`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, May 10, 2024

Pharmaniaga komited pulih kewangan keluar status PN17

 

Pharmaniaga masih menunggu kelulusan Bursa Malaysia bagi pelan penstrukturan semula dan dalam masa sama menetapkan strategi holistik untuk meningkatkan ekuiti serta mengurangkan kerugian terkumpulnya.

KUALA LUMPUR: Pharmaniaga Bhd menegaskan komitmennya terhadap pemulihan kewangan dalam situasi pandangan diberikan juruaudit bebas, PricewaterhouseCoopers (PWC) mengenai penyata kewangannya bagi 2023.

Syarikat itu memberi jaminan kepada pemegang saham mengenai kemajuannya yang kukuh, disokong asas perniagaan berdaya tahan, di samping strategi jelas untuk keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17).

Sebelum ini, firma audit itu membangkitkan isu keupayaan Pharmaniaga meneruskan perniagaannya memandangkan kebimbangan berterusan berdasarkan kewangan 2023 syarikat tersebut.

Pengarah Eksekutif Pharmaniaga, Zulkifli Jafar berkata, komitmen syarikat terbukti dengan pelan hala tuju terperinci ke arah pemulihan kewangan yang dikeluarkan melalui pengumuman pada November 2023, dan seterusnya menerusi penyerahan pelan penstrukturan semula kepada Bursa Malaysia Securities pada Februari lalu.

Pihaknya masih menunggu kelulusan Bursa Malaysia bagi pelan penstrukturan semula itu dan dalam masa sama menetapkan strategi holistik untuk meningkatkan ekuiti serta meminimumkan kerugian terkumpul syarikat.

Beliau dalam kenyataan berkata, pendekatan itu menumpukan pengurangan kira-kira RM180 juta modal saham terbitan, pengumpulan dana RM354.6 juta melalui terbitan hak bagi pemegang saham mengukuhkan pelaburan dan RM300 juta buat tawaran persendirian pelabur berpotensi menyertai rancangan pertumbuhan syarikat.

“Kami melaksanakan pelbagai inisiatif secara agresif, termasuk tetapi tidak terhad untuk memperkemas semua operasi perniagaan; menamatkan perniagaan bukan teras dan berprestasi rendah; meningkatkan kecekapan operasi dan pengoptimuman kos melalui kawalan kos ketat; mengurangkan tenaga kerja; mengetatkan tadbir urus korporat serta meningkatkan margin dengan menumpukan produk dan perkhidmatan bernilai tinggi.

“Selain itu, Pharmaniaga juga melaksanakan tawaran persendirian pada Julai tahun lepas untuk mengukuhkan aliran tunai kami.”

Dalam usaha mencapai pertumbuhan mampan, Pharmaniaga mengenal pasti lima tonggak strategik sebagai asas operasi, termasuk mengukuhkan perniagaan sektor awam; membina keupayaan biofarmaseutikal; mengurangkan kos secara agresif; mengembangkan pasaran swasta dan mencipta semula perniagaan Indonesia bagi syarikat.

Zulkifli mengulangi situasi kewangan tidak menjejaskan kecekapan operasi, terutama anak syarikatnya Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd (PLSB) yang memegang konsesi logistik dan pengedaran dengan Kementerian Kesihatan (KKM).

Pihaknya secara konsisten cemerlang dalam memenuhi piawaian perkhidmatan KKM dengan mencapai skor 98.75% bagi 2023 dan 99.26% untuk suku pertama tahun ini, katanya.

“Keputusan ini sebagai bukti usaha kami dalam menyampaikan perkhidmatan dan produk luar biasa kepada pelanggan kami. Komitmen kami kepada KKM kekal kukuh dan utuh.”

Beliau berkata, Pharmaniaga mempunyai keupayaan dan sumber untuk mengatasi cabaran serta mencapai sasaran.

“Terutama apabila syarikat mendapat sokongan tidak berbelah bahagi daripada pemegang saham utama kami, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Boustead Holdings Bhd.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.