`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, October 16, 2013

Marahkan Isteri, Anak Dibelasah dan Dicekik Sehingga Mati


Amuk Cabut Nyawa Bayi

[HM] Beluran: Anak bongsunya yang baru berusia 14 hari dan belum diberi nama dicekik sehingga mati, tiga lagi anak berusia dua hingga tujuh tahun dipukul dengan besi paip manakala isterinya ditikam bertubi-tubi dengan gunting di kepala.

Itu tindakan gila pekerja ladang sawit NPC Division 4, di sini yang berang selepas mengesyaki isterinya menjalin hubungan sulit dengan lelaki lain.

Kejadian berlaku di rumah kongsi yang dihuni enam sekeluarga itu di ladang berkenaan kira-kira jam 12.30 malam kelmarin sebelum lelaki terbabit ditahan polis kira-kira jam 3.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Beluran, Deputi Superintendan V Shivanathan, berkata berikutan tindakan suspek yang berusia 34 tahun itu, bayi lelakinya mati di tempat kejadian.

Menurutnya, isteri suspek, Rossi Baco, 34, dan anak perempuannya yang berusia dua tahun, Leny Markus, kini tidak sedarkan diri dan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

“Dua lagi anak suspek, Juliady, 4, dan Juliana, 7, cedera di muka dan belakang kepala.



Semua mangsa kini menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent (HDK), Sandakan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Shivanathan berkata, siasatan awal mendapati kejadian bermula dengan pertengkaran di antara suspek dengan isterinya selepas dia menuduh wanita itu curang.

“Dalam pergaduhan itu, suspek dipercayai mengambil gunting dan menikam kepala isterinya beberapa kali selain memukul badan mangsa dengan sebatang besi paip yang digunakan mengait buah kepala sawit.

“Suspek turut menggunakan besi yang sama untuk memukul tiga anaknya yang berusia dua hingga tujuh tahun sebelum mencekik leher anak bongsunya sehingga bayi itu mati di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, selepas menerima aduan mengenai kejadian itu anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran bergegas ke tempat kejadian dan berjaya menahan suspek di sebuah rumah kongsi berhampiran lokasi kejadian kira-kira jam 3.30 pagi semalam.

Shivanathan berkata, polis turut merampas sebilah parang daripada suspek dan dia kini ditahan reman di IPD Beluran untuk siasatan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302, kerana membunuh,” katanya.

Menurutnya, sepasukan anggota polis dari Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri turut dikejarkan ke tempat kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.