Kalau ada sebuah negeri yang boleh menjadi hab warisan digital di negara ini, negeri tersebut tentunya Selangor. Meskipun ada orang akan mempertikaikan dengan tanggapan Selangor tidak sepertinya Kedah, atau Terengganu; jauh pula dari Kelantan dan Negeri Sembilan yang memiliki gaya, jati diri dan warna budaya serta warisan unik tersendiri; hakikatnya Selangor negeri dengan warisan yang luar biasa. Keluarbiasaan Selangor ini bahkan mesti disimpan atau dipulihara, dan Selangor boleh mengorak langkah dengan melakukannya secara digital.
Kita tidak perlu pergi jauh-jauh. Ambil sahaja warisan yang dipunyai Selangor dari segi dialek dan bahasa. Banyak kini warisan bahasa ini tidak diketahui. Ia perlu disimpan dan Selangor tidak dapat tidak mesti terkehadapan dalam melakukannya dari segi digital.
Sebagai contoh, Selangor satu masa dahulu di abad ke-18 dan 19, dikenali dengan ‘Orang Buket’. Mereka adalah penghuni asli Selangor. ‘Orang Buket’ ini ada empat kelompok yang terdiri dari Orang Klang, yang mendiami kawasan Bukit Kuda, bukit bukau Dulang-Dulang, Berwang, Laiang dan Sungai Batu. Manakala kelompok kedua lebih dirujuk sebagai Orang Selangor yang mana mereka menghuni hala ke Kuala Garing, Batu Hangus, dan Ulu Garing. Kelompok ketiga boleh ditemukan di sekitar Jugra dan Kajang, dan mereka dinamai sebagai Orang Langat. Terakhir, adalah kelompok Orang Beranang yang berhimpun di kawasan Sungai Lui tidak jauh dari Hulu Langat. Saya difahamkan yang bahasa atau dialek bahasa Melayu kaum atau suku Orang Buket ini disebut sebagai Bahasa Blandas.
Orang Buket, tinggal lebih dalam ke darat; dan ini berlainan pula dengan kaum Melayu yang menumpu tinggal di pesisir pantai dan mereka dikenal sebagai Orang Laut. Bahasa pertuturan Orang Laut adalah Bahasa Besisi. Tentu sahaja ada perbezaan ketara antara kedua-dua bahasa ini.
Misalnya Bahasa Besisi menyebut Burung sebagai Chim, atau Hitam sebagai Heram, Anjing disebutkan Choh, Perempuan dipanggil Kedul, sedang Lelaki disebut sebagai Lemul. Terdapat lagi sebutan-sebutan lain untuk perkataan Hujan iaitu Gemah, Pendek itu Jelay, Air adalah Doh, Pagi ditutur sebagai Cherung dan aneka macam lagi.
Untuk Orang Buket, Lelaki adalah Remien; manakala Wanita adalah Moi. Esok dituturkan sebagai Nisum. Semalam pula adalah Nehher. Makan menurut bahasa Orang Buket adalah Cha-Cha, dan Minum dalam bahasa mereka disebut dengan Bini.
Apa yang saya sentuh di atas semakin terhakis hari ini dan kurang diketahui generasi baharu. Justeru menyelamatkan pengetahuan atau warisan ini harus dilakukan tanpa lengah lagi.
Malahan kepentingan Selangor melakukan usaha digital budaya dan warisan ini tidak dapat lagi dibendung. Selangor unik kerana ia menjadi tempat tumpuan orang datang atau dagang; dan pusat pertembungan pelbagai bangsa, kaum dan orang dari serata Alam Melayu yang memberikannya kelainan sentuhan magis.
Bukan itu sahaja, Selangor juga menjadi tumpuan Orang Cina, Orang India, dan menjadi dambaan Orang Eropah. Semua itu jika disorot memberikan kita sejuta macam kemungkinan yang tidak terhingga.
Tokoh-tokoh bersejarah Selangor hendaklah diabadikan, bukan setakat menjadikan nama mereka di sekolah atau jalan. Bahkan perlu ada tim pengkaji yang didanai untuk menyelidik, dan memuatnaikkan maklumat figur sepertinya Sultan Asahan dari Sumatera yang melabur dalam ladang kopi di Selangor.
Tidak ramai yang tahu Selangor pernah menjadi pengeluar kopi dan ada ladang besar dimiliki penjajah British bernama JM Lyon. Jika itu belum cukup melongokan, bagaimana kalau saya sebutkan di Kajang pernah ada sejarah lebih sepuluh orang bangsa Amerika dengan kerahan hamba 60 Orang Kulit Hitam (dipanggil Negro secara menghina di sana) datang menerokai kawasan perlombongan di Sungai Tangkas, Kajang.
Siapa pula tahu sejarah Syed Mashhor, Arab kacukan berasal dari Pontianak yang ikut memainkan peranan penting dalam perang saudara di negeri ini di hujung abad ke-19. Kita sudah biasa mendengar tentang Kapten Yap Ah Loy di Kuala Lumpur (yang dulu adalah bahagian Selangor), tetapi mungkin belum pernah mengetahui perihal Si Sen Ta ketua kelompok Ka Tu In, seorang Cina yang berpengaruh sehingga digelar Kramat.
Justeru, jika saya menyebutkan Selangor sebagai hab warisan digital bukanlah main dan gurau. Ini kerana Selangor memang padat dan tepu dengan pelbagai warisan yang bagaikan mutiara berkilauan menanti digilapi.
Tidak bersalahan dengan gerakan yang dipacu kerajaan negeri memandangkan pada 2021, Menteri Besar Amirudin Shari melancarkan Inisiatif Infrastruktur Digital Pintar (SDI) Smart Selangor dengan mengisytiharkan kesediaan negeri ini untuk beralih ke inovasi digital dalam memastikan sistem penyampaian lebih cepat kepada orang ramai. Hasrat Amirudin sangat murni iaitu menjadikan Selangor Negeri Pintar di Asean menjelang 2025.
Untuk itu, tidak terbiar begitu sahaja, Amirudin menyebutkan pula dalam tahun 2022 bahawa antara kemudahan yang menggunakan inisiatif teknologi pintar itu termasuk Smart Selangor Parkir (SSP), e-kupon dan e-pembayaran warganegara (CEpat). Selangor awal-awal menjadi negeri pertama melaksanakan pembayaran tempat letak kereta digital e-kupon menggantikan kertas kupon yang dimansuhkan sepenuhnya. Ini meletakkan Selangor sebagai negeri dengan inisiatif paling bersungguh untuk menjadi sebuah negeri pintar.
Tentulah kemajuan digital Selangor tidak harus terhenti pada aspek tata-kelola dan kecanggihan pentadbiran atau perjalanan kerajaan. Apa gunanya negeri moden bergaya dan berteknologi tinggi namun rompong isi budaya dan sejarahnya.
Saya percaya Selangor harus mengorak langkah menjadi pelopor kepada hab warisan digital. Selangor boleh memulai dengan apa yang dimilikinya. Negeri ini sangat kaya (tentu segi materi) dan kaya (dari sudut budaya dan warisan) yang mana kekayaan ini bukan sahaja perlu dimodal dan diperaga tetapi wajib dipulihara secara digital agar mudah diakses di masa hadapan. Pada 2023, Amirudin selaku menteri besar mengambil tanggungjawab untuk memodenkan pentadbiran dan menggerakkan segenap tenaga dalam mendigitalisasikan prasarana kerajaan. Tidaklah bersalahan sekiranya Selangor yang maju ini menjadi teladan contoh untuk negeri-negeri berbudaya dan berwarisan. Dalam hal ini Selangor dapat menjadi ‘abang’ untuk negeri lain dari aspek ini.
Selangor, ‘rumah’ kepada banyak universiti terkemuka dan bertaraf penyelidikan boleh memanfaatkan pengkaji dan saintis yang mendiami negeri ini. Ayuhlah Selangor, hab warisan digital sekarang! - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.