`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!





Saturday, August 31, 2013

Harga rumah di Sabah kedua termahal di Malaysia

kedudukan nombor dua itu disebabkan oleh peningkatan mendadak kos pembinaan rumah di Sabah sejak kebelakangan ini.
Kevin Ivan
KOTA KINABALU: Harga rumah di Sabah kini merupakan yang kedua paling mahal di negara ini, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Abdul Rahman Dahlan.
Menurutnya, kedudukan nombor dua itu disebabkan oleh peningkatan mendadak kos pembinaan rumah di Sabah sejak kebelakangan ini.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Ekspo Hartanah anjuran Persatuan Pemaju-Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (SHAREDA) di Pusat Perdagangan Sabah di Likas dekat sini semalam.
Menurut Pusat Maklumat Hartanah Kebangsaan (NAPIC) purata kenaikan harga rumah tahunan Malaysia adalah antara 9.96 peratus dan 12.3 peratus, manakala kenaikan harga rumah bagi Sabah sahaja ialah 8.05 peratus pada 2011 dan 13.11 peratus pada 2012.
Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Kota Belud berkata, purata harga rumah di Sabah sekarang pula ialah RM382,160 seunit.
“Kebimbangan kita ialah peningkatan pendapatan di Sabah tidak berkembang seiring dengan kenaikan mendadak harga rumah,” katanya bagi menggambarkan semakin ramai yang tidak mampu memiliki rumah di Sabah.
Beliau berkata antara penyebab utama kenaikan mendadak harga rumah di Sabah ialah kos buruh dan alat pembinaan terus meningkat, semakin kurangnya kawasan tanah di kawasan perbandaran sedangkan pendapatan isirumah tidak meningkat seberapa.
“Di Sabah di mana sebenarnya terdapat keluasan tanah yang mencukupi sepatutnya harga rumah-rumah ini tidak meningkat mendadak sebegini.
“Sehubungan ini saya merayu kepada SHAREDA agar memberi kerjasama dan sokongan untuk melancar dan mempercepat pembinaan rumah-rumah mampu milik bernilai kos rendah dan sederhana,” katanya.
Tanggungjawab sosial
Katanya, para pemaju hendaklah juga memikirkan tanggungjawab sosial dan tidak hanya mengejar keuntungan semata-mata.
Menurutnya, pihak kerajaan pusat memang sentiasa prihatin dengan keperluan rakyat dan bagi belanjawan tahun 2013 ini telah memperuntukkan RM1.9 bilion untuk membina 123,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara.
Pembinaan rumah mampu milik ini akan dilaksanakan oleh Jabatan Perumahan Kebangsaan, PRiMA dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
“Dari 2001 hingga 2012, kementerian saya telah pun membangunkan 91 Projek Perumahan Rakyat yang terdiri daripada 68,886 unit di seluruh negara, sama ada untuk sewaan pada kadar RM144 sebulan atau dijual terus pada harga RM42,000 seunit.
“Dari jumlah ini, sebanyak 11,531 unit dibina di Sabah yang merupakan penerima kedua terbesar projek perumahan rakyat selepas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” jelasnya.
Abdul Rahman juga menjelaskan sebanyak 12 projek perumahan rakyat melibatkan 6,235 unit masih sedang dibina di Sabah.
Statistik menteri itu menunjukkan kerajaan persekutuan hanya dapat membina purata 6,262 unit rumah rakyat setahun bagi tempoh 11 tahun dari 2001, dan itupun seperti diakui menteri berkenaan sebahagiannya masih lagi belum siap sehingga kini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.