`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, March 14, 2024

Nak kantin atau nak Islam

 

Membaca kenyataan keterlaluan oleh Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Ahmad Yahaya bahawa organisasi dipimpinnya beranggapan yang arahan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek supaya kantin sekolah mesti beroperasi seperti biasa sepanjang Ramadan sebagai keterlaluan, membuatkan saya tercengang. Ahmad mengatakan tindakan menteri ini seolah-olah tidak menghormati Ramadan dan sengaja mencetuskan polemik.

Kenyataan Ahmad di atas, seorang ulama mengetuai sebuah organisasi agamawan yang besar membuatkan saya terkenang kepada kisah ulama Iraq yang terkenal Sayyid Mahdi Bahr al-Ulum (1797). Tentu mereka tidak sesemut pun sama. Ahmad terlalu jauh kalau hendak dibandingkan dengan Sayyid Bahr al-Ulum; jauh bagaikan Pokok Sena dengan Musytari.

Sayyid Bahr al Ulum pernah mengajar fikah empat mazhab di Makkah antara tahun 1779-80 dan sangat terkenal di Najaf, Iraq. Pada satu ketika di musim panas, Sayyid Bahr al-Ulum yang memang merupakan imam sembahyang jemaah maghrib dan isyak di Masjid Saidina Ali di Najaf telah menjalinkan persahabatan dengan seorang petugas masjid. Petugas ini seorang yang miskin tetapi baik hati.

Umat Islam di kota Najaf pada waktu itu memang menanti-nanti kesempatan untuk menjadi makmum di belakang Bahr al-Ulum. Bahkan dalam barisan jemaah itu ada ulama sendiri. Pekerja atau sukarelawan masjid yang sangat menyenangi ulama itu telah menyediakan sisha untuk dihisap oleh Sayyid Bahr al-Ulum sebelum beliau memimpin sembahyang. Ia sebagai satu tanda hormat kepada beliau. Jadi selalunya, Bahr al-Ulum akan hadir ke masjid lebih awal, kadang 40 atau 30 minit awal untuk menghisap sisha disediakan, sembari berbual dengan petugas masjid itu. Momen bersama Sayyid Bahr al-Ulum itu memang dicemburui ramai.

Tidaklah dapat dipastikan sebenarnya apakah ulama tersebut memang menghisap sisha sebagai satu kebiasaan atau budaya, atau hanya kerana melayankan petugas masjid yang menyangkakan beliau gemarkan sisha. Pokoknya petugas masjid ini amat menikmati sekali masa sekejap bersama Sayyid Bahr al-Ulum ini. Mana tidaknya, dia hanya seorang tukang bersih biasa tetapi diladeni oleh seorang ulama besar. Sedangkan ada ramai orang dari luar Iraq berdedai datang untuk menemui Bahr al-Ulum pun belum tentu beroleh kesempatan sebegini.

Pada satu hari, Allamah Bahr al-Ulum telah terlewat ekoran ada urusan keluarga. Memandangkan masa telah suntuk, petugas masjid ini telah beredar menyimpankan paip tersebut. Akan tetapi saat Sayyid Bahr al-Ulum tiba dan jemaah sudah bersedia untuk bersembahyang, beliau melakukan sesuatu yang agak mencengangkan. Bahr al-Ulum mencari-cari petugas yang biasa membawakannya sisha itu. Petugas tua itu pun tergesa-gesa datang membawakan paip dalam keadaan terpinga.

Tanpa menghiraukan jemaah yang ramai dan siap siaga untuk menunaikan solat, Sayyid Bahr al-Ulum melayankan petugas masjid itu seperti hari-hari biasanya. Beliau menghisap sisha dan berbual. Hati petugas masjid itu yang sebelumnya hampa kerana tidak berpeluang meladeni seorang Sayyid justeru penuh kembali. Ia juga memadam perasaan musykil petugas itu sama ada Bahr al-Ulum ada rasa terpaksa melayankannya. Bahkan ia membuatkan petugas yang tidak penting itu serasa amat penting sekali. Selepas petugas miskin itu jelas berasa bahagia, barulah Sayyid Bahr al-Ulum bersiap untuk memimpin sembahyang jemaah, membiarkan sekian ramai yang datang ternanti-nanti.

Apa yang berlaku menunjukkan makam dan kedudukan seorang ulama setinggi dan secerah bintang Musytari. Sebagai seorang ulama yang diketahui lunak terhadap gerakan mistis Islam (kesufian atau keirfanan), Bahr al-Ulum menunjukkan erti sebenar sifat karamah seorang wali. Karamah di sini bukan lagi kemampuan atau bakat berjalan di atas permukaan air yang mana boleh dilakukan oleh mana-mana serangga yang tertentu. Akan tetapi karamah yang ditunjukkan oleh Bahr al-Ulum ialah pada sikap yang telah mendakap dan mengertikan maksud kerohanian, realiti ritual keagamaan dan seseorang yang telah mencapai puncak dan sari pati syariah.

Beza Bahr al-Ulum dengan orang biasa yang menangguhkan solat memang jauh. Memang ada ramai orang di luar sana akan melengah atau terbiasa lambat menunaikan sembahyang kerana pelbagai urusan dunia dan ranting; akan tetapi Sayyid Bahr al-Ulum tidak menyengaja menangguh sembahyang jemaahnya kerana sembarangan sebab musabab. Tentu sahaja ada sebab besar untuk beliau melambatkan sembahyang dan melayan petugas masjid itu di saat ramainya jemaah menunggu.

Perkara besar yang ingin ditampung oleh Sayyid Bahr al-Ulum adalah menjaga hati seorang petugas masjid yang ikhlas daripada dihancurkan.

Tentu sahaja ada banyak sisi lain untuk difahami daripada kisah di atas. Misalnya ia juga menunjukkan kekuatan ijtihad seorang ulama yang benar memahami rahsia syariah. Ia memaparkan bagaimana seorang ulama tidak terikat dengan “aspek luaran” syariah tetapi boleh memanfaatkan aspek dalaman syariah. Tentulah seorang muslim sempurna seperti Bahr al-Ulum tidak akan tergelincir daripada syariah, tetapi dia boleh sahaja keluar daripada sangkaan atau “impression” syariah yang tertentu. Sangkaan atau “impression” syariah tidak semesti sama atau betul dengan maksud sebenar syariah itu sendiri. Ini memandangkan maksud dan tujuan syariah itu sendiri perlu difahami.

Kisah ini mengingatkan kepada kita bagaimana Rasulullah SAW lewat tiba untuk memimpin sembahyang kerana melayankan kerenah sekumpulan kanak-kanak di jalanan, atau bagaimana Nabi Muhammad melayankan secara lemah-lembut seorang Badwi yang tidak madani lantaran baru tiba di Madinah, lalu kencing di penjuru Masjid Nabawi.

Seorang ulama semestinya seorang yang mengerti inti kerohanian sedalam-dalamnya. Bukan sahaja mesti mengerti dan memahami, ia mestilah pula telah mengecap dan menikmatinya.

Adalah munasabah untuk memikirkan bahawa kantin sekolah boleh dibuka sepanjang Ramadan memandangkan ada kanak-kanak yang mungkin terdera dan sedang belajar berpuasa. Juga ada kanak-kanak yang mungkin tidak sihat dan dalam keadaan cuaca panas barangkali tidak larat. Itu belum lagi kita membincangkan maknawi syariah dan agama yang turut melayani orang secara manusiawi, seperti dilakukan Sayyid Bahr al-Ulum itu. Lain daripada itu ada pula anak-anak bukan Islam yang juga merupakan sasaran syariah, tetapi bukan berdasarkan sangkaan atau “impression” syariah yang tertentu (baca: PAS). Kebaikan syariah memang meliputi semua lapis, dan semua jenis manusia. Baik bukan Islam atau pun yang Islam, baik bekas menteri menjadi model Vida mahupun pembersih longkang; baik pensyarah Fakulti Islam, atau sekadar pensyarah bidang teater.

Jika Bahr al-Ulum boleh keluar daripada kerangka syariah yang biasa untuk meraikan niat ikhlas seorang yang kedana, adalah aneh jika ketua sebuah organisasi ulama tidak nampak hal nurani sebegini. Inilah jadinya kalau syariah hanya menjadi alat tunggangan untuk kebesaran dan kenamaan. Dalam hal ini, tindakan yang paling Islami dan menepati syariah adalah membuka kantin sepanjang Ramadan. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.