`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!





Thursday, October 31, 2013

Peniaga raih keuntungan sempena PRK

http://3.bp.blogspot.com/-grfKlIqEOk8/UPd4oBWv4RI/AAAAAAAAACk/kAc9j28UadI/s1600/17012013222.jpg
JERAI 30 Okt. - Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau kini menjadi seolah-olah lubuk wang kepada peniaga terutama pengusaha makanan apabila memperoleh keuntungan berlipat kali ganda sempena pilihan raya kecil yang berlangsung.

Pemilik kedai makan, Mahseri Othman, 59, berkata, dia dan isteri, Tuminah Saidi, 53, bersama pekerja tidak menang tangan melayan pelanggan yang tidak putus-putus berkunjung ke kedainya berhampiran Taman Mahsuri di sini.

Ujarnya, kedai makan yang diusahakan sejak lima tahun lalu menyediakan pelbagai pilihan makanan seperti nasi berlauk, laksa dan makanan ringan.

"Sewaktu penamaan calon tempoh hari ada pengunjung yang terpaksa makan sambil berdiri dan di luar kawasan kedai disebabkan tidak cukup kerusi, sebelum ini tidak pernah berlaku keadaan sebegini.

"Malahan sebelum PRK kami hanya masak nasi 10 kilogram (kg) sahaja tetapi sekarang meningkat kepada 20 kg kalau tidak, tidak cukup," katanya ketika ditemui di sini.

Mahseri amat bersyukur dengan rezeki yang diperoleh pada musim PRK secara tidak langsung dapat melipat gandakan pendapatannya sebelum ini.

Dia berkata, ada juga pelanggan terutama dari penyokong parti bertanding meminta agar melanjutkan waktu perniagaan sehingga larut malam namun permintaan itu terpaksa ditolak.

"Waktu berniaga sekarang dari pukul tujuh pagi hingga tujuh malam sahaja kalau dilanjutkan saya khuatir pekerja akan letih, kasihan mereka," katanya.

Rezeki berlipat ganda turut dirasai peniaga di pasar sehari Sungai Limau di sini apabila pendapatan mereka meningkat.

Peniaga bihun sup, Ismail Morad, 48, berkata, pasar sehari itu hanya beroperasi pada hari Ahad dan Khamis sahaja.

Katanya, sejak PRK berlangsung minggu lalu gerainya menjadi tumpuan pengunjung bukan sahaja penduduk setempat malah orang luar yang berkampung di Sungai Limau.

"Situasi yang saya hadapi sekarang sama seperti musim perayaan atau selepas cuti sekolah kerana waktu itu memang ramai pelanggan yang datang berbanding hari biasa.

"Inilah peluang dan masa sesuai untuk kami terutama peniaga di sini untuk tingkatkan jualan," katanya.

Ismail turut bercadang menambah kuantiti makanan yang dijual pada minggu hadapan. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.