`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, May 8, 2024

SKDS 2.0 bantu pengusaha pengangkutan, kurang kesan terhadap pengguna

 

minyak
Pemilik kenderaan persendirian seperti trak pikap yang menggunakan diesel tidak lagi menikmati subsidi bahan api susulan pelaksanaan rasionalisasi subsidi. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: NGO mewakili syarikat kenderaan pengangkut menyifatkan program Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 mampu memberi manfaat serampang dua mata bukan sahaja kepada mereka tetapi pengguna secara umumnya.

Setiausaha Persatuan Haulier Malaysia (AMH) Mohamad Azuan Masud berkata inisiatif susulan pelaksanaan rasionalisasi subsidi termasuk diesel itu ‘melegakan’ mereka yang akan terus menikmati bantuan kerajaan.

Menurutnya, hampir 90% daripada ahlinya telah mendaftar di bawah SKDS 2.0 untuk mendapat kad fleet dalam Sistem MySubsidi Diesel, yang membolehkan mereka beroperasi tanpa membabitkan kenaikan operasi sekali gus tidak memberi kesan kos logistik.

“Kos logistik berhubung secara langsung dengan harga akhir untuk pengguna, jadi dalam aspek ini rakyat secara umumnya dapat manfaat walaupun pengusaha industri pengangkutan sebagai penerima langsung,” katanya kepada FMT.

Azuan turut menjangkakan pelaksanaan SKDS 2.0 mampu memberi kesan positif dalam usaha mengurangkan kes kecurian diesel oleh pemandu, ⁠penyelewengan serta ⁠penyeludupan bahan api itu ke negara jiran.

Menurutnya, pihaknya ada membangkitkan pelbagai isu untuk bersama-sama menjayakan pelaksanaan rasionalisasi subsidi dalam perbincangan dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali.

“Kami mencadangkan kepada kementerian supaya mengadakan lebih banyak sesi libat urus atau hebahan media yang lebih besar dan menyeluruh.

“Tindakan ini supaya tidak ada pihak boleh membuat tuntutan tidak tahu apabila kerajaan memulakan subsidi bersasar,” katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2024 Oktober tahun lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan hasrat kerajaan merasionalkan subsidi diesel secara berfasa bagi mengelakkan ketirisan dan penyeludupan.

Katanya, wujud kemungkinan aktiviti penyeludupan yang serius akibat harga diesel terlalu murah.

Februari lalu, Armizan mendedahkan negara mengalami kerugian RM4.5 juta akibat ketirisan tiga juta liter diesel diseludup ke luar negara setiap hari.

Pakar ekonomi menyifatkan pelaksanaan rasionalisasi subsidi sebagai langkah penjimatan tepat untuk mengalihkan fokus untuk memenuhi keperluan lain seperti pemberian tunai kepada mereka yang memerlukan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.