`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



Tuesday, April 28, 2026

SARA pelengkap rezeki komuniti Orang Asli

 Penduduk memanfaatkan SARA bagi menyediakan barangan asas kering sementara sumber makanan basah diperoleh terus dari hutan dan sungai.

Isham Isau memanfaatkan bantuan SARA untuk membeli keperluan asas untuk melengkapi sumber makanan selain digabungkan hasil hutan dan haiwan ternakannya sendiri.
SEPANG:
 Bagi komuniti Orang Asli di Kampung Bukit Tunggul, inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA) muncul sebagai pelengkap kepada cara hidup mereka yang menetap di luar bandar dan masih bergantung kepada sumber alam.

Penduduk, Isham Isau, 38, berkata SARA membolehkan beliau mendapatkan barangan asas seperti beras dan minyak masak, sementara sumber makanan basah diperoleh daripada hasil hutan dan sungai berhampiran.

“Saya memang kurang beli ikan, ayam dan sayur di kedai. Saya lebih kepada sayur kampung seperti pucuk paku dan umbut nibung yang diperoleh dari hutan berhampiran rumah.

“Saya pun ada ternakan ayam dan itik. Itu untuk tampung keperluan makanan keluarga. Kalau hendak makan ikan saya pergi menjala di sungai,” katanya ketika ditemui FMT.


Isham yang bekerja secara sambilan sebagai pemandu lori berkata, dengan adanya SARA, keperluan makanan keluarganya kini lebih terjamin, sekali gus memberikan kelegaan dalam mendepani tekanan ekonomi semasa.

Beliau antara individu layak menerima manfaat SARA secara bulanan bagi membolehkan pembelian barangan asas di premis terpilih di seluruh negara.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 memaklumkan sebanyak RM15 bilion diperuntukkan bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA tahun ini, yang memberi manfaat kepada sembilan juta penerima.

Nurayunabila Shahieda Song.

Nada kesyukuran turut dikongsi Nurayunabila Shahieda Song, 35, seorang suri rumah yang menetap di kampung itu bersama suami dan empat anaknya yang masih kecil.

Katanya, peruntukan RM100 sebulan daripada SARA menjamin bekalan dapur kekal mencukupi terutama apabila pendapatan suaminya yang bekerja sebagai pendawai elektrik tidak menentu.

“Dulu sebelum ada SARA, makan pun kena jimat-jimat. Sekarang ini, (terima SARA) sangat membantulah. Nampak barang rumah (sentiasa) penuh dalam peti ais dan dalam rak,” katanya yang berasal daripada suku Temuan.

Sementara itu, golongan warga emas seperti Ada Bujang, 68, juga tidak terlepas daripada menerima manfaat SARA.

Nur Shahila Abdullah.

Beliau yang kini sukar berjalan dan mempunyai asma mengharapkan cucu atau jiran membelikan barangan asas, termasuk susu formula khas.

Dalam pada itu, bagi Nur Shahila Abdullah, 48, seorang ibu tunggal yang kehilangan suami akibat Covid-19, SARA menjadi penyelamat sementara menunggu anak-anaknya mendapat gaji di tengah bulan.

“Misalnya tengah bulan beras sudah habis, saya akan gunakan bantuan SARA ini untuk beli barang dapur asas di pasar raya. Alhamdulillah, ia sangat membantu terutama dalam keadaan terdesak,” ujarnya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.