`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, April 30, 2024

Lepasi masa sukar, pelancongan Langkawi kembali bangkit

 

Lembaga Pembangunan Langkawi jangka tiga juta pengunjung melawat pulau itu tahun ini.

Free Malaysia Today

LANGKAWI: John Barwell, 81, pesara dari England menemui ‘syurganya’ di Langkawi apabila berkunjung ke pulau itu hampir 15 kali.

Meneroka Langkawi dalam jelajah mengelilingi dunia, Barewell terpikat dengan keindahan pulau itu sekali gus menambat hatinya untuk menjadikan ia sebagai destinasi kerap dilawati.

“Cuaca, pantai, penduduk, harga, segalanya,” kata John merujuk semua faktor itu menjadi alasan untuknya dan isteri sering berkunjung walaupun selepas pandemik.

John Barwell.

Bukan sahaja cuaca menyenangkan, kecantikan pantai dan keindahan alam semula jadi yang sering menggamitnya semula, hospitaliti tempatan juga memainkan peranan.

“Kami tidak pernah menerima apa jua gangguan, semua orang tidak segan membantu,” katanya menghargai ‘kemesraan’ di pulau itu.

Sementara itu, Noor AlHafiz, 40, mekanik dari Johor Bahru, mengambil maklum pembangunan signifikan dan kebanjiran pelancong luar negara ke Langkawi.

Noor AlHafiz.

Mengunjungi Langkawi kali ketiga – sekali selepas pandemik, AlHafiz berkata pemerkasaan infrastruktur juga menyumbang kepada landskap pulau yang semakin berkembang.

Katanya, dengan pilihan kelazatan juadah tempatan dan banyak lokasi budaya serta sejarah boleh dilawati, Langkawi turut menyajikan pengalaman pendidikan untuk keluarga.

“Kami mahu membawa anak-anak ke sini untuk mereka belajar dan lihat pelbagai tempat di Langkawi, yang setiap satu menyimpan sejarah tersendiri.”

Pelancong juga mempunyai pilihan menikmati pelayaran melihat matahari terbenam di Langkawi.

Pelancongan Langkawi terus berkembang

Ketika pandemik Covid-19, data daripada Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) menunjukkan penurunan ketibaan pengunjung, menurun daripada lebih 3.9 juta pelawat pada 2019 kepada sekitar sejuta pada 2021.

Bagaimanapun, menjelang 2023 jumlah semakin bertambah kepada lebih 2.5 juta. Lonjakan itu sebahagiannya didorong pulau tersebut mengalu-alukan lima penerbangan sewa dari Chengdu dan lima lagi dari Chongqing, China.

Pantai Cenang menjadi tarikan pelancong menawarkan sukan air antaranya luncur layar dan layar layang.

“Lada sasar tiga juta ketibaan tahun ini, pada Januari sahaja, kami capai sasaran dengan ketibaan 250,000.

“Sebelum ini, nisbah 70% tempatan berbanding 30% pelancong luar. Namun, sejak Januari kami mencapai 48% kunjungan asing, di mana ia peratusan memberangsangkan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lada Abdul Hamid.

Alexander Isaac.

Pengendali pelancongan, Alexander Isaac yang juga CEO Tropical Charters, berkata perkembangan positif itu membantu menggiatkan kembali perniagaan setempat dengan restoran dan bot sewa menerima lebih banyak permintaan.

Kebimbangan Langkawi akan bertukar wajah kepada ‘bandar hantu’ disangkal Isaac, sambil menggambarkan kerancakan aktiviti terutama pasar malam dan kedai makan, yang mana berkembang pesat pada waktu puncak.

Issac – berpengalaman sebagai pengendali pelancongan lebih 15 tahun, berkata beliau yakin dalam usaha menarik lebih ramai pengunjung tempatan ke Langkawi, kekangan terhadap pelancong seperti tambang penerbangan mahal dan isu perkhidmatan feri perlu ditangani.

Eagle’s Nest Skywalk menawarkan pengalaman menikmati keindahan tiada tolak bandingnya di Langkawi.

“Kita berharap pihak berkuasa akan kembali kepada aturan tetap pelayaran dari Kuala Kedah dan Kuala Perlis bagi membolehkan lebih banyak feri masuk. Kita juga boleh memperkenalkan semula khidmat feri Pulau Pinang-Langkawi yang dihentikan sejak sebelum Covid,” katanya.

Beliau juga percaya kerjasama antara industri pelancongan dan sokongan inisiatif kerajaan mampu mewujudkan tawaran mengujakan kepada rakyat Malaysia, dengan menyeimbangkan kos perjalanan menerusi pengalaman ketika berada di pulau berkenaan.

Pishol Ishak.

Dalam pada itu, seorang lagi pengendali pelancongan, Pishol Ishak mencadangkan pendekatan seimbang, di mana Langkawi kekal disesuaikan, memenuhi keperluan pengembara mewah dan bajet demi memastikan tarikan lebih meluas.

“Kita (Langkawi) sesuai untuk semua orang,” katanya.

Ishak, pemilik Sala Tours and Travel, yang ditubuhkan sejak 1998, menyatakan walaupun Langkawi sering dibandingkan dengan destinasi seperti Bali dan Phuket.

“Daya tarikannya melangkaui keindahan dan hospitaliti. Pulau ini unik dengan identiti tersendiri berada di tengah-tengah, memenuhi kehendak pelbagai lapisan pelancong menjadikannya berbeza daripada lain.”

Menara Maha menjadi lokasi sempurna meninjau Laut Andaman yang mempesonakan.

Free Malaysia Today

Beliau juga mengambil maklum potensi ‘niche’ Langkawi sebagai destinasi mesra Muslim yang berupaya menarik segmen pasaran signifikan yang mencari pilihan dan privasi diperakui halal.

Katanya, fokus berkenaan akan memperkukuh komitmen Langkawi kepada inklusif dan sensitiviti budaya, dan memperkasa daya tarikan kepada spektrum meluas pelancong. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.