`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, October 13, 2013

Kota Kinabalu tiada terminal bas

Terminal bas sementara di sebelah Wawasan Plaza ditutup Julai lalu,
KOTA KINABALU : Hairan bin ajaib, tapi itulah yang benar : Kota Kinabalu yang diisytiharkan sebagai sebuah bandaraya pada Februari 2000 sehingga kini masih belum mempunyai terminal bas.
Sejak terminal bas sementara  di sebelah Wawasan Plaza ditutup Julai lalu, ramai pengguna pengangkutan awam yang biasanya ke sana untuk menaiki bas mereka menjadi mangsa kebingungan mencari bas ke destinasi mereka yang seterusnya.
Sehingga sekarang pihak bandaraya telah mewujudkan “stesen-stesen” menunggu bas di sekitar bandaraya bagi destinasi yang berlainan.
Ada yang di tepi jalan raya, ada yang di tepi pokok dan ada juga yang di bawah jambatan dan bermacam rupa lagi.
Pada hari ini para pengusaha bas telah mula memasang kain-kain pemidang buatan sendiri menyatakan destinasi “stesen” itu.
Alahai bandaraya hijau tropika yang dikatakan sedang maju dengan puluhan buah bangunan baru sedang didirikan di sana sini.
Tiada satu pun stesen bas yang sempurna, maklumlah hanya “sementara”.
Perkataan “sementara” itu juga telah diguna 13 tahun yang lampau bagi menbayangkan sebuah terminal bas yang kekal dan gah bakal dibina.
Tidak layak sebagai terminal
Bagaimanapun terminal bas yang ada di sebelah Wawasan Plaza sebelum ini sebenarnya tidak layak dipanggil terminal bas bandaraya.
Ia tiada keselesaan, tiada bumbung, tiada kerusi, tiada tandas, laluan tidak bersimen tapi penuh dengan habuk dan lumpur bergantung kepada cuaca, hanya yang ada pondok-pondok usang yang berbau hanyir dan menumpang tandas di restoran-restoran berhampiran yang telah menjadi mangsa lebih sedekad.
Hanya terminal bas di Inanam untuk bas-bas dari pantai timur menurunkan penumpang mungkin agak lebih elok sedikit. Itu pun penumpang yang turun di terminal itu terpaksa mencari bas-bas di seberang jalan raya untuk ke pusat bandaraya.
Bayangkan bagaimana kalau musim hujan dan ribut seperti sekarang ini. Kaki habis basah, payung habis ditiup angin, pendeknya bahaya kepada mereka yang tidak cergas untuk bergerak.
Jangan mimpilah untuk keselesaan OKU (orang kurang upaya) jauh sekali bagaikan bumi dengan langit.
Entah apa yang silap, bandaraya-bandaraya lain di dunia mempunyai terminal bas yang kekal, canggih dan selesa lagi menyelerakan dengan kafe di sana sini tapi ibu negeri Sabah tiada semua itu
Mungkin inilah yang dikatakan “50 Tahun Sabah Maju Jaya Dalam Malaysia” ! Kalau hendak kata kerajaan negeri tidak mendengar rungutan rakyat, kerajaan ini acapkali dipuji melangit oleh pemimpin-pemimpin persekutuan dan negeri sebagai yang terbaik untuk rakyat Sabah.
Mungkin inilah yang terbaik di Sabah. Seperti kata Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam Sabah (Pekat), Saikam Salinggau, ketika dihubungi FMT beliau percaya Datuk  Bandar, Abidin Madingkir, akan memberikan perhatian yang serius terhadap keselesaan dan keselamatan pengguna pengangkutan awam.
`Mohon perhatian’
“Tujuh tahun yang lepas kita pun ada kemukakan cadangan terminal bas. Kita memohon Datuk Bandar memberikan perhatian serius terhadap perkara ini demi keselesaan pengguna,” katanya sambil menambah persatuan telah menerima banyak rungutan tetapi tidak boleh berbuat apa-apa.
Menurut Saikam lagi, oleh sebab rungutan yang serupa sering timbul, maka semua pihak sejak tiga tahun lalu telah menasihatkan supaya para pengguna menyalurkan rungutan mereka kepada wakil-wakil rakyat kawasan yang terlibat.
Dua kawasan Dewan Undangan Negeri dalam kawasan bandaraya, Api-Api dan Inanam jatuh ke tangan pembangkang pada pilihanraya yang baru lalu.
Begitu juga dua kerusi DUN bersebelahan iaitu Kepayan dan Moyog jatuh ke tangan pembangkang, dan begitu juga kerusi Parlimen Penampang.
Bagaimanapun ini dipercayai tiada kaitan dengan keadaan yang sedang berlaku di bandaraya Kota Kinabalu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.