`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, March 19, 2024

KPM akur kehendak ibu bapa tak faham pentaksiran bilik darjah, kata pakar

 

Hasnah Toran berkata sukar untuk masyarakat hendak lari daripada sistem peperiksaan kerana telah sebati sejak sekian lama. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Menghentikan pelaporan tahap penguasaan Ujian Akhir Sesi Akademik melalui kaedah Tahap Penguasaan (TP) bermula sesi akademik 2024/2025 dibimbangi membuatkan murid khususnya di sekolah rendah cenderung terpisah dari segi akademik, kata pakar pendidikan.

Hasnah Toran dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyifatkan pengumuman Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek semalam yang penilaian kembali berdasarkan peratus dan gred, menunjukkan mereka akur dengan kehendak ibu bapa yang tidak faham pelaporan TP di bawah Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).

Pengumuman Fadhlina itu sebahagian langkah persediaan pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 yang menumpukan penguasaan literasi, numerasi dan pembentukan karakter murid.

Menurut Hasnah, sukar untuk masyarakat hendak lari daripada sistem peperiksaan kerana telah sebati sejak sekian lama.

“Sebenarnya PBD bertujuan mewujudkan murid cinta ilmu dan belajar bukan semata-mata kejar A…cuma berlaku gelinciran apabila pelaporan melalui TP menjadi berpusat.

“Guru pula tidak diberikan kuasa putuskan macam mana nak buat laporan menyebabkan mereka merungut kerana TP tambah beban tugas,” katanya kepada FMT sambil berharap amalan menentukan kedudukan murid dalam kelas tidak diperkenal semula.

Beliau berkata tiada masalah kembali kepada penetapan gred A, B atau C tetapi jangan letak kedudukan murid itu.

“Itu ibarat mengkategorikan mereka sehingga membentuk jati diri, menjadikan penerimaan mereka untuk pembelajaran semakin mengecil sebab percaya dirinya tak pandai,” katanya.

Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara Anuar Ahmad pula berkata pengumuman itu sememangnya melegakan ibu bapa yang tidak memahami kaedah penilaian prestasi anak masing-masing.

“Pertama sekali PBD akan dipermudahkan dan ibu bapa juga boleh akses sistem pengurusan pentaksiran bersepadu.

“Ibu bapa boleh tahu prestasi anak, sebelum ini dengan TP tak faham kerana telah biasa guna peratus serta gred,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.