Biodiesel berasaskan sawit mampu membantu stabil bekalan diesel namun manfaatnya kepada pengguna bergantung pelaksanaan berkesan.

Ketegangan berpanjangan di Asia Barat sekali lagi mendedahkan Malaysia kepada risiko bekalan tenaga. Sebarang gangguan bekalan boleh meningkatkan kos pengangkutan dan pengeluaran, sebelum kesannya dirasai rakyat.
Dalam keadaan ini, keputusan kerajaan memperluas Program Biodiesel Negara menerusi peningkatan kadar adunan biodiesel daripada B10 kepada B15 merupakan langkah tepat bagi mengurangkan kebergantungan kepada diesel petroleum.
Kerajaan pada April bersetuju meningkatkan kadar adunan secara berperingkat, bermula dengan B12 sebelum pelaksanaan B15 pada Jun. Bahan api B15 mengandungi 15% biodiesel berasaskan sawit atau palm methyl ester (PME), manakala selebihnya diesel petroleum.
Langkah ini memberi kelebihan kepada Malaysia yang mempunyai industri sawit kukuh serta kemudahan pengeluaran biodiesel sendiri.
Menurut Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), negara mempunyai 19 loji biodiesel berlesen yang membekalkan PME kepada 34 depot pengadunan di seluruh negara.
Rangkaian sedia ada ini membolehkan penggunaan biodiesel diperluas tanpa memerlukan pembangunan keseluruhan infrastruktur baharu, sekali gus menyokong aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Dasar Agrikomoditi Negara 2030 (DAKN 2030).
Keberkesanan awal program itu dapat dilihat apabila Menteri Perladangan dan Komoditi Noraini Ahmad memaklumkan di Dewan Rakyat pada Oktober bahawa pelaksanaan B15 menjimatkan purata 23.62 juta liter diesel petroleum sebulan bagi tempoh Jun hingga Ogos.
Walaupun penjimatan itu tidak semestinya menurunkan harga diesel di pasaran, ia menunjukkan kemampuan sumber tempatan mengurangkan penggunaan bahan api fosil yang terdedah kepada ketidaktentuan global.
Ketua Kompleks Biorefineri Universiti Putra Malaysia (UPM) Hidayah Ariffin sebelum ini menjelaskan peningkatan penggunaan biodiesel mampu memanjangkan daya tahan bekalan diesel domestik ketika krisis tenaga.
Pandangan itu mengukuhkan kepentingan biodiesel sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan mempelbagaikan sumber tenaga, khususnya ketika pasaran petroleum antarabangsa sukar dijangka.
Manfaat kepada pertanian dan perladangan
Selain sektor pengangkutan, penggunaan biodiesel berpotensi memberi manfaat kepada pertanian dan perladangan yang bergantung kepada diesel untuk menggerakkan jentera, mengepam air serta mengangkut hasil pengeluaran.
Bekalan bahan api yang lebih terjamin dapat membantu pengusaha merancang operasi dan mengurangkan risiko kenaikan kos mendadak. Perkara ini penting terutama kepada petani dan pekebun kecil yang mempunyai ruang kewangan terhad untuk menampung perbelanjaan tambahan.
Bagaimanapun, mandat B15 ketika ini tertumpu kepada sektor pengangkutan. Kerajaan perlu meneliti kesesuaiannya untuk jentera pertanian dan perladangan, termasuk kemampuan enjin, kemudahan bekalan serta kos penggunaan.
Tanpa persediaan tersebut, manfaat diharapkan mungkin tidak sampai kepada golongan yang paling memerlukannya.
Pada masa sama, peluasan biodiesel turut menyediakan pasaran domestik lebih besar kepada industri sawit negara.
Menurut KPK, pelaksanaan B15 dianggarkan meningkatkan keperluan minyak sawit mentah sekitar 330,000 tan setahun. Dengan mengambil kira pelaksanaannya bermula Jun, penggunaan minyak sawit bagi Program Biodiesel Negara diunjurkan mencecah kira-kira 1.13 juta tan menjelang akhir 2026.
Permintaan tambahan ini berpotensi membantu industri sawit, termasuk pekebun kecil, serta menggalakkan pelaburan dalam teknologi pemprosesan bahan api alternatif.
Pensyarah kanan Ahmad Muhaimin Roslan daripada UPM turut melihat pelaksanaan B15 sebagai peluang mengukuhkan industri sawit dan membangunkan teknologi hijau, selain meningkatkan keselamatan tenaga negara.
Namun, peningkatan permintaan minyak sawit untuk biodiesel perlu diimbangi dengan keperluan industri makanan dan pasaran eksport supaya tidak menimbulkan tekanan baharu terhadap bekalan serta harga bahan mentah.
Peralihan tenaga perlu realistik
Dari sudut alam sekitar, biodiesel mempunyai kelebihan kerana dihasilkan daripada sumber boleh diperbaharui dan lebih mudah terurai secara biologi. Penggunaannya juga berpotensi mengurangkan pelepasan bahan pencemar tertentu, bergantung kepada jenis enjin dan kadar campuran.
Bagaimanapun, biodiesel bukan bahan api bebas karbon. Kesan keseluruhan terhadap alam sekitar masih bergantung kepada kaedah penanaman sawit, pemprosesan bahan mentah dan penggunaan tenaga sepanjang rantaian pengeluaran.
Pensyarah kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara Chong Siew Huay sebelum ini turut berpandangan biodiesel langkah peralihan praktikal ke arah tenaga lebih bersih, tetapi bukan penyelesaian tunggal untuk jangka panjang.
Justeru, kerajaan wajar mempergiat penyelidikan terhadap bahan mentah alternatif seperti minyak masak terpakai dan sisa sawit bagi mengurangkan kebergantungan kepada satu sumber.
Pendekatan ini selaras sasaran Malaysia mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, selain menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) berkaitan tenaga bersih, pertumbuhan ekonomi dan penggunaan sumber secara bertanggungjawab.
Namun, komitmen terhadap pembangunan ekonomi hijau perlu disertai hasil yang boleh diukur. Data mengenai penjimatan diesel, kos pengeluaran biodiesel dan kesannya kepada pengguna wajar diumumkan secara berkala bagi memastikan pelaksanaan program kekal berkesan.
Malaysia mempunyai kelebihan sumber sawit, teknologi dan kemudahan untuk membangunkan industri biodiesel secara lebih meluas. Apa yang diperlukan ialah pelaksanaan berperingkat dengan mengambil kira kemampuan industri serta kepentingan pengguna.
B15 boleh menjadi langkah penting dalam menghadapi ketidaktentuan tenaga dunia, tetapi kejayaan akhirnya bergantung kepada sejauh mana dasar ini mampu menjamin bekalan, mengekang tekanan kos dan memberi manfaat nyata kepada ekonomi negara. - FMT
Penulis ialah pengarang Meja Berita Bahasa Melayu FMT.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.



No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.