“Siapa pun pelaku atau yang terlibat, dia pengkhianat negara. ‘Mematikan’ aset penting Malaysia bukan satu benda yang boleh dimaafkan. Hilangnya seri bola sepak Malaysia selepas salah seorang pemain tumpuan kini tak akan beraksi di atas padang untuk suatu tempoh masa panjang.”
Luahan seorang peminat Faisal Halim di media sosial yang dikreditkan sebagai Afiq Rowley ini cukup untuk mewakili apa yang dirasakan penyokong Selangor FC dan Harimau Malaya serta pencinta bola sepak Malaysia amnya.
Faisal yang menjadi mangsa simbahan asid sulfurik oleh dua individu bermotosikal di luar sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara 5 Mei lalu masih terus dirawat bagi kelecuran teruk tahap empat selepas menjalani tiga pembedahan di sebuah pusat perubatan di Shah Alam, sambil pelakunya masih bebas.
“Ya Allah. Meremang bulu roma tengok video ni. Sampai macam tu sekali kesannya,” tulis seorang warganet di platform X dengan berkongsi satu video kesan asid berkenaan yang boleh mencairkan sebatang sudu keluli dan seekor ayam siap diproses yang hanya tinggal tulang rentung selepas direndam di dalamnya.
Tidak hairanlah Faisal mengadu kesakitan kulitnya dirasakan seperti terbakar ketika mula-mula menerima rawatan terhadap kelecuran tahap empat di muka, leher, lengan, dan badan sehingga tubuhnya dibalut seperti mumia bagi mengelakkan jangkitan kuman.
Afiq menyambung:
“Aku jadi terkelu. Mati ayat untuk tulis secara peribadi mengenai apa yang aku rasa tentang keadaan Mickey kini. Semua aku luah dekat isteri je. Luah seolah-olah rakan atau keluarga sendiri ditimpa musibah. Besarnya pengaruh Mickey ni bukan dekat aku, malahan jutaan peminat bola sepak lain dalam negara sebab sumbangan dia untuk Harimau Malaya.
“Pandangan aku sejak dulu, Mickey merupakan pemain paling patriotik dan sentiasa sedia untuk berbakti bersama Malaysia. Dia bukan orang senang. Dia mula daripada pelbagai program pembangunan. Susah-payah dia cipta karier yang mungkin sesetengah orang pun akan menyerah di separuh jalan. Bila dah ada nama, Mickey tak pernah sombong. Percakapan dia kekal marhaen. Semua untuk Malaysia. Bangga ada sumbangan buat tanah air sendiri.
“Berapa puluh tahun lagi kita nak lihat bakat sebagus Mickey pada masa hadapan? Maksud aku daripada segi hebatnya beliau di atas padang dan kekal marhaen di luar padang. Aku tahu, bila naiknya nama seseorang pemain, pembenci juga akan naik sekali. Tapi tak jangka sampai tahap ini sekali beliau akan terima.
“Apa dosa besar Mickey buat orang lain? Bagi yang tiada kaitan atau rapat dengan beliau, aku nampak dia hanya sumbang sesuatu buat bola sepak negara. Dia wira. Nama Mickey kini dah mula jadi sebutan ramai anak-anak muda lain. Ikon anak muda dan ahli sukan Malaysia. Rehatlah sebentar Mickey, kembali selepas ini dengan lebih kuat. Apa pun jadi tak akan menolak suatu fakta: Faisal Wira Bola Sepak Malaysia.”
Kelmarin, Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC Shahril Mokhtar melahirkan harapan agar polis merungkai insiden hitam membabitkan Faisal selain merayu pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci dan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.
“Saya tak boleh nak komen (ditanya media mengapa polis terlalu lama menyiasat kes itu). Itu kena tanya IGP (Ketua Polis Negara Razarudin Husain) sendirilah. Saya cuma harap IGP pun kalau boleh dari semasa ke semasa update sebab Faisal ini bukan hanya aset negara tapi dia hero negara. Harapan saya supaya kalau ada apa-apa perkembangan yang tidak begitu sensitif, yang berwajib (pihak polis) dapatlah maklumkan kepada kami di luar sini,” katanya.
Razarudin ketika memaklumkan polis dalam proses menghasilkan lakaran fotofit suspek dalam hebahan terakhir mengenai kes Faisal pada 11 Mei lalu, mengulangi bahawa pihaknya amat serius dalam menjalankan siasatan untuk memastikan pelakunya tertangkap walaupun mungkin mengambil masa.
“Atas risikan dan siasatan, barulah kita akan ambil tindakan menangkap suspek yang kita kenal pasti. Kita pun perlu ada bukti. Kita tak boleh tangkap orang sesuka hati,” katanya sambil memaklumkan bahawa lebih 12 saksi termasuk Faisal sendiri, pengawal keselamatan di lokasi kejadian dan doktor sudah selesai dirakam keterangan mereka bagi membantu siasatan.
Perbandingan turut dibuatnya dengan siasatan panjang yang masih diteruskan ke atas kes Zayn Rayyan Abdul Matiin — kanak-kanak autistik berusia enam tahun yang dilaporkan hilang di Damansara Damai 5 Dis lalu sebelum ditemukan meninggal dunia berdekatan blok rumahnya di Apartment Idaman keesokannya dan bedah siasat mendapati kanak-kanak itu dipercayai dibunuh.
Di media sosial, perdebatan mengenai kes Faisal masih berterusan, dengan sesetengahnya menawarkan pelbagai andaian terhadap pihak-pihak yang didakwa mereka terbabit – Razaruddin pada 9 Mei lalu mengingatkan agar jangan timbulkan spekulasi termasuk mengaitkan dengan ‘istana’. Tidak kurang juga warganet menyuarakan keresahan terhadap kelewatan polis menamatkan siasatan dan membuat tangkapan.
Polis sebelum ini menahan seorang lelaki berusia 20-an di Pandan Indah, Ampang tapi dibebaskan selepas direman dua hari kerana siasatan mendapati dia tiada kaitan dengan kes itu. Selepas itu, polis turut menahan seorang lagi suspek berusia lewat 30-an di Bandar Baru Bangi sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
“Dah malas nak berharap kes Akhyar Rashid dan Faisal Halim selesai. Paling kurang kereta Honda (City) Safiq Rahim dah keluar bengkel,” kata seorang warganet merujuk kepada pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu yang membuat laporan polis keretanya dipecahkan cermin belakangnya oleh dua lelaki menaiki sebuah motosikal ketika sedang memandu ke arah Pantai Lido di Johor Bahru pada malam 7 Mei lalu.
Faisal, yang telah menjalani tiga pembedahan termasuk satu lagi dijadualkan minggu depan dan terpaksa menempah skin allograft atau tampalan kulit yang diimport dari Belgium dengan nilai lebih RM30,000, semakin menunjukkan perkembangan positif. Dia telah dipindahkan ke wad biasa pada Selasa selepas kira-kira sembilan hari berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) tapi akan tetap berada di bawah pemantauan rapi untuk rawatan susulan dan masih tidak dibenarkan menerima pelawat.
Percakapannya juga semakin jelas selain selera makan meningkat dan sudah boleh boleh makan diet biasa berbanding diet lembut sebelumnya dan ada menyatakan keinginannya untuk menikmati nasi kandar.
Pada 11 Mei lalu, Selangor FC melancarkan papan iklan tanda setiakawan dengan Faisal yang dipasang di sekitar Lembah Klang dengan membawakan pesanan “Stand with Faisal Halim. Stop The Violence!” atas usaha kolektif rakan kongsi kelab itu di seluruh negeri.
Pada tahap ini, penting untuk semua pihak bersolidariti dengan Faisal yang memerlukan suntikan semangat dan doa untuknya menyegerakan pemulihan dan kembali ke padang dalam masa terdekat. Kalau pun dia tidak menyimpan sebarang dendam terhadap individu yang mencederakannya, kesegeraan polis menyelesaikan kes membabitkan simbahan asid ke atasnya akan dapat menegakkan keadilan selain menghindarkan pelbagai andaian dan kesangsian ramai, terutama peminatnya.
Faisal tidak berhak untuk dicederakan sedemikian rupa dan bukan hak sesiapa untuk meragut perjuangannya untuk terus berbakti kepada kelab dan negara.
“Kan best kalau Selangor FC dengan fans masa lawan Kedah Sabtu nanti buat sesuatu yang lain sikit. Pada minit ke-7, game stop kejap dan fans beri tepukan untuk Faisal Halim selama satu minit. Dan Selangor FC paparkan wajah Faisal di scoreboard. Memberikan semangat…” kata satu catatan di platform X. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.