancangan, peruntukan mahupun persiapan terjejas disebabkan struktur politik negara yang sering berubah. Gara-garanya, sukan dikatakannya antara sektor yang terkesan memandangkan apa yang dirancang termasuk program pembangunan dan strategi dalam sukan tidak dapat dilaksanakan secara berkesan.

“Sebelum ini, ada menteri tidak sampai setahun. Keluar bajet, langkah susulan dan melaksanakan strategi tidak sempat. Sebelum buat sudah bertukar dan ada hala tuju baharu,” katanya. Rata-rata analisisnya itu dianggap sama ada terlalu cerdik atau sama-sekali berlawanan. Ia sekali gus membuka pintu pagar utama untuk beliau diserang dari segenap sudut, tidak terkecuali daripada kawan apatah lagi lawan.

Bekas menteri belia dan sukan Khairy Jamaluddin menyimpulkan Yeoh sepatutnya mengambil tanggungjawab atas kegagalan kontinjen Malaysia itu manakala Timbalan Pengerusi Biro Komunikasi dan Diplomasi Antarabangsa MCA Neow Choo Seong mengumpamakan menteri sebagai cuba menegakkan benang basah dengan enggan mengakui kontinjen negara mempamerkan prestasi terburuk.

“Saya jadi menteri pada 2013. Kurang dari setahun, kita menyertai Sukan Komanwel di Glasgow dan Sukan Asia di Incheon. Di kedua-dua temasya, kontinjen negara gagal capai sasaran. Saya mohon maaf walaupun saya tak perlu berbuat demikian di samping baru setahun jadi menteri,” kata Khairy dalam audio siar Keluar Sekejap yang dikendalikannya pada 22 Mei 2023. Itu, sepatutnya kepada Yeoh, adalah satu pengajaran berguna jika beliau boleh menelan egonya.

Tapi rupa-rupanya tidak kerana berselang hanya empat bulan, Yeoh tidak mengendahkan kritikan terhadap ketiadaan sasaran pingat emas ditetapkan buat kontinjen Malaysia ke Sukan Asia Hangzhou dari 23 Sept-8 Okt 2023, sebaliknya sekadar menyasarkan 27 pingat tanpa mengira warna atas nasihat Nippon Sport Science University (NSSU). Yeoh malah mengucapkan tahniah atas kejayaan negara meraih 32 pingat keseluruhan di sebalik hanya enam emas.

“Apabila kami tetapkan sasaran tinggi, kami dihentam kerana tidak realistik. Jika kami tetapkan sasaran rendah, pengkritik kata kami tiada kepercayaan. Jika tiada sasaran, mereka akan kata kami tiada keyakinan. Dengan tetapkan sasaran 27 pingat tanpa mengira warna, itu mengelakkan tekanan ke atas atlet. Kita melihat beberapa atlet mencapai keputusan baik dan menyumbang kepada pungutan akhir,” katanya seperti dipetik laman twentytwo13.my.

Diputarkan waktu ke hadapan, Yeoh dengan merujuk kepada laporan FMT pada Rabu berhubung cadangan penganjuran Formula E-Prix di Malaysia, menggesa media menuntut penjelasan daripada kementeriannya sebelum mengeluarkan sesebuah berita. Ini susulan satu laporan memetik sumber melaporkan Malaysia didakwa dilihat ketinggalan dalam saingan dengan Thailand untuk menjadi tuan rumah final Formula E-Prix tahun depan walaupun ia mendapat tawaran itu dahulu.

Formula E difahamkan mempelawa Kuala Lumpur menjadi penganjur finalnya setiap tahun hingga 2030 tetapi kerajaan belum memberi jawapan terhadap tawaran itu. Ketua Pegawai Eksekutif Formula E James Dodd dilaporkan berhasrat menemui Anwar bulan lalu untuk membincangkan acara itu dan manfaatnya kepada negara.

“Saya telah menghubungi Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) yang akan keluarkan kenyataan (dalam masa) terdekat untuk membetulkan fakta dalam laporan kolumnis tersebut,” katanya di Dewan Rakyat. Kenyataan itu boleh difahami sebagai ada fakta yang kurang tepat dalam nukilan kolumnis berkenaan.

Cuma, kalau Yeoh menghormati kebebasan media yang sumber laporannya adalah pelbagai asalkan boleh dipercayai, memadailah beliau mengeluarkan kenyataan untuk menjelaskan laporan berkaitan daripada mensyaratkan – jauh sekali mewajibkan – media atau kolumnis lebih dahulu mendapatkan pencerahan daripada kementeriannya sebelum sesuatu berita yang turut mengaitkan KBS disiarkan. Itu tiada bezanya dengan mengekang media daripada berfungsi dengan bebas dan bertanggungjawab.

Ada banyak pertimbangan yang perlu diambil kira. Kita menghormati tugas menteri yang terikat dengan kesibukan tugas harian yang tidak memungkinkannya meluangkan masa untuk didapatkan penjelasannya sepanjang masa. Juga dengan saratnya maklumat pada era dunia tanpa sempadan hari ini, media sentiasa berlumba dengan waktu untuk menyajikan laporan buat pembaca yang mengikuti setiap perkembangan menerusi skrin telefon bimbit yang tiada batas masa berbanding cara konvensional.

Media termasuk kolumnis – lazimnya daripada wartawan banyak pengalaman – juga terikat dengan etika dan pelbagai undang-undang berkaitan yang menggalakkan laporan secara bertanggungjawab, jauh sekali untuk menabur pasir dalam periuk nasi sesiapa kerana konsekuensinya tetap ada dan tidak terhindarkan. Jika sudah namanya kolumnis, sudah tentu wartawan yang tergolong demikian bebas melontarkan pendapat yang mungkin ada kalanya tidak disenangi.

Jika Yeoh tidak bersetuju dengan sesuatu pandangan, haknya sentiasa terjamin untuk pendapat atau penjelasannya turut didengar dan dihebahkan asalkan beliau tidak terlebih ghairah untuk kata-katanya saja didahulukan dan kebenarannya diperoleh. Ada banyak berita dan kolum yang disiarkan dahulu sebelum susulan atau reaksi diikhtiarkan daripada menteri berkaitan. Yeoh yang perjalanan panjang politiknya bermula dengan memenangi kerusi DUN Subang Jaya pada 2008 di samping tampil selaku wanita pertama dan calon termuda menjadi speaker Dewan Undangan Negeri Selangor pada usia 34 tahun pada 2013, harus maklum.

Melanjutkan laporan berkaitan Formula E-Prix itu, rakan kongsi tempatan Formula E mengesahkan kepada FMT semalam bahawa pihaknya sedang menanti maklum balas Pejabat Perdana Menteri (PMO) untuk membincangkan penganjurannya. Ketua Pegawai Eksekutif Sports Tech Holding Wan Agyl Wan Hassan berkata perancangan untuk menganjurkan final Formula E-Prix – perlumbaan kereta lumba elektrik tempat duduk tunggal – di Kuala Lumpur tahun depan “memang di peringkat lanjutan” selepas hak bersyarat diperoleh daripada Formula E, awal tahun ini.

Jika perbezaan pendapat boleh diraikan tanpa menyesakkan minda, lebih baiklah ia untuk semua. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.