`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, May 8, 2024

Bukan mudah Pejuang ‘terbang’ ke Sabah, kata penganalisis

 

Pejuang sebelum ini tewas di semua kerusi ditandingi pada PRU15 termasuk Dr Mahathir Mohamad di Langkawi dan Mukhriz Mahathir di Jerlun.

PETALING JAYA: Bukan mudah untuk Pejuang mengembangkan sayap ke Sabah selepas berdepan penolakan di Semenanjung sewaktu PRU15, walaupun dengan menjalinkan kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kata penganalisis politik.

Mengulas hasrat disuarakan Mukhriz, Sabtu lalu, Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata salah satu cabaran Pejuang adalah mencari ‘niche’ politik atau jenamanya sendiri untuk bersaing dengan parti tempatan.

Selain itu, politik Sabah juga ‘dihiasi’ dengan kehadiran parti bertapak dari Semenanjung seperti Barisan Nasional, Perikatan Nasional (PN) selain PKR dan DAP di bawah gabungan Pakatan Harapan (PH).

“Itu bukan mudah memandangkan Sabah sudah mempunyai parti mereka yang sangat banyak,” katanya kepada FMT.

Beliau juga tidak terkejut dengan hasrat Pejuang ingin berkembang ke Sabah walaupun parti itu berdepan masalah penerimaan rakyat berdasarkan keputusan PRU15 lalu.

Pada pilihan raya umum 2022 itu, Pejuang tewas di semua kerusi termasuk Dr Mahathir Mohamad di Langkawi serta Mukhriz di Jerlun.

Sabtu lalu, Mukhriz berkata partinya sudah mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan beberapa parti politik dari GRS untuk menjalin kerjasama.

Mukhriz menyifatkan pemimpin GRS sebagai “rakan lama yang kita berjuang, menang dan hadapi cabaran bersama”.

Bagaimanapun, Timbalan Setiausaha Agung GRS Armizan Mohd Ali berkata pihaknya mahu memperkukuhkan terlebih dahulu kerjasama GRS-Pakatan Harapan (PH) Plus yang mentadbir Sabah ketika ini.

Sementara itu, Noor Nirwandy Mat Noordin dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata Pejuang atau mana-mana parti mempunyai hak untuk bertanding di mana-mana kawasan yang penerimaannya diputuskan masyarakat setempat.

“Tetapi corak asas undi rakyat adalah pada parti mempunyai imej besar dan gah di kalangan masyarakat setempat,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.