Semua 75 jawatan ketua kampung atau Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Selangor yang ditawarkan kepada Umno akan dikembalikan, kata Pengerusi Umno Selangor, Megat Zulkarnain Omar Din.
Malah, katanya, Umno sebaliknya akan memenuhi lantikan jawatan pengerusi komuniti desa madani yang akan diwujudkan di setiap kampung di seluruh negeri di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah yang diterajui oleh presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi.
“Kita bersetuju di peringkat Selangor untuk menamakan…semua bahagian-bahagian saya sudah minta untuk menamakan calon-calon pengerus komuniti desa madani di peringkat kampung-kampung.
“Saya sudah terima dan diangkat kepada kementerian, kelulusannya pun kita sudah dapat, tinggal lagi selepas raya saya akan adakan pertemuan dengan kesemua pengerusi dan juga setiausaha yang berjumlah 746 orang untuk saya serahkan watikah mereka disaksikan oleh semua ketua-ketua bahagian yang tadi juga saya sudah bentang dalam mesyuarat perhubungan (Sabtu lalu),” katanya yang dipetik portal Utusan Malaysia.
Pada Januari lalu Malaysiakini yang memetik sumber dalaman kerajaan negeri melaporkan, isu kelewatan pelantikan 272 ahli majlis melibatkan 12 PBT bagi sesi 2024-2025 lewat ekoran keengganan Umno menerima peruntukan 20 kerusi yang ditawarkan.
Megat Zulkarnain kemudian mengumumkan parti itu akan menyerahkan semula semua 20 jawatan ahli majlis tersebut dan meminta 373 jawatan pengerusi JPKK diberi kepada Umno.
Hal itu kerana, katanya, Umno menghormati penguasaan PH di kawasan bandar.
Zahid kemudiannya dipetik sebagai berkata, tidak timbul soal tamak susulan keputusan Umno Selangor menolak tawaran ahli majlis pihak berkuasa tempatan itu.
“Tidak timbul soal tamak dalam perkara ini kerana kami ada 22 ketua-ketua bahagian.
“Jadi kalau ada yang dapat dan ada pula yang tak dapat adalah lebih baik semua tak dapat,” kata presiden Umno.
Sebelum ini, adalah dilaporkan Formula agihan 373 jawatan ketua kampung itu adalah berdasarkan jumlah kerusi dimenangi setiap parti gabungan PH dan BN di Selangor.
Daripada 56 kerusi di DUN Selangor, PH mempunyai 32 kerusi, Perikatan Nasional (PN) 22 dan baki dua lagi dimiliki BN.
Umno diperuntukan 75 jawatan kerana dua kerusinya, iaitu Sungai Air Tawar dan Dusun Tua. - Mkini
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.