Dia adalah megastar yang pernah menawan manusia seluruh dunia. Michael Jackson adalah legenda!

Saya masih ingat lagi ketika lagu Beat It nyanyian Michael Jackson meletup. Ini fenomena satu dunia sehinggakan anak Cina baya saya yang selalu dilihat berkungfu di kejiranan, tiba-tiba menari dan membuat ‘moonwalk’ sambil menyanyi ‘pitit, pitit’ (Beat it). Kami juga begitu, di sekolah atau di padang membincangkan tentang Beat It dan Michael Jackson sehinggalah lagu lain seperti Thriller dan Billie Jean. Apa, ingat budak Bentong tak faham bahasa Inggeris?
Lagu Beat It bergema di mana-mana ‘ketika itu’. Di pasar raya, pasar malam dan di majlis-majlis. Saya gunakan tanda kutip pada perkataan ‘ketika itu’ kerana memang perasaan dan semangat waktu mendengar lagu tersebut pada masa itu, tidak akan sama lagi kalau mendengarnya hari ini. Seperti mendengar intro gesekan gitar Fantasia Bulan Madu atau kehangatan Isabella dendangan Search, juga Suci Dalam Debu (Iklim) dan Janji Manismu (Aishah) pada era kemuncaknya, tak akan sama keterujaannya lagi jika mendengarnya hari ini. Inilah yang dikatakan ‘zeitgeist’ (semangat zaman).
Barangkali jualan kaset Michael Jackson di Malaysia pada era yang hangat itu menjangkau hingga satu juta unit, kerana Michael Jackson diminati pelbagai lapisan umur dan kaum. Saya pasti tauke cetak rompak jadi kaya-raya dek penangan Michael Jackson yang berjaya menawan dunia. Tak mustahil, malah saya sangat pasti.
Minggu lepas saya menonton filem berjudul Michael – (arahan Antoine Fuqua dan ditulis oleh John Logan) untuk merasai semula demam Michael Jackson yang pernah menyerang dahulu. Michael, bagi saya adalah seorang seniman unik yang penuh misteri. Banyak kisah panas tentangnya yang selalu saya baca. Pasti sedikit-sebanyak akan terjawab dalam filem ini, fikir saya.
Filem Michael dimulakan dengan zaman kanak-kanak dia bersama abang-abangnya dikerah oleh bapa mereka untuk menyanyi dan membuat persembahan pentas. Michael sebagai penyanyi utama di baris hadapan yang pemalu disuruh oleh bapanya agar sentiasa memandang ke hadapan, bukan menunduk. Joe Jackson (bapa Michael) membalun Michael dengan tali pinggang jika Michael tak mahu berlatih. Sebagai kanak-kanak, adakala dia kelelahan dengan jadual yang ketat tetapi bapanya tak peduli. Bapanya lebih mementingkan nyanyian berbanding ke sekolah. Ibu Michael adalah teman Michael yang setia menonton televisyen bersama. Michael mengadu kepada emaknya yang dia tidak berkesempatan menikmati zaman bermain dengan kanak-kanak sebayanya sebab jadual latihan persembahan yang diatur oleh bapanya sangat padat. Dia tiada kawan.
Tetapi Katherine Jackson (emaknya) meyakinkan Michael bahawa dia anak yang berbeza dan sangat berbakat. Michael sejuk hati dan amat menghargai kata-kata perangsang ibunya itu.
Michael, dalam sibuk menghiburkan orang lain bersama abang-abangnya (kumpulan Jackson 5), dia sendiri tertekan. Michael hanya bermain dengan haiwan peliharaannya sahaja. Masa senggangnya dia membaca buku cerita dan sangat terpesona dengan Neverland, sebuah pulau fantasi didiami sekumpulan kanak-kanak bergelar The Lost Boys dalam kisah dongeng Peter Pan.
Kalau kita peminat Michael Jackson pastilah filem ini cukup seronok ditonton kerana dapat melihat bagaimana Michael berjaya meniti kemasyhuran menawan dunia hiburan sebagai penyanyi solo dengan keunikan persembahannya dan keberaniannya mencuba perkara baharu. Lihat sahaja video muzik dan filem pendek untuk lagu-lagunya, begitu mahal dan ‘sedap’. Video muzik Thriller, Billie Jean, Black Or White atau Heal The World antara yang membuat Michael menjadi besar. Filem ini juga berupaya mengembalikan kenangan bagi generasi yang membesar pada zaman tersebut.
Tidak dinafikan, filem ini menghiburkan. Dari sudut teknikal, memang filem Michael ini amat mengagumkan. Sinematografi, rekaan produksi dan babak persembahan berjaya menghidupkan semula aura pentas yang pernah mendefinisikannya sebagai seorang bintang hebat. Jaafar Jackson yang memerankan watak Michael layak menerima pujian kerana dia berjaya meyakinkan kita bahawa Michael Jackson seolah-olah masih hidup. Sebagai anak saudara, sudah pastilah Jaafar lebih mirip kerana ada DNA keturunan Jackson mengalir di dalamnya. Riak wajah, gerak tubuh, malah kelincahan tarian Jaafar saling tak tumpah macam Michael. Dan, tak keterlaluan jika saya merasakan bahawa Jaafar juga adalah penyelamat filem ini di mana jalan ceritanya juga saya kira dimainkan secara selamat (play safe).
Bagi saya – naratif filem ini bergerak secara mendatar, dari satu kejayaan ke kejayaan berikutnya tanpa berhenti sejenak untuk kita sempat menyelami betul-betul konflik Michael dengan lebih dalam. Kita dipertontonkan dengan pantas bagaimana Michael naik dengan mudah. Pesaing terdekat Michael iaitu Prince pun hanya disebut sekali lalu sahaja. Bahkan, persaingan antara Michael dan Prince juga saya kira menarik juga jika dijadikan bahan cerita.
Tekanan psikologi dan dilema identiti yang dihadapi oleh Michael hanya berkisar pada kongkongan bapanya sahaja. Keterasingan dirinya dalam riuh-rendah sorakan peminat dan silauan lampu kemasyhuran tidak cukup membuat saya rasa tersiksa. Tidak seperti melihat sepinya Freddie Mercury dalam filem Bohemian Rhapsody (Bryan Singer 2018) atau kesengsaraan Elvis Presley dalam filem Elvis (Bahz Luhrmann 2022). Menonton filem Michael terasa seperti menonton sebuah sorotan (highlight reel) di YouTube yang memfokuskan momen penting tanpa perlu banyak beremosi.
Kecederaan dialami Michael ketika penggambaran iklan Pepsi juga tak cukup berkesan seakan kebakaran di rambutnya tidaklah teruk sangat. Kalaulah insiden itu benar-benar membuat moral dan semangatnya terjejas, ia harus dibuat dengan lebih tragik lagi.
Tidak mengapa jika filem ini berhenti setakat Michael bertindak berani – membuat pengumuman mengejut di pentas dengan menyatakan itu adalah persembahan terakhirnya bersama The Jackson 5 demi mahu melepaskan diri daripada kekangan bapanya. Ini bahagian pertama agaknya. Khabarnya filem ini ada sekuelnya nanti. Mungkin bahagian kedua filem ini nanti akan ada kisah percintaan dengan Lisa Marie Presley, keakraban dengan pelakon kanak-kanak Macaulay Culkin dan jelitawan Brooke Shields serta kontroversi yang lainnya. Atau mungkin ada sedikit kisah tentang usaha Michael berganding dengan Lionel Ritchie membuat lagu We Are The World. Saya haraplah.
Sedikit mengecewakan saya ialah tiadanya watak Janet Jackson dalam filem ini. Difahamkan, adiknya itu sendiri menolak secara baik untuk tidak terlibat. Pendirian itu wajar dihormati. Namun, dari sudut penceritaan, ia tetap meninggalkan ruang kosong yang menjadikan kelancarannya sedikit lari. Tapi apa nak buat, filem hanyalah filem, ia adalah sebuah dunia di lain dimensi. Ia bukan kesempurnaan realiti seperti yang kita hajatkan.
Di dunia sebenar, Michael Jackson tiada duanya. Dia bukan setakat menyanyi dan menari tetapi merupakan seorang pemikir yang sentiasa mempunyai misi. Dia merealisasikan apa yang difikirkan di dalam kepalanya dengan penuh yakin dan berani, kerana itulah Michael Jackson menjadi seorang maestro.
Apa pun, filem Michael ini bagi saya adalah sebuah ‘biopic’ yang sangat memberi inspirasi. Ia berbaloi untuk ditonton. Marah pula peminat setia Michael nanti dengan pandangan saya. Tetapi, saya tetap seronok melayan filem ini. Sorakan penonton yang hebat, jerit tangis peminat lelaki atau perempuan; histeria, lembik dan pengsan yang dipaparkan di dalam filem ini adalah realiti yang akan sentiasa terpahat di dalam otak generasi zaman kami. Tak dapat dinafikan, generasi kami bangga dengan Michael. Michael adalah ‘teman’ di dalam rumah kami ketika kami meniti remaja. Dia adalah megastar yang pernah menawan manusia seluruh dunia! Dia adalah legenda! - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.