Lama sebelum kami pandai memandu, Ahmad Fairuz Rosly akan membawa kami ke merata-rata tempat. Jika mahu ke bandar atau ke 'luar kawasan' Fairuz akan datang ke rumah untuk mengambil kami dan juga kereta.
Bersama Fairuz biasanya ialah si Stone. Kami bertiga kemudian akan merayap ke mana-mana.
Sehingga hujung dunia kami bertiga menjelajah sehinggalah masing-masing bertukar haluan hidup. Fairuz memilih untuk berkahwin dan Stone pula masih memikirkan apa yang mahu dipilihnya.
Yang pasti, pada di mata Stone, Sheila Lama ialah pelakon yang tidak ada tolok bandingnya dari segi kecantikan. Sehingga hari ini dia masih menyimpan foto selebriti itu di dalam dompetnya.
Cita-cita Stone ialah untuk berkahwin dengan pelakon tersebut dan kami doakan agar impiannya itu tercapai suatu hari nanti.
Kemudian kami pun pandailah memandu kereta sendiri namun Fairuz masih menjadi pemandu yang kami hormati dek pengalamannya, dan juga betapa tidak minatnya kami kepada memandu kereta.
Omorq Iwan pula menjadi sahabat yang sentiasa akan membawa kami ke mana-mana apabila kami di Kuala Lumpur. Dia juga seorang pemandu yang cekap, selain tahu benar selok-belok jalan di ibu kota itu.
Memandu kerana terpaksa
Kami selesa dan tenang apabila kereta dipandu oleh Omorq. Namun jika kami diizinkan membuat perbandingan, maka Fairuz adalah pemandu yang kami lebih utamakan kerana Fairuz memandu dengan penuh beriman, manakala Omorq pula adakalanya memandu dengan kepala yang penuh.
Kami tidak suka memandu kereta namun sekarang ini kami tidak ada pilihan.
Fairuz tinggal jauh manakala Omorq pula sudah berkeluarga. Selain seorang anak, Omorq juga sibuk menjaga isteri dan 16 ekor kucing.
Kerana itu kami harap kucingnya itu berak merata-rata dan dia pula tidak akan digemari oleh jiran-jirannya.
Pun begitu, kadang-kadang kami mengendeng juga kepada si Norsham Nor, pelukis abstrak terkenal tanah air itu, untuk membawa kami ke mana-mana.
Ada masa dilayannya juga namun pada kebanyakan masa lain dia buat-buat sibuk. Begitulah, selain melukis dia juga ada 10 ekar ladang sawit. Mana maunya dia jadi drebar kita.
Maka terjadilah cerita yang kami terpaksa memandu selama beberapa hari setelah hari raya baru-baru ini berlalu.
Oh! Izinkan kami mengucapkan selamat hari raya kepada kamu semua. Kami juga ingin memohon ampun atas segala kesalahan yang kami lakukan selama menulis di sini.
Kami sedia maklum yang kami bakal menempuh kesesakan apabila mengambil keputusan untuk pulang ke rumah pada hari Ahad pertama setelah cuti panjang.
Ia memang suatu keputusan yang salah. Namun kerana sudah berjanji dengan adik perempuan kami yang tidak sabar untuk pulang ke rumah dan meninggalkan Mok di kampung, kami gagahkan juga.
Nasihat dari belakang
Kesilapan pertama kami ialah tidak mengisi petrol secukupnya sebelum masuk ke lebuh raya.
Kami menghabiskan masa lebih satu jam di R&R Gambang hanya untuk beratur mengisi minyak. Pada ketika itu pun kami sudah terfikir untuk membuat pusingan U dan pulang semula ke Kuantan dan tinggal di sana sehingga kesesakan hilang.
Tetapi seperti yang kami katakan tadi, adik perempuan kami yang mempunyai pengalaman menempuh perjalanan hampir 16 jam untuk pulang ke Kelantan itu ada bersama, maka rancangan baik kami itu terpaksa kami batalkan.
Tambahan pula adik perempuan kami itu seolah-olah baru masuk Islam kerana sibuk menasihatkan kami agar "Redo je laaaa…"
Orang yang duduk bersandar di kerusi belakang memang mudah memberi nasihat. Kita yang memandu ini sudah mahu patah pinggang menahan sabar.
"Mek Yah doh 12 jam dok sampai lagi ke Gua Musang dari Kota Bharu," kata dia lagi. Lalu kami pun meneruskan perjalanan. Kami kata "meneruskan" tetapi hakikatnya kenderaan kami seolah-olah tidak bergerak.
Sebut pasal Kota Bharu, pertamanya, kita tidak boleh mengatakan yang perbuatan orang membuang sampah di tepi lebuh raya itu sebagai sikap tidak bertamadun orang Kelantan.
Kita semua sedia maklum yang semua orang yang pengotor itu ialah orang luar. Dan yang lebih penting, hampir kesemua mereka itu adalah orang Kuala Lumpur.
Mereka hanya pergi ke Kelantan untuk berhari raya dan nanti mereka akan pulang lagi lalu berlama-lama di Kuala Lumpur.
Yang pengotor orang KL, yang dikotori orang Kelantan. Sungguh biaDAP!
Menyalahkan orang Kelantan adalah perbuatan mungkar. Ditambah pula kejahatan yang bermotifkan politik untuk menjatuhkan kerajaan dan juga rakyat Kelantan - itu adalah perbuatan yang teramat mendukacitakan.
Nanti di Padang Mat Sirat, merangkak dan menjawablah mereka yang gemar benar memperlekehkan orang berasal dari Kelantan.
Dilatih agar sentiasa bersih
Untuk orang Kelantan, kami katakan: "Set kito jange ppecoh!"
Yang kedua, kami boleh faham mengapa orang Kuala Lumpur membuang sampah di Pahang.
Setelah memandu berjam-jam dan masih tidak sampai-sampai, segala bentuk keimanan yang masih berbaki akan terhapus. Sabar yang hadnya mati itu pun tidak lagi menjadi pegangan.
Bersih yang menjadi sebahagian iman juga bukan lagi pilihan. Mahu membuang najis pun tidak dapat ditahan, inikan pula menahan diri daripada meninggalkan segala macam sampah di negeri orang.
Yang ketiganya ialah, kita semua pengotor. Hanya masa yang menentukan bila aib yang satu itu akan dibuka.
Aib orang Kuala Lumpur yang membuang sampah merata-rata telah dibuka Tuhan, maka kita semua segeralah bersungguh dalam berdoa agar aib kita tidak diketahui orang.
Keempat, pembelajaran tentang pentingnya kebersihan juga hendaklah menjadi silibus utama yang perlu ditanamkan sejak dari sekolah rendah.
Di Jepun, kanak-kanak diajar untuk membersihkan lantai bilik darjah mereka menggunakan sehelai sapu tangan. Dari situ mereka dilatih untuk sentiasa mengutamakan kebersihan walau di mana pun mereka berada.
Jepun ialah sebuah negara yang bersih tanpa perlu banyak menyediakan tong sampah.
Biasanya jika memandu ke Kuantan, kami mengambil masa lebih kurang empat jam kalau menekan pedal minyak kuat-kuat, atau lima jam jika kami mahu lebih bersantai.
Benar, kamu akan katakan: apa gila dari Nilai ke Kuantan sampai lima jam? Namun bagi kami yang tidak mengejar dunia ini, pemanduan sambil berehat dan tidur sekejap di semua tempat rehat adalah nikmat yang bukan diperoleh oleh semua orang.
Pada hari yang duka itu, masa kami diambil sehingga 12 jam untuk sampai ke destinasi. Itu yang kami katakan kami boleh faham apabila orang Kuala Lumpur membuang segala macam sampah di negeri Inderapura kesayangan kami.
Dengan letih dan lelah, kami memandu sambil menangis. Apa lagi yang boleh dilakukan selain ‘redo?'
Tidak ada sebarang kemalangan jalan raya yang berlaku di sepanjang 12 jam perjalanan kami itu. Cuma berlaku sedikit ketegangan apabila ada beberapa kereta yang menggunakan laluan kecemasan.
Daripada sifat 'dok dang' mereka, kami syak itu orang Terengganu kerana begitulah identiti geng kopok lekor.
Perbuatan mereka itu dihalang oleh sebuah kereta lain yang memandu sedikit ke tepi dan tidak memberi peluang kepada kumpulan terbabit berlaku curang di jalan raya.
Kami syak yang menghalang perbuatan tersebut pula ialah orang Pahang. Yalah, “orang buat koto, koi bersihkan; orang curi tulang atas jalan, koi jugok kena perhatikan... seme bende koi kena buat’.
Dan juga juga ingin mengatakan bahawa plaza tol adalah penyumbang kepada kesesakan yang kami alami. Kedudukan plaza tol Karak dan Bentong yang agak dekat memberi kesan kepada keselesaan pengguna lebuh raya.
Ripple effect yang terjadi apabila pemandu memperlahan kenderaan di kedua-dua plaza tol berkenaan menjadi penyumbang terbesar kesesakan yang amat menyiksakan itu.
Setelah semua itu, tahulah kami yang kita sering diuji dengan apa yang kita benci. Kami tidak suka memandu dan gagal dengan ujian berlama-lama memegang stereng kereta. - Mkini
ABDULLAHJONES ialah pelukis dan penulis yang sering berulang-alik di antara Kuantan dan Nilai.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.