`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, May 7, 2024

Patutkah Akmal Saleh minta maaf selepas kenyataan mufti Perak?

 

tajuddin rasdi

Mufti Perak Wan Zahidi Wan Teh mengeluarkan kenyataan bahawa boikot KK Mart adalah keterlaluan dan melampaui batasan Sunnah. Walaupun agak ‘lewat’ namun kenyataan ini adalah suatu yang saya kira amat penting bagi rakyat Malaysia dan membantu menenangkan ketegangan perkauman serta konflik agama. Beliau juga menyatakan kekhuatiran terhadap tiga bom petrol yang dilontar ke kedai KK Mart yang nasib baik tidak mengakibatkan kehilangan nyawa pekerja rakyat Malaysia. Alhamdulillah.

Mufti Perak menyebut bahawa, dari pandangan dan penelitian beliau yang mengambil masa agak panjang, beliau mendapati tiada niat buruk dalam apa yang berlaku tentang kes stoking berkalimah Allah itu dan pemilik kedai sudah meminta maaf berkali-kali.

Keputusan sesetengah pihak orang Melayu Islam yang memanggil boikot dan mana-mana pihak yang melontarkan bom adalah perbuatan di luar batasan Islam dalam menangani kes penghinaan nama Allah serta melanggar ketertiban penyiasatan terhadap isu tersebut. Mufti Perak mengingatkan bahawa pembentukan negara bangsa di Madinah oleh Nabi Muhammad menjamin keamanan kepada semua Muslim dan bukan Muslim terhadap nyawa dan harta. Ini, saya kira, termasuk juga maki hamun serta fitnah yang berleluasa dalam media sosial.

Jelas di sini, bagi saya, yang pada mula kejadian telah mengambil posisi sama dengan mufti Perak dan juga sebelum ini mufti Pulau Pinang menolak tindakan berlebihan dalam kes boikot yang mengakibatkan tersekatnya pendapatan beribu-ribu pekerja rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama. Namun demikian, orang seperti Akmal Saleh masih menagih-nagih boikot sehingga ‘puas hati’, katanya.

Saya ada dua persoalan yang ingin dibangkitkan di sini. Pertama, patutkah Akmal meminta maaf kepada pekerja KK Mart kerana menyempitkan pendapatan mereka? Patutkah Akmal juga meminta maaf kepada seluruh warga Malaysia hingga ke Sabah dan Sarawak kerana mengapi-apikan konflik agama dengan menuduh sewenang-wenang tanpa siasatan rapi dan adil? Ramai rakan-rakan saya daripada kalangan bukan Islam amat takut dengan perangai orang Umno ini yang dirakamkan menghunus pedang samurai dan memberi kata-kata semangat perjuangan yang tidak bertempat langsung dan bersikap berbahaya kepada ketenteraman negara.

Kemungkinan besar, saya menjangka bahawa Akmal tidak akan meminta maaf, sebab beliau telah pun mengkhayalkan imejnya sebagai pejuang Islam yang memperjuangkan nama suci Allah. Populariti beliau naik mendadak dan apabila Umno sendiri menyokong tindakannya 100%, sahamnya tegak menjulang. Saham Umno pun saya agak naik jugalah. Kenapa Akmal berkemungkinan mengambil sikap tidak akur meminta maaf? Mungkin beliau akan mengatakan bahawa kenyataan mufti adalah dari Perak, dan bukan dari negeri tumpah darahnya. Kemungkinan juga beliau akan mengungkit yang perbicaraan KK Mart belum bermula dan berakhir dengan keputusan mahkamah. Tak apalah kita tunggu dan saya akan ulang tuntutan rakyat ini.

Perkara kedua yang saya nak bangkitkan adalah, apa halnya pula dengan penularan isu KK Mart dan juga pengguna media sosial orang Melayu yang mungkin dah berhaji, berjubah dan bersembahyang lima waktu? Patutkah mereka juga minta maaf atas penilaian bernas mufti Perak? Telah berbuih-buih maki hamun, kata nista dan sumpah seranah yang dimulutkan melalui video dan tulisan WhatsApp atau X. Kita orang Islam diajar untuk minta maaf dengan si mangsa yang ditohmah dan difitnah serta merta dengan menyebut kesalahan dan dosa kita. Tak perlu tunggu Hari Raya Aidilfitri 2025, susun jari dan minta maaf sajalah untuk mengubati racun perkauman yang dihambur selama ini.

Akhir kalam, saya ingin mengingatkan bahawa untuk membina negara yang berjaya, ia adalah tanggungjawab kita bersama, bukan pada bahu Anwar Ibrahim saja. Negara kita, tanggungjawab kita semuanya. Maka, seperti yang ditulis dan dipesan Imam Ghazali dalam bab Bencana Lisan buku Ihya Ulumuddin, jagalah pertuturan kita supaya tidak diperangkap dengan dosa menuduh secara liar atau menularkan tanpa usul periksa. Sesungguhnya, kata beliau, lidah kita akan mengheret kita ke Neraka. Negara kita pula akan gagal segala program pembangunan disebabkan ketegangan perkauman dan konflik agama yang dicetus oleh politikus oportunis dan pengguna media sosial yang kurang matang pemikiran Islam.

Kebebasan bersuara harus ditunggaki hikmah, hormat dan adab. Kebebasan tanpa hikmah, hormat dan adab bakal menguburkan wawasan kesejahteraan bersama negara tercinta ini. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.