`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, May 12, 2024

Naratif kerajaan gagal tak laku di KKB

 

hishamuddin-aun

Gendang perang dalam PRK Kuala Kubu Baharu dimulakan Muhyiddin Yassin yang melaungkan ‘110%’ yakin Perikatan Nasional (PN) akan rampas kerusi DUN itu. Alasan pengerusi PN ialah kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim yang didakwanya sudah gagal sejak ambil alih pentadbiran Putrajaya pasca PRU15 pada November 2022 kehabisan modal untuk memikat hati pengundi.

Apa yang tidak jadi modal serangannya – daripada isu subsidi, kos sara hidup, kenaikan harga barang, isu pendidikan sehingga kepada infrastruktur – semuanya dijadikan bahan utama kempen bagi membuktikan bahawa kerajaan Madani tidak berupaya menyelesaikan masalah berkenaan.

Juga hujahnya itu untuk menangkis telahan Presiden Umno Zahid Hamidi yang lebih dahulu menyatakan yakin 100%. Itu bagaimanapun ditolak Muhyiddin sebagai berdasarkan keputusan calon dalam PRN 12 Ogos tahun lalu, berbeza dengan PRK ini yang dikatakannya berlangsung dalam situasi baharu. Mungkin apa yang dimaksudkannya ialah ikatan Umno dan DAP dalam kerajaan perpaduan semakin ditolak pengundi Melayu.

Menamakan calon Melayu mewakili PN, presiden Bersatu yakin pilihan berkenaan dibuat pada masa sesuai dengan berlatarbelakangkan peratusan seimbang pengundi antara Melayu 49.3% dan bukan Melayu 50.6% – 30.6% Cina dan 17.9% India serta 2.1% lain-lain termasuk Orang Asli. “Andai dicongak kasar, jika pengundi Melayu keluar lebih 80%, kita menang,” katanya.

Penganalisis sebelumnya mengandaikan pilihan PN mengetengahkan calon Melayu menimbulkan dilema buat penyokong Umno. Pengundi Melayu yang dikatakan berpecah-belah antara PN dan Barisan Nasional (BN) turut didakwa ‘bersatu’ di belakang Khairul Azhari Saut selaku calon Melayu PN berdepan Pang Sock Tao daripada DAP. Turut bertanding ialah Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (bebas).

Menyasarkan untuk memanfaatkan ketidaktentuan undi Melayu itu, dua minggu kempen PN lebih berkisar kepada memburuk-burukkan Pakatan Harapan (PH) daripada menabur janji apa yang ia sendiri mampu tawarkan kepada pengundi.

Ini mendorong Menteri Besar Amirudin Shari mengecam kempen ‘manipulatif’ pembangkang dengan mendakwa situasi rakyat lebih buruk ketika bawah pentadbiran PN dan Muhyiddin. Pembangkang dakwanya turut memanipulasi pelbagai inisiatif kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri termasuk usaha membasmi miskin tegar.

“Harga barang – itulah tema kempen mereka tetapi mereka berasa tidak perlu untuk melihat pada harga ketika pemerintahan mereka atau adakah bekalan makanan cukup ketika itu. Sekiranya sebarang cerminan dibuat, PN tidak akan terlalu cepat bercakap mengenai harga barang,” katanya.

Petanda kekalahan PN dalam PRK semalam tanpa mereka sedari sudah dibayangkan oleh keterlanjuran pemimpinnya sendiri – daripada Muhyiddin, Presiden PAS Hadi Awang, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dan Azmin Ali selaku pengarah pilihan raya PN bagi PRK ini.

Selepas Muhyiddin terbawa-bawa dengan keyakinan awalnya pada hari penamaan calon 27 April lalu, Hadi pula melabel DAP sebagai parti ekstremis, Takiyuddin menakut-nakutkan pengundi akan ada pilihan raya semula dengan petisyen akan dikemukakan partinya di samping Azmin yang menolak mentah-mentah satu dapatan kajian di lapangan oleh Ilham Centre yang meramalkan kemenangan tipis di pihak calon parti kerajaan.

Keputusan diumumkan malam tadi menunjukkan betapa mereka semua tersilap kerana pengundi nampaknya lebih meyakini pentadbiran yang sama di peringkat negeri dan persekutuan berbanding pembangkang yang memasang angan-angan untuk menjadi kerajaan semula. Kemenangan diharap-harapkan Muhyiddin untuk diuar-uarkan sebagai pungutan suara penolakan kerajaan turut lenyap.

Di sebalik sepatutnya akur bahawa PN memerlukan lebih daripada kebergantungan kepada undi Melayu untuk meraih kemenangan, Hadi yang tampil dalam ceramah ‘grand finale’ pada Khamis harus menutup peluang untuk mendapat undi Cina. Gesaannya kepada pengundi ialah supaya menolak calon PH daripada DAP yang didakwanya mengamalkan pendekatan ekstrem selain mahu merampas kuasa politik secara halus dan licik sehingga boleh menyebabkan kekacauan dalam negara. Hadi mungkin terlupa Kuala Kubu Baharu dikuasai DAP sejak PRU13 pada 2013.

Menegurnya supaya jangan jadi munafik politik, Ketua Penerangan Umno Azalina Othman turut mengingatkan Hadi bahawa PAS dan DAP pernah bekerjasama bawah Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat (PR) sebelum kedua-duanya memutuskan hubungan pada 2015. “Dulu boleh (kerjasama dengan DAP) sekarang tak boleh. Dulu sayang, sekarang tak sayang, tak bolehlah begitu,” katanya.

Sama juga kritikannya terhadap Takiyuddin yang menyatakan selepas pelancaran manifesto calon PN Isnin lalu bahawa pihaknya mahu mengemukakan petisyen pilihan raya sekiranya PH memenangi PRK Kuala Kubu Baharu, seolah-olah seperti tahu bahawa mereka akan kalah.

Ini selepas Takiyuddin mendakwa mempunyai bukti berlaku ‘penyaluran’ yang disifatkannya sebagai rasuah selain penyalahgunaan jentera kerajaan dalam PRK ini. Pada Azalina, kenyataan Takiyuddin itu yang dibuat sebelum hari mengundi sekadar menunjukkan pembangkang hanya mahu menakut-nakutkan pengundi daripada menyokong PH.

Semalam pula, sebuah badan pemikir merumuskan PH memiliki sedikit kelebihan untuk mengekalkan DUN Kuala Kubu Baharu di sebalik cabaran sengit PN. Ilham Centre dalam kajian di lapangan berkata strategi PN meletak calon Melayu bukan sahaja tidak berkesan, malah kempen tema agama serta kaum digunakan gabungan itu sudah tepu ke siling.

Kajian itu turut mendapati hubungan Umno-PH semakin serasi yang secara langsung meyakinkan ‘pengundi putih’ untuk bersama menyokong calon perpaduan kali ini. Pemimpin Umno pula hanya mengurus ahli mereka agar menerima semangat kerajaan perpaduan dan kelangsungan parti itu dengan kerajaan demi kebaikan masa hadapan. Sebilangan ahli Umno yang protes dalam pilihan raya lalu juga mulai kembali menerima hakikat Umno bersama PH kerana tiada apa-apa kelebihan bersama pembangkang di Selangor.

Apa kata Azmin? Tinjauan parti itu sendiri – yang menerima banyak laporan risikan – mendapati sambutan pengundi terhadap calon PN sangat positif dan ia mempunyai peluang baik untuk memenangi PRK itu.

“Secara umumnya, sambutan cukup positif daripada rakyat KKB. Semalam (Khamis) kita lihat bagaimana sambutan masyarakat India yang cukup baik menyambut kedatangan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dan mereka mendengar sendiri penjelasan dasar-dasar PN,” katanya.

Kepada Muhyiddin, Hadi, Takiyuddin dan Azmin, dengarlah jawapan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail selepas kemenangan Pang malam tadi: “Kempen PH-BN dan kerajaan perpaduan ialah penyelesaian kepada masalah rakyat. Kempen PN pula tiada isi dan terus dengan taktik usang 3R (isu kaum, agama dan institusi diraja).”

Suka atau tidak, PN perlu terima usaha mereka untuk terus menjaja cerita kerajaan gagal ternyata sudah tak laku. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.