Oleh ZAID IBRAHIM
KETIKA membincangkan tentang perpaduan negara dalam sebuah pertemuandengan pelajar-pelajar Malaysia di Melbourne minggu lepas, saya memberitahu mereka bahawa untuk kepentingan jangka panjang kaum Melayu - dan demi perpaduan negara - dasar yang memberi keutamaan kepadaMelayu/Muslim perlu ditolak oleh orang Melayu sendiri.
Keistimewaan" yang diberikan itu sebenarnya menjejaskan kesejahteraan mereka. Jika latar kaum dijadikan sebagai faktor penentu dalam pemberian bantuan atau kontrak, orang Melayu yang mempunyai hubungan baik dengan ‘orang dalam' akan mendapat manfaat walaupun mereka sebenarnya tidak layak untuk menerima bantuan.Orang Melayu yang tidak begitu keras bekerja juga akan mengambil kesempatan daripada dasar ini dengan meminta bantuan daripada kerajaan tanpa berusaha secukupnya. Cara sebegini akan meningkatkan mediocrity dan penumpuan modal di tangan hanya segelintir orang sehingga menjejaskan kesejahteraan semua orang lain.
Atas sebab inilah jurang antara kaya dan miskin di Malaysia semakin lebar berbanding di negara-negara Asean yang lain sejak 40 tahun yang lalu. Atas sebab ini juga masih banyak bumiputera di negara ini yang miskin berbanding bumiputera di negara-negara lain walaupun telah berpuluh-puluh tahun dasar afirmatif dilaksanakan.
Kaum bukan Melayu juga turut menerima kesan buruk daripada dasar ini. Bukan Melayu yang kaya mempunyai cara untuk mengatasi rintangan yang timbul, sedangkan kelas miskin dan menengah terpinggir daripada arusperdana ekonomi dan sosial. Banyak yang merasa tidak mampu untuk memberi sumbangan terbaik kepada negara mereka; manakala kalangan yang mampu pula telah berhijrah ke luar.
Di Melbourne, seorang pelajar yang bijak bertanya kepada saya mengapa orang Melayu patut percaya kepada gambaran yang saya kemukakan di atas. Mengapa orang Melayu patut membiarkan "hak keistimewaan" mereka dihapuskan dan berhenti bergantung pada kerajaan?
Melihat kepada sekian banyak kebocoran fiskal dan penyalahgunaan sistem, tidakkah lebih baik jika Melayu terus diberi layanan istimewa kerana jika semua pendekatan lain gagal sekurang-kurangnya mereka masih boleh terus menerima bantuan kerajaan?
Saya jelaskan kepada pelajar terbabit bahawa model bantuan sebeginilah yang bermasalah. Ia menimbulkan rasa "berhak" sedangkan masalah ekonomi yang timbul adalah hakiki dan memerlukan perhatian setiap orang. Defisit belanjawan negara semakin meningkat, manakala langkah untuk mengatasi jurang ekonomi menerusi pemberian BR1M tidak mungkin dapat diteruskan dalam jangkamasa panjang jika pendapatan kerajaantidak ditingkatkan.
Pelaburan langsung asing pula tidak begitu memberikan manfaat kerana kita bergantung pada buruh asing. Malaysia perlu meningkatkan pendapatannya dan kerajaan perlu memperkenalkan beberapa dasar yangdapat mengubah dan memodenkan pelbagai sektor ekonomi.
Untuk membentuk tenaga kerja berpendidikan, kita perlu meyakinkan banyak warga Malaysia yang berkemahiran di luar negara untuk kembali ke tanahair, tetapi mereka hanya akan kembali jika merasa yakin dengan dasar ekonomi dan sosial negara ini. Mereka akan terus tinggal di luar negara jika mereka merasakan keadaan tidak seimbang dalam masyarakat tidak cuba diatasi secara mencukupi.
Kita juga perlu menangani masalah hutang kerajaan dan hutang isi rumah yang semakin meningkat, jika tidak kedaulatan negara ini akan terjejas dan banyak individu akan muflis.
Jika muflis, "keistimewaan" tidak akan memberi sebarang makna dan kerajaan tidak akan mampu membantu meneruskan bantuan atau berbelanja untuk prasarana. Dengan itu lebih baik jika kaum Melayu dan juga negara ini menggerakkan semua warga Malaysia untuk bekerjasama.
Saya percaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merasakan keresahan semua rakyat Malaysia. Beliau melihat korupsi sebagai salah satu ancaman terbesar terhadap negara dan telah mengambil langkahuntuk meningkatkan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam perjalanankerajaan.
Dalam hal ini, barisan pembangkang perlu memainkan peranan lebih besar dengan bukan saja menjadi penyemak dan pengimbang kepada kerajaan tetapi juga membantu merumuskan dasar ekonomi dan sosial yang terperinci untuk dibincangkan oleh orang awam.
Pembangkang boleh menganjurkan sidang kemuncak ekonomi yang menampilkan ahli-ahli ekonomi dan bukan ahli politik untuk menjelaskan kepada rakyat (termasuk kaum Melayu) tentang dasar-dasar alternatif yang baik.
Saya juga percaya Perdana Menteri tidak berkongsi pandangan dengan segelintir ekstremis yang kerap muncul dalam berita kebelakangan ini.
Seperti yang saya sebut di depan hadirin di Melbourne, saya percaya orang Melayu umumnya akan terus menolak idea politik dan keagamaan yang ekstrem walaupun retorik menunjukkan sebaliknya.
Orang Melayu sepanjang sejarah adalah kaum yang bersikap wajar dan saksama. Tragedi 13 Mei adalah satu-satunya rusuhan kaum yangtiba-tiba tercetus sepanjang sejarah masyarakat majmuk ini dan ia berlaku secara amat terbatas.
Justeru itu, saya percaya bahawa seruan-seruan politik dan keagamaan yang ekstrem wujud ketika ini dilaungkan oleh kalangan yang tidak mempunyai keyakinan tersendiri.
Mereka hanya melaungkan pandangan yangpada pandangan mereka akan membuatkan mereka tampak berani.
Rakyat Malaysia tidak mudah ditipu dengan cerita-cerita ngeri mereka.
Setelah selesai pemilihan beberapa parti politik nanti, semua luapan perasaan ini akan lenyap.
Pihak yang benar-benar mampu untukmenyumbang ke arah kemakmuran negara ini tidak perlu menggunakan taktik keanak-anakan seperti itu dan orang Melayu cukup tahu semua ini.
Orang Melayu bukan manusia ekstrem. Jika mereka ekstrem, sudah tentu tidak berbalah dalam soal politik sejak 50 tahun lalu dan mereka tidak akan berulangkali menonton tayangan semula filem P. Ramlee.
Mereka juga baru-baru ini telah memenuhi Stadium Merdeka untuk menonton konsert Metallica, menyangkal mitos bahawa mereka konservatif dan anti-Barat.
Sekali lagi, saya percaya bahawa Perdana Menteri memahami orang Melayu. Tetapi kita juga perlu memainkan peranan kita. Jika Malaysia dalam mencari semula arahnya, ia akan kembali menjadi negara berbahagia.
Untuk itu, semua kita perlu menegaskan sikap. Kita perlu yakin bahawa banyak lagi rakyat Malaysia yang optimis seperti kita dan yakin dengan negara ini. Dan sememangnya banyak yang begitu.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.