`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, May 17, 2024

IWK terbit teater selami ‘kerja kotor’, pengorbanan laksana rawatan kumbahan

 

iwk
Ketua Komunikasi Korporat IWK Wan Esuriyanti Wan Ahmad bersama penyanyi dan pelakon yang menjayakan teater ‘Najis Jadi Teman’ di IWK Eco Park @ Pantai Dalam, 22 Jun depan.

KUALA LUMPUR: Orang ramai berpeluang menyaksikan teater amal terbitan Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd pada 22 Jun depan yang mengisahkan cabaran serta kepentingan proses rawatan kumbahan dalam kehidupan seharian manusia.

Teater dipentaskan sempena ulang tahun ke-30 syarikat itu akan diserikan dengan penampilan penyanyi dan penulis lirik, Atilia Haron bersama pelakon Alfred Loh dan Phraveen Arikiah sebagai teraju utama.

Pementasan teater bertajuk ‘Najis Jadi Teman’ itu turut dijayakan oleh kanak-kanak bernaung di bawah Yayasan Chow Kit (YCK) iaitu NGO membantu mereka yang berisiko serta kurang bernasib baik di sekitar Chow Kit.

Teater yang bakal dipentaskan di IWK Eco Park @ Pantai Dalam itu turut dijayakan bersama Wayang Kitchen.

Ketua Komunikasi Korporat IWK Wan Esuriyanti Wan Ahmad berkata teater ini memberi satu pengalaman dan membuka minda ramai mengenai kerja kotor, sukar dan berbahaya (3D) yang sering dilupakan ramai.

iwk
Wan Esuriyanti Wan Ahmad berkata teater itu akan memberi satu pengalaman dan membuka minda ramai mengenai kerja kotor, sukar dan berbahaya (3D) dalam merawat kumbahan.

Menurutnya, tajuk dan pementasan itu tercetus menerusi nukilan puisinya menceritakan pengorbanan petugas IWK berpanas memakai peralatan perlindungan diri (PPE) demi manfaat ramai yang ‘berkurung’ di rumah ketika PKP susulan penularan wabak Covid-19.

“Kita banyak guna pendekatan dalam mendidik dan memberi kesedaran betapa penting rawatan kumbahan dalam kehidupan seharian.

“Teater boleh menjadi satu daripada platform kreatif dalam menyampaikan naratif kami dengan cara menghiburkan,” katanya pada sidang media di IWK Eco Park @ Pantai Dalam.

Pengarah teater Razif Hashim pula berkata persembahan bakal ditampilkan dalam teater itu berbeza dengan pementasan di Wayang Kitchen yang sering menggunakan subjek makanan.

“Namun penonton masih boleh mengharapkan sesuatu untuk difikirkan dan menarik,” katanya.

Tiket persembahan berharga RM100 boleh mula dibeli 20 Mei ini melalui platform CloudJoi yang kutipannya akan disumbangkan kepada YCK. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.