`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, May 20, 2024

KTMB tambah baik garis panduan susulan kontroversi pesta dalam tren

 

KTMB berkata selaku penyedia perkhidmatan sewaan khas mereka mempunyai garis panduan dan terma tertentu, namun aktiviti dijalankan ditentukan penyewa. (Gambar KTMB)

PETALING JAYA: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memberi jaminan akan menambah baik garis panduan tren sewaan khas, susulan kontroversi penganjuran pesta hiburan dalam tren milik syarikat itu baru-baru ini.

Dalam kenyataan KTMB berkata, pesta dikenali sebagai ‘Pinkish Express’ di tren sewa khas yang membuat perjalanan pergi dan balik dari Stesen Kuala Lumpur ke Serendah pada 16 Mei lalu mematuhi syarat ditetapkan pihaknya.

“KTMB menetapkan syarat-syarat seperti larangan merokok, alkohol, penggunaan dadah dan tidak melakukan perkara yang boleh melanggar undang-undang dan ianya dipersetujui dan dipatuhi oleh pelanggan kami.

“Mengambil maklum berkaitan isu tersebut, KTMB akan menambah baik dan mempertingkatkan garis panduan perkhidmatan tren sewa khas demi kepentingan orang awam dan syarikat,” katanya.

Syarikat itu berkata, selaku penyedia perkhidmatan mereka mempunyai garis panduan dan terma tertentu, namun aktiviti dijalankan ditentukan oleh penyewa.

“Peranan KTMB adalah sebagai penyedia perkhidmatan di mana kami menyediakan keseluruhan tren dan koc-koc mengikut permintaan pelanggan.

“Dan aktiviti yang direncana ditentukan sendiri oleh pihak pelanggan mengikut garis panduan dan terma-terma yang telah ditetapkan,” katanya.

‘Pinkish Express’ dikatakan ‘festival hiburan pertama atas kereta api Asia Tenggara’ diadakan menggunakan gerabak KTM, bermula dari Stesen Kereta Api Kuala Lumpur.

Hantaran dikongsi di media sosial menunjukkan hadirin menari dalam acara itu, diiringi persembahan muzik DJ.

Semalam, Pemuda PAS menggesa kerajaan menyiasat kelulusan diberikan untuk penganjuran pesta itu kerana ia melibatkan gerabak milik KTMB.

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, berkata acara hiburan sedemikian tidak wajar diadakan kerana tidak selari dengan falsafah Malaysia Madani serta budaya Timur. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.