`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, July 20, 2013

Lailatul Qadar lebih baik dari 1,000 bulan

Umat Islam digalakkan untuk memperbanyak bacaan Al Quran dengan memahami dan menghayati isi kandungannya.
Santapan Rohani
Ramadan adalah bulan kemuliaan dan maghfirah (pengampunan).
Dalam bulan ini juga terdapat satu malam yang disebut Lailatul Qadar iaitu satu malam yang lebih baik dari 1,000 bulan. Insya’Allah kita akan menempuh malam lailatul qadar ini tidak lama lagi, yang akan muncul pada hari ganjil dari 10 malam terakhir Ramadan.
Selain dari solat fardhu dan berpuasa di siang hari, amalan sunat seperti solat tarawih, witir, tazkirah, tadarus dan solat tahajud pada malam hari tersebut akan mendapat ganjaran yang besar dan keampunan daripada Allah SWT.
Cuba bayangkan kelebihannya ialah lebih baik dari 1,000 bulan. Seribu bulan juga sama dengan 83 tahun 4 bulan sedangkan umur kita pada kebiasaannya di antara 60 hingga 70 tahun sahaja.
Dalam kitab Al-Qur’anulkarim: Miracle The Reference, satu keistimewaan pada malam tersebut apabila Allah SWT menurunkan Al-Quran seperti mana firman-Nya dalam ayat 1 – 5, Surah Al Qadr:
“Sesungguh Kami telah menurunkan menurunkannya (Al-Quran) pada malam qadar. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan.
“Pada malam itu turun para malaikat dan Ruh (Jibril) dengan izin Tuhannya untuk mengatur semua urusan. Sejahteralah (malam itu) sampai terbit fajar.”
Menurut tafsir At-Thabari, dalam ayat-ayat ini Allah menjelaskan tentang satu malam yang penuh kemuliaan, malam diturunkan Al-Quran. Malam itu ialah malam lailatul qadar.
Selanjutnya Allah SWT menjelaskan tentang keutamaan malam itu. Amalan yang dikerjakan pada malam lailatul qadar adalah lebih baik dari amalan yang dikerjakan pada seribu bulan tanpa malam lailatul qadar.
Kemudian Allah SWT menerangkan berbagai keistimewaan malam yang diberkahi itu di mana para malaikat turun dengan perintah dan izin Allah untuk mengatur segala urusan dan membawa ketetapan Allah SWT pada tahun itu bagi para hamba-Nya, seperti ketetapan rezeki, kematian dalam lainnya.
Selanjutnya Allah SWT menyebutkan bahawa malam kemuliaan itu dipenuhi dengan keselamatan, iaitu keselamatan dari setiap kejahatan mulai dari permulaan malam itu sampai terbit fajar.
Penurunan Al Quran
Menurut Ibnu Abbas, Allah SWT menurunkan Al-Quran secara keseluruhan dari Lauh Mahfuz menuju Baitul Izzah yang berada di langit dunia, lalu diturunkannya kepada Rasulullah SAW secara beransur-ansur sesuai dengan keadaan dalam tempoh waktu selama 23 tahun.
Imam Ahmad meriwatkan dari Abu Hurairah bahawa ketika datang bulan Ramadan, Rasulullah SAW bersabda, “Sungguh telah datang kepada kalian bulan Ramadan.
“Satu bulan yang penuh berkah, yang puasanya telah Allah SWT wajibkan kepada kalian, di dalamnya dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pula pintu-pintu neraka serta syaitan-syaitan dibelenggu dan dirantai.
“Di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik dari 1,000 bulan. Barangsiapa menghormati kebaikan malam itu maka sungguh ia adalah orang mulia.”
Peristiwa penurunan Al-Quran juga disebut dalam ayat 185 Surah Al Baqarah yang bermaksud:
(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dan salah.”
Al Quran berperanan sebagai furqan yang bermaksud pembeza antara hak dan batil. Ia bermaksud Al Quran merupakan satu garis lurus yang menjadi kayu ukur untuk mengira betul atau salah perbuatan manusia.
Ramadan juga sewajarnya membentuk generasi furqan iaitu generasi yang boleh membezakan di antara hak dan batil.  Jika visi Ramadan ini berjaya dilaksanakan nescaya tidak akan ada dalam kalangan masyarakat umat Islam yang terpinga-pinga di tengah terang untuk mencari jalan yang benar.
Memandangkan peranan besar Al Quran maka umat Islam digalakkan untuk memperbanyak bacaan Al Quran dengan memahami dan menghayati isi kandungannya. Dengan memahami isi kandungan Al Quran maka dapat melindungi diri seseorang daripada cenderung kepada perkara-perkara keji dan mungkar.
Namun tidak memberi manfaat kepada orang yang membaca Al Quran tetapi tidak menyukai Islam dan menolak Islam sebagai ad-din (cara hidup). Tidak memberi manfaat jika kita melaksanakan solat tetapi pada masa yang sama kita menolak hukum hakam dan perundangan Islam.
Begitu juga ketika menjalani ibadat puasa, salah satu matlamatnya ialah supaya kita takut kepada Allah SWT. Jika kita terus berada dalam politik perkauman, menzalimi orang lain, menolak dan mempersendakan Islam, maka bermakna seseorang itu tidak menghayati ibadat puasa.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.