HULU SELANGOR: Calon bertanding berharap 39,269 pengundi yang layak memilih pada PRK Kuala Kubu Baharu hari ini menunaikan segera tanggungjawab mereka bagi mengatasi peratus mengundi direkodkan PRN Selangor lalu.
Khairul Azhari Saut dari Perikatan Nasional (PN) optimis jumlah pengundi kali ini lebih tinggi berbanding 67% direkodkan pada pilihan raya negeri, Ogos tahun lalu berikutan kehadiran ramai sejak 8 pagi tadi.
“Belum sejam pusat mengundi dibuka tetapi nampak agak ramai, terutama di saluran tiga. (Pengundi) tak putus-putus berbaris.
“Kita harapkan peratusan mengundi lebih besar kali ini, kalau boleh turun sebelah pagi bimbang hujan pula kalau petang nanti,” katanya ditemui selepas Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Batang Kali.
Pang Sock Tao dari Pakatan Harapan (PH) juga senada dengan lawannya apabil menasihatkan semua pengundi mengambil kesempatan turun awal.
“Saya minta pengundi keluar mengundi awal,” katanya ditemui di pusat mengundi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Khing Ming.
Bagi calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah Zainuddin, beliau terkejut dengan kehadiran pengundi yang ramai sejak awal pagi.
“Kita ingat ada boikot ke apa tapi ramai keluar,” katanya ketika ditemui selepas melawat pusat mengundi di sekitar Ampang Pecah.
Seramai 39,269 pengundi layak untuk mengundi hari ini dengan 18 pusat pengundian dengan 74 tempat mengundi atau saluran disediakan.
Kesemua pusat mengundi berkenaan dibuka sehingga 6 petang kecuali pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bukit Fraser yang mempunyai 40 pengundi, akan ditutup pada 2 petang.
Setakat jam 10 pagi tadi, 18.05% pengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka memilih wakil rakyat baharu susulan kematian Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu akibat barah. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.