`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, March 21, 2024

Maha Suci Allah

 

Ini bukan mengenai stoking. Ia hanya mengenai duduk letak seorang ahli tauhid (muwahhid).

Untuk meraih kedudukan sebagai ahli tauhid, seseorang perlu melepasi tahap yang pertama; iaitu tauhid zat Allah. Apa yang diertikan dengan tauhid atau keesaan zat Allah adalah, Allah Esa dalam zat-Nya. Oleh kerana itu, kesan kefahaman tadi membawa pengertian Allah dengan itu adalah Wujud yang tidak bergantung kepada apa dan siapa pun, dan dalam bentuk apa pun. Allah adalah Ghani (Absolut). Oleh kerana Allah adalah Absolut, segala sesuatu bergantung kepada-Nya dan memerlukan pertolongan-Nya. Allah dengan itu juga tidak memerlukan segala sesuatu. Dalam hal ini Allah berfirman:

“Wahai umat manusia, kamulah yang sentiasa berhajat kepada Allah (dalam segala perkara), sedang Allah Dialah sahaja Yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji (al-Fatir: 15)”.

Ahli falsafah menerangkan kesan di atas sebagai, Allah itu eksis sendiri, atau sebagai Wujud yang eksistensinya wajib.

Jadi, ini memang bukan mengenai stoking. Ia hanya mengenai kesucian Allah, dan jika ada yang percaya bahawa kesucian Allah itu terjejas lantaran ada penghinaan terhadap-Nya. Jika ada yang percaya yang kesucian atau keesaan Allah boleh tergugat lantaran penghinaan musuh tuhan, maka baik kiranya ia menyemak dulu ketauhidannya. Misalnya kefahaman diri dalam konsep tanzih.

Allah adalah pencipta. Allah merupakan pencipta dan sumber akhir segala yang ada. Segala sesuatu dengan itu adalah daripada-Nya. Allah, dengan itu bukan dari apa pun dan bukan daripada siapa pun. Secara falsafahnya, Allah adalah “sebab pertama”.

Oleh kerana Allah adalah sumber akhir segala yang ada, ia juga menjelaskan tingkatan tauhid Zat Allah sebagai kebenaran ini hanya satu, dan tidak ada yang menyerupai-Nya. Poin penting ini telah ditegaskan, di mana al-Quran memfirmankan:

“Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (Dzat-Nya sifat-sifat-Nya, dan pentadbiran (asy-Syûrâ: 11) atau pada ayat suci al-Quran; (terjemahannya) Dan tidak ada sesiapa pun yang setara dengan-Nya (al-Ikhlâas: 4)”.

Jadi, kerana Allah tidak terbanding, kesucian Allah tidak terjejas dengan apa pun. Jika kita memahami ini, kita akan memahami ia bukan sama sekali mengenai stoking.

Formula bahawa sesuatu yang ada akan selalu menjadi bahagian daripada sesuatu spesies hanya berlaku pada ciptaan atau makhluk sahaja. Sebagai contoh, jika sesuatu itu bahagian daripada spesies manusia, maka dapat digambarkan bahawa sesuatu itu adalah anggota daripada spesies manusia ini. Bagaimanapun untuk wujud Yang Ada Sendiri, gambaran atau bayangan seumpama itu tidak dapat dilakukan. Allah berada di luar semua fikiran sedemikian. Oleh sebab kebenaran Yang Ada Sendiri itu satu, maka sumber dan tujuan alam semesta juga hanya satu. Secara mudahnya, seisi alam semesta bukanlah berasal daripada berbagai-bagai sumber. Bahkan juga tidak akan kembali ke berbagai-bagai sumber. Alam semesta berasal daripada satu sumber dan satu kebenaran.

Allah berfirman, terjemahannya: “Katakanlah: Allah jualah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, dan Dialah Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa (ar-Ra’d: 16)”.

Selain itu terdapat juga ayat al-Quran yang berbunyi terjemahannya sebagai: “Ingatlah kepada Allah jualah kembali segala urusan (Asy-Syûrâ: 53)”.

Dalam hal ini, dapat difahami alam semesta memiliki satu pusat. Iaitu hubungan antara Allah dan alam semesta adalah hubungan antara pencipta dan makhluk. Hubungan ini adalah hubungan sebab dan akibat. Ia bukan hubungan sebab akibat sepersisnya antara cahaya dan mentol lampu. Hubungan Allah dengan alam semesta adalah tidak terpisahkan. Allah bersama segala sesuatu. Allah berfirman terjemahannya:

“Dan Ia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada (al-Hadîid: 4)”. Sekali lagi, harus difahami ketidakterpisahan Allah daripada alam semesta tersebut tidaklah bermakna yang Allah bagi alam semesta itu adalah seperti cahaya bagi mentol lampu. Sekiranya ketidakterpisahan Allah itu ibarat cahaya daripada mentol lampu maka ini bermakna Allah merupakan kesan atau efek daripada alam semesta, bukan sebab daripada alam semesta; ini kerana cahaya adalah efek daripada mentol lampu. Hanya makhluk sahaja yang mempunyai sifat yang adanya kerana sesuatu yang lain. Allah adalah bebas daripada semua itu. Al-Quran menjelaskan, terjemahannya:

“Akuilah kesucian Tuhanmu, Tuhan yang mempunyai keagungan dan kekuasaan, – dari apa yang mereka katakan (as-Saâffaât: 180)”.

Oleh sebab itulah konsep tauhid yang benar akan dengan sendiri memandu ahli tauhid bahawa kesucian Allah tidak terjejas dengan apa perbuatan bodoh manusia sekalipun.

Jadi, ini memanglah bukan tentang stoking. Kesucian Allah tidak terjejas apa pun apabila Firaun mengaku dirinya tuhan. Dia malah dikaramkan dalam lautan. Kesucian Allah tidak terjejas apa pun apabila Abrahah ingin meruntuhkan Kaabah. Dia malah keronyok dilanda ababil. Kesucian Allah tetap tidak terjejas apabila ada tentera Zionis mengoyakkan halaman al-Quran di dalam masjid di Gaza sebulan dua ini. Masa untuk Zionis diazabkan pasti tiba.

Jadi ia bukan mengenai stoking. Kalau ada kegegeran, ia adalah kerana manusia itu makhluk berpolitik, dan dalam kemabukan berpolitik mereka mengheret sama nama tuhan.

Padahal kesucian Allah tidak pernah terjejas apa, kalaupun ada syaitan berupa manusia yang menghina-Nya. Memang bukan mengenai stoking. Ia hanya mengenai duduk letak seorang ahli tauhid (muwahhid).

Kalau ada dalam kalangan ahli tauhid percaya kesucian Allah boleh terjejas kerana nama-Nya dilecehkan, mungkin dia perlu memeriksa kefahamannya mengenai tauhid. Ini kerana kesucian Allah tidak akan boleh terancam jika ada sepasang, lima pasang atau lima guni stoking yang entah atas alasan bodoh apa pun disulamkan dengan nama Allah. Masyarakat kita adalah masyarakat yang terlalu karam dengan fikah, justeru ada kunci monoteisme yang longgar perlu diketatkan kembali. Untuk itu masyarakat perlu belajar kembali kepada Allah, justeru al-Quran; dan Rasulullah SAW justeru warisannya yang benar. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.