Menteri dalam negeri berkata setiap pemeriksaan tubuh tahanan wajib mematuhi Kanun Tatacara Jenayah dan dilakukan secara beretika.

Beliau berkata, setiap agensi penguat kuasa yang melakukan tangkapan wajib mematuhi Seksyen 20A Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593).
“Jadual Keempat Akta 593 turut memperuntukkan dengan jelas tatacara yang perlu dipatuhi semasa menjalankan tangkapan, termasuk prosedur pemeriksaan tubuh terhadap orang ditangkap,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Beliau menjawab soalan Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) mengenai tindakan diambil berkenaan amalan membogelkan tahanan polis yang masih berterusan sehingga kini seperti didakwa dialami aktivis Tamim Dahri.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata undang-undang menetapkan empat jenis pemeriksaan tubuh yang dibenarkan mengikut situasi tertentu iaitu pemeriksaan tepuk turun, pemeriksaan tanggal, pemeriksaan intim, dan pemeriksaan intrusif.
Katanya, semua urusan pemeriksaan badan serta penukaran pakaian tahanan dilaksanakan secara beretika berlandaskan Kaedah-kaedah Lokap 1953 dan Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN) A118.
“Prosedur ini kritikal bagi mengesan dan menyekat cubaan menyeludup barangan terlarang berbahaya seperti senjata tajam, dadah, tali atau pemetik api demi melindungi nyawa tahanan daripada risiko kecederaan atau bunuh diri,” katanya.
Menurutnya, mekanisme pemeriksaan lokap kini dilaksanakan secara komprehensif bagi memastikan ketelusan di lapangan dan mengelakkan sebarang salah guna kuasa.
“Sebagai langkah pembuktian pematuhan tugas, kerajaan mempertingkatkan pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan koridor, pintu masuk, dan laluan utama lokap.
“Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM juga bertindak sebagai badan pemantau dalaman dengan menjalankan pemeriksaan mengejut secara konsisten di seluruh negara bagi memastikan pematuhan penuh anggota,” katanya.
Februari lalu, media melaporkan Tamim mendakwa beliau bersama tiga rakannya dilayan kasar seumpama ‘binatang’ dan diarah membogelkan diri di hadapan anggota bertugas sepanjang tempoh penahanan.
Sebelum ini, kumpulan aktivis terbabit ditahan bagi membantu siasatan berhubung kerja pembersihan tanah yang dijalankan di sebuah kuil di Taman Rawang Perdana. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.