Sesetengah orang melakukan kesilapan kerana sudah tahu tapi mahu menegakkan benang basah manakala sesetengahnya pula, disebabkan jahil atau kurang arif tentang sesuatu perkara.
Bagi kesilapan disebabkan alasan kedua, maka peluang untuk belajar dan disedarkan harus diberi bukannya terus mengutuk atau mencaci. Apatah lagi dalam Islam, kita dianjurkan untuk menyayangi saudara seugama. Seperti firman Allah Taala:
“Damaikanlah antara saudara-saudara kamu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu diberi perasaan kasih sayang”. (Al Hujuraat: 10)
Terdapat juga hadis dari Anas bin Malik ra. katanya, Rasulullah saw. bersabda:
“Janganlah kamu saling benci membenci, dengki mendengki dan sindir menyindir. Jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Haram seseorang Muslim berkelahi dengan saudaranya lebih dari tiga hari lamanya”. [HR Bukhari dan Muslim]
Maka dalam kes Ratu Cantik Malaysia yang sedang hangat diperkatakan sekarang, pendekatan berhemah seharusnya digunakan oleh masyarakat Islam negara ini setiap kali memberikan komen apatah lagi di bulan Ramadan, di mana Allah Taala membuka seluas-luasnya peluang mendapat keampunan kepada hambaNya.
Apatah lagi dalam keadaan sekarang, keempat-empat gadis muslim yang digugurkan nama mereka daripada pertandingan Ratu Cantik Malaysia sudah tentu sedang gundah dan kecewa.
Hal ini kerana jika mereka benar-benar memahami Islam, sudah tentu dari awal mereka tidak akan memasuki pertandingan seperti ini. Malah ‘ketidaktahuan’ itu dibuktikan dengan kenyataan salah seorang mereka, Sara Amelia Muhamad Bernard, 20, yang mendakwa fatwa melarang wanita muslim memasuki Ratu Cantik sudah ketinggalan zaman.
Maka sepatutnya, Sara dan 3 lagi peserta ini dipanggil oleh pihak yang sesuai, lalu diberikan penjelasan lanjut dari sudut agama mengapa wanita Islam dilarang memasuki pertandingan ratu cantik.
Maklumlah apabila isu agama diperkatakan secara umum dan berlandaskan logik semata-mata, ia sangatlah tidak kena. Bayangkan, individu yang bukan Islam (penganjur pertandingan – Datin Anna Lim) pun berani mengeluarkan kenyataan kepada orang Islam sendiri (Sara) bahawa dia akan berusaha bertemu Mufti Wilayah, Datuk Wan Zahidi bagi meminta penjelasan di bahagian mana dalam Al Quran menyatakan berdosa dan haram menyertai pertandingan ratu cantik.
Astaghfirullah, individu yang bukan Islam dan penganut Islam yang tidak dekat dengan agama pastilah akan bersandar pada logik semata-mata dalam mengulas isu agama sedangkan sesuatu yang halal dan haram di sisi agama tidak boleh dipertikaikan lagi!
Paling dibimbangi, pada saat-saat sekarang apabila sesama Islam lebih sibuk menyelar tindakan peserta ratu cantik yang seugama dengan kita ini, ada pihak luar mungkin mengambil kesempatan dari kerapuhan iman 4 wanita Islam ini. Lihatlah saja komen-komen yang dibuat rakan-rakan Sara di laman Facebooknya ini:
Jadi kepada pihak berkenaan, menjadi tugas anda untuk memberi kesedaran secara berhikmah kepada empat peserta wanita ratu cantik Islam ini mengapa ugama yang mereka anut tidak membenarkan perlakuan sebegini.
Manakala bagi masyarakat di luar sana pula, jagalah bahasa apabila mahu tumpang semangkuk memberi komen di mana-mana medium sosial. Janganlah mencemuh rakan seagama anda yang tersilap langkah mungkin kerana kejahilannya dalam agama. Kalau disebabkan bengang dan kecewa dengan komen anda mereka mendengar cakap pihak bukan Islam untuk menukar agama, bukankah bermakna ada ‘saham’ dosa anda juga di situ?
Pada masa sama, mungkin sudah tiba masanya undang-undang berkaitan penglibatan wanita Islam dalam mana-mana acara melibatkan aurat diselaraskan selepas ini. Di sebalik kejahilan tentang hukum agama, ada benarnya pertikaian dibawakan peserta ratu cantik ini – mengapa peserta renang atau gimrama wanita dibenarkan pula sedangkan mereka juga berpakaian lebih kurang serupa!
Fikir-fikirkan.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.