`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, March 17, 2024

Jadi ‘pak sanggup’ anjur Sukan Komanwel bukan keutamaan

 

Di tengah-tengah ‘kegilaan’ daripada ura-ura Malaysia ditawarkan jadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026, tiba-tiba timbul laporan bahawa Singapura sedang membuat kajian kemungkinan untuk menganjurkannya. Laporan itu dengan sendirinya menolak gembar-gembur kononnya Malaysia sahaja yang ditawarkan Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) untuk menggantikan Victoria yang membatalkan niatnya jadi tuan rumah atas pertimbangan ia jauh melampaui jangkaan kos AUD7 bilion (RM21.7 bilion) daripada anggaran asal AUD2.6 bilion (RM8 bilion).

Kerajaan Victoria dilaporkan bersetuju membayar AUD380 juta (RM1.18 bilion) kerana melanggar kontrak. Maksudnya mereka lebih bersedia kerugian wang sebanyak itu daripada perlu menanggung kos yang jauh di luar kemampuan.

Presiden Olimpik Malaysia (MOM) Norza Zakaria yang juga presiden Persatuan Sukan Komanwel (CGA) Malaysia pada 11 Mac lalu berkata CGF membuat tawaran kepada Malaysia untuk menggantikan Victoria dengan suntikan dana sebanyak 100 juta pound (RM602 juta) yang ditakrifkannya sebagai ‘tawaran sekali dalam seumur hidup’.

Namun, laporan Straits Times Singapura pada Sabtu menyebut CGF, dalam pencariannya terhadap bandar raya tuan rumah baru, mempelawa semua badan gabungannya termasuk Singapura untuk menyatakan minat mengambil alih selaku penganjur temasya itu yang dijadualkan dari 17-29 Mac 2026. Maknanya jika ada yang terpesong dengan kepercayaan bahawa tawaran CGF itu dibuat secara ‘eksklusif‘ kepada Malaysia seperti yang pihak tertentu mahu ramai percaya, itu tidak benar sama-sekali.

Untuk rekod, India lebih dahulu menyatakan tidak berminat menjadi pengganti. Jurucakap kerajaan Gujarat dipetik Press Trust of India (PTI) menafikan laporan media yang mencadangkan pihak berkuasa negeri itu mungkin bersedia mengambil alih daripada Victoria dengan menganjurkannya di bandar raya Ahmedabad. Seorang pegawai kanan kerajaan berkata beliau tidak tahu-menahu mengenai langkah itu. Keutamaan India sebenarnya ialah mendapatkan hak selaku tuan rumah Sukan Olimpik 2036.

Susulan penarikan diri mengejut oleh Victoria pada Julai tahun lalu, Datuk Bandar Gold Coast Tom Tate menawarkan kesanggupan mengambil alih tetapi kerajaan negeri Queensland menolak sebarang kemungkinan berkenaan. Sebagai menggambarkan masa depan suram sukan empayar British itu, Wilayah Alberta di Kanada turut menarik diri daripada proses bidaan Sukan Komanwel 2030 selepas seminggu Victoria mengumumkan menarik diri.

Pertimbangan terhadap biaya dan logistik menganjurkan Sukan Komanwel sering dibandingkan dengan legasi dan impak jangka panjang penganjurannya. Bandar raya Durban, Afrika Selatan ditarik balik haknya menganjurkan Sukan Komanwel 2022 selepas didapati gagal memenuhi obligasi penting. Birmingham yang kemudian menjadi bandar raya pengganti dari 28 Julai- 8 Ogos 2022 menanggung akibatnya apabila Majlis Bandaraya Birmingham diisytiharkan muflis pada September lalu — hanya setahun selepas menganjurkan temasya itu.

Berbalik kepada cadangan penganjuran oleh Malaysia, keadaannya seolah-olah sebarang kesediaan Malaysia untuk menjadi ‘pak sanggup’ hanya berkisar kepada kepentingan dua orang kuat MOM – Norza dan setiausaha agung Nazifuddin Najib. Apakah kepentingan itu, barangkali hanya kedua-duanya yang tahu di sebalik mereka dilihat beria-ia mahukan Malaysia menerima pelawaan CGF itu.

Apa kata Norza?

Penganjuran oleh Malaysia akan membina kejayaan Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998 dan kembali meletakkan Malaysia di peta sukan dunia beserta sokongan dan pelaburan berkaitan. Dengan fasiliti berkelas dunia sedia ada, katanya, penganjuran akan membabitkan perbelanjaan kerajaan yang minimum dan membawa faedah sosio-ekonomi ketara kepada negara.

Cuma, lebih 26 tahun selepas Malaysia kali terakhir menjayakan temasya Kuala Lumpur 1998 dan tujuh tahun berselang selepas Kuala Lumpur menganjurkan Sukan SEA Ke-29 pada 2017, banyak fasiliti yang memerlukan penambahbaikan dan pemugaran semula. Itu belum lagi mengambil kira keperluan mewujudkan perkampungan sukan baru kerana perkampungan atlet (Vista Komanwel) di sebelah Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil pada 1998 sudah dikembalikan kepada pembeli asalnya.

“CGF dan CGA Malaysia sudah menawarkan cadangan yang menarik kepada kerajaan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Apa pula kata Nazifuddin?

Putrajaya wajar pertimbangkan penganjuran sukan itu kerana CGF menawarkan pelaburan kewangan yang lumayan sebanyak £100 juta (RM602 juta). Dengan dana itu, diharapkan akan ada imbuhan lumayan dalam bentuk jualan tiket, hak penyiaran, jualan dagangan, dan tajaan. Wang itu, katanya, boleh digunakan untuk membangunkan dan membiayai beberapa tempat yang digunakan untuk Sukan Komanwel.

“Sukan Komanwel juga akan mewujudkan ribuan pekerjaan,” katanya. Cuma, apa yang ditakrifkannya geran lumayan RM602 juta itu sebenarnya amat kecil jika dibandingkan dengan anggaran Victoria terhadap kos sebanyak RM21.7 bilion jika ia meneruskan tanggungjawab tuan rumah. Katakanlah Malaysia mampu menjimatkan separuh daripada anggaran itu dengan fasiliti sedia ada, ia masih memerlukan kerajaan biaya RM10 bilion.

Kedua-dua Norza dan Nazifuddin mungkin mendapat surat kepujian daripada CGF jika Malaysia menjadi “pak sanggup’ tapi negara pula bagaimana?

“Tuan rumah temasya 2026 cadangan melulu,” kata tajuk berita sebuah akhbar memetik bekas menteri belia dan sukan Khairy Jamaluddin pada Khamis. “Sesebuah tuan rumah memerlukan sekurang-kurangnya empat tahun untuk melakukan persiapan seperti menaik taraf venue pertandingan, mendapatkan penajaan dan menyediakan infrastruktur.

“Sukan Komanwel bukanlah acara sukan yang penting dan utama. Jika dibandingkan dengan temasya sukan lain, ia jauh lebih ketinggalan berbanding Sukan Olimpik atau Sukan Asia daripada segi penyertaan, pendedahan dan pulangan. Oleh itu, potensi untuk memperoleh keuntungan dan mendapat manfaat sampingan bagi negara penganjur akan menjadi minimum,” katanya kepada AFP.

Teguran paling keras datangnya daripada Pesuruhjaya Sukan Suhardi Alias yang menyifatkan rancangan MOM itu mengejutkan, berisiko kewangan dan tidak berfikir panjang: “Kenapa kita pula nak jadi penyelamat selepas Victoria tarik diri dan tidak ada negara lain pun mahu menganjurkannya. Saya amat hairan mengapa kita beria-ia nak ambil temasya yang negara lain tidak mahu anjurkan, ibarat umpama tiada beban batu hendak digalas.”

“Kerajaan perlu berfikir semasak-masaknya dan mempertimbangkan secara serius,” kata bekas pengerusi Sukom Ninety Eight Berhad Hashim Mohd Ali yang menyarankan kerajaan menangguhkan hasrat menganjurkan temasya itu kerana Malaysia tidak berada pada kedudukan terbaik dengan tempoh dua tahun yang terlalu suntuk untuk persiapan atlet selain langkah Kerajaan untuk berjimat-cermat.

Pakar ekonomi turut menyuarakan amaran tentang risiko kewangan yang bakal ditanggung sambil bekas ketua pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Ahmad Shapawi Ismail berpandangan tempoh dua tahun yang berbaki terlalu singkat dalam memastikan atlet negara bersedia untuk menggegar di laman sendiri.

Pada analisis akhir, ia bukan pun masalah Malaysia di sebalik negara ini turut serta dalam pembidaan awal bersama Victoria dan empat bandar raya lain untuk menganjurkannya. Penarikan diri Victoria sama-sekali tidak mengikat Malaysia untuk tampil sebagai pengganti. Ia sebenarnya adalah masalah CGF untuk diselesaikannya sendiri, dengan Malaysia memiliki hak untuk menolak tanpa ada sebarang konsekuensi ke atasnya. Dalam bahasa mudah, Malaysia tidak akan dihambat rasa bersalah sekalipun jika ia ‘cuci tangan’ dalam masalah ini. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.