`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, April 23, 2024

Larangan ambil kupang dari perairan Port Dickson masih dikuat kuasa

 

Pegawai Jabatan Perikanan mengangkat pancang kupang untuk mengambil sampel bagi tujuan analisis di kawasan penternakan kupang di Kampung Telok pada 5 April lalu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Larangan mengambil kerang-kerangan (dwicengkerang) dari perairan Port Dickson masih dikuatkuasakan demi keselamatan pengguna, kata Pengarah Jabatan Perikanan (DOF) Negeri Sembilan, Kasim Tawe.

Ini kerana, katanya, sampel ketiga kupang dan air dari perairan itu yang dianalisis makmal Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur (PBPKL) didapati masih mengandungi biotoksin melebihi kadar selamat untuk dimakan.

“Sampel keempat kupang dan air diambil sekali lagi di perairan Port Dickson dan dihantar ke makmal PBPKL semalam. Keputusan analisis makmal dijangka diketahui 26 April nanti,” katanya menurut Bernama.

Pada 2 April lalu, Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) memaklumkan lapan kes keracunan makanan berkaitan pengambilan kupang di Port Dickson.

Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Dr Harlina Abdul Rashid dilaporkan berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Port Dickson menerima notifikasi dari Hospital Port Dickson memaklumkan dua kes pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi, lima kes dimasukkan ke wad biasa dan satu kes dirawat sebagai pesakit luar.

Katanya, siasatan awal mendapati semua kes itu yang mengalami gejala sakit kepala, kebas tangan dan kaki serta lemah otot, membabitkan beberapa keluarga berbeza pernah makan kupang dibeli dari dua pasar di sekitar Port Dickson.

Beliau berkata, dua kes yang dimasukkan ke ICU itu mengalami gejala lebih teruk, iaitu paralisis.

Susulan itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) DOF, Wan Aznan Abdullah pada 4 April lalu berkata, hasil analisis makmal PBPKL menunjukkan terdapat alga berbahaya menyebabkan kupang di perairan Port Dickson dicemari dan tidak selamat dimakan.

Menurutnya, sampel air dan kupang di perairan itu dicemari biotoksin serta alga spesies Prorocentrum, Alexandrium dan Pseudonitzschia berbahaya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.