KUALA LUMPUR: Setiap tahun sekumpulan rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang bersatu untuk satu misi istimewa: Memastikan semua orang dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan bergaya.
Pada 23 Mac lalu, seramai 250 sukarelawan berkumpul di Masjid Wilayah Persekutuan untuk Projek Baju Raya, satu inisiatif yang mengumpul dan mengagihkan ribuan pakaian tradisional Melayu seperti baju kurung dan baju Melayu kepada anak yatim dan ibu tunggal.
Khairunnisa Roslan menyertai program ini sejak empat tahun lalu dan ia kini umpama menjadi tradisi tahunan baginya.
“Ini adalah salah satu cara kami memberi kembali kepada mereka yang memerlukan. Sebelum ini, saya selalu memberikan sumbangan dalam bentuk wang tunai. Sekarang, saya menyumbang melalui usaha saya,” katanya kepada FMT.
Seperti sukarelawan lain, Khairunnisa tiba di masjid pada 7.45 pagi, seharian memeriksa kualiti pakaian, mengaturkannya mengikut kategori dan saiz tertentu, dan melipat serta memasukkannya ke dalam beg plastik untuk disumbangkan.
Kira-kira jam 10 pagi, barisan kereta penyumbang yang panjang mula memasuki masjid dan sukarelawan mengambil pakaian terpakai secara terus dari kenderaan untuk mengurangkan kesesakan.
Seorang lagi sukarelawan, Zuraidah Zaharuddin, 36, berkata penting bagi semua rakyat Malaysia dapat menyambut Hari Raya dengan gembira, tanpa mengira latar belakang mereka.
“Saya berharap mereka yang menerima pakaian ini akan gembira seperti kami yang mengumpul dan menyusun pakaian,” katanya.
Menjelang tengah hari, sukarelawan mula memasukkan beg yang berisi pakaian dalam kenderaan mereka sebelum diedarkan ke 15 rumah anak yatim di sekitar Kuala Lumpur.
Tiada yang membuatkan Arsyad Abdul Aziz lebih gembira daripada mengetahui bahawa orang kurang bernasib baik akan dapat mendapat manfaat dari usahanya.
“Walaupun pakaian ini bukanlah baru, ia masih cantik dan dalam keadaan baik. Saya gembira orang dapat menggunakannya,” katanya.
Baju lama, kehidupan baru
Tanpa penat lelah penganjur program Adib Khalid dan Aida Sue selama 12 tahun, Projek Baju Raya tidak akan mencapai kejayaannya.
Adib, seorang ejen insurans, berkata beliau mengabdikan semua masanya semasa Ramadan untuk mengatur inisiatif itu, didorong oleh semangat untuk menggembirakan orang yang kurang bernasib baik.
Beliau berkata walaupun bekerja berjam-jam memproses 5,000 hingga 7,000 helai pakaian setiap tahun, sukarelawan berasa puas melihat usaha itu sangat dihargai penerima.
Hari Raya yang diingati
Haziq Hakimi, 15, seorang anak yatim dari Rumah Titian Kaseh yang menerima satu set baju Melayu berkata, apa yang menggembirakannya adalah melihat rumah itu meriah dengan warna-warni yang ceria, apabila kanak-kanak memakai pakaian baru mereka.
“Saya rasa gembira kerana ada yang memberi kami pakaian untuk Hari Raya kerana kami tidak mampu untuk membelinya,” katanya.
Seorang lagi anak yatim, Puteri Nurul Fateen Najiha, 17, berkata dia bersyukur dapat menyambut Hari Raya tahun ini dengan pakaian baru.
“Saya suka baju kurung dengan corak batik dan saya menerima beberapa helai baju seperti ini. Saya harap inisiatif ini akan diteruskan pada masa akan datang,” katanya.
Penjaga rumah anak yatim, Haslinda Dol Hamid berkata inisiatif itu sedikit sebanyak dapat membantu untuk mengurangkan beban kewangan mereka.
“Apabila ada sumbangan pakaian seperti ini, barulah anak-anak kami dapat menyambut Hari Raya dengan meriah dan gembira,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.