Padahal sekolah ada ajar matapelajaran Sivik...
COMMENT
Aku tengah tension. Tension yang teramat. Tapi ketensionan aku ni tak disebabkan oleh PM yang menyokong kenyataan rasis Ismail Sabri mahupun kepincangan hubungan PAS dan DAP yang tidak habis-habis tak sehaluan. Tension aku ni juga tak berpunca daripada kerisauan aku tatkala kita mendekati tarikh keramat 10 Februari. Tapi yang pastinya tension aku ni bersebab.
Ceritanya begini. Semalam aku pandu kereta MyVi aku yang dah berbulan tak basuh (nak tolong jimatkan air la katakan) menuju ke Federal Highway. Dalam pada kereta tersangkut-sangkut tengah sesak, kereta aku yang comel lote kena pula langgar dari belakang dek kereta gergasi Hilux. Apa lagi, aku pun matikan enjin dan segera keluar. Nasib baiklah kemeknya sikit saja. Aku pun bukan dari spesis Kiki ‘Si Penyerang Berstering’, jadi aku maafkan sajalah. Tapi yang sakitnya hati, pemandu Hilux tu sekadar menjenguk dari tingkap seraya meminta maaf. Buruknya perangai!
Selepas bereskan kerja di Damansara Intan, aku pun bergegas nak pulang ke rumah. Alangkah sakitnya hati bila aku dapati ada si mangkuk hayun yang double parking depan kereta aku sedangkan banyak lagi tempat letak kereta yang kosong. Hon punya hon. Pon pon pon pon pon sampai aku tak larat nak pon pon dah. Akhirnya datang la seorang perempuan (aku tak nak sebut kaum apa sebab nanti orang akan ingat aku ni rasis macam Kelab Penyokong Ismail Sabri). Senyum meleret-leret macam biawak kena belacan. Apa dia ingat angkat tangan saja cukup, tak payah minta maaf? Buruknya perangai!
Sambil-sambil pandu kereta balik rumah, aku pun pasangkan radio. Tengah syok aku melalak sorang-sorang dalam kereta, ternampak pemandu kereta di hadapan membuang rokoknya ke luar tingkap. Apa kejadahnya ni? Dah la merokok sambil memandu kereta merupakan satu kesalahan, boleh pula dia buat dirt menyepah sampah di jalan raya. Dah tu ambil pula selekoh tanpa menggunakan lampu isyarat. Dia ingat lampu isyarat tu gunanya untuk mencantikkan kereta ke? Buruknya perangai!
Dipendekkan cerita, aku pun sampailah di pangsapuri aku di Taman Danau Desa. Sambil aku jalan di bawah bumbung lutsinar menuju ke ruang menunggu lif, aku terlihat satu benda pelik di atas bumbung tersebut. Perhati punya perhati, alangkah terkejutnya segala isi sel dalam segenap benak aku apabila mendapati ianya tidak lain tidak bukan sekeping tuala wanita yang sudah digunakan. Sungguh, aku tak bohong! Sumpah! Bayangkanlah manusia spesis apa yang akan buangkan suatu objek yang begitu peribadi ke luar tingkap? Nasib baik jatuh atas bumbung. Kalau jatuh atas kepala orang macamana? Haish, buruknya perangai!
Sewaktu ni, tahap ketensionan aku dah sampai takat leher dah. Tapi aku masih lagi cuba bersabar. Iman aku masih kuat. Ketika aku berjalan menuju ke ruang lif, ku lihat ada seorang lelaki berpakaian kemas sedang melangkah masuk ke dalam lif. Belum sempat aku membuka langkah seribu, pintu lif tertutup. Dengan mulut yang terkumat kamit dengan segala ayat makian yang aku tahu, jari ku menekan butang lif. Buruknya perangai!
Sampai depan pintu rumah, terserempak pula dengan jiran sebelah. Aku pun mengukir senyuman tapi senyuman aku tak berbalas. Mungkin dia ada masalah penglihatan kot. Jadi aku pun ucap ‘have a pleasant evening’ pada jiran aku tadi. Itu pun tak dibalas. Hmm, ada masalah pendengaran juga kot. Sambil menebalkan muka, aku pun melangkah masuk rumah. Memang sah, buruk perangai!
Aku sememangnya dah tak tahan. Kenapa ramai sangat orang yang buruk perangai di Malaysia ni? Kalau masuk panggung, mesti ada bahlol yang sibuk bercakap telefon ketika orang ramai sedang menonton. Kalau nak naik LRT, mesti ada bedebah yang bertolak-tolak nak masuk dulu. Kalau guna tandas awam, mesti ada bangang yang berdiri atas mangkuk tandas. Kalau pergi beli belah, pasti ada bendul yang langgar dengan troli, lepas tu jeling macam la ianya salah kita. Kalau la aku nak senaraikan semua kebangangan yang orang kita buat di Malaysia ni, sampai esok lusa pun tak memadai.
Tapi yang aku hairan bin pelik adalah kenapa buruk sangat perangai orang kita? Nak kata tak cukup didikan, semua yang pergi sekolah ada belajar matapelajaran Sivik dari Darjah Satu sampailah Tingkatan Lima. Habis tu kenapa buruk sangat perangai? Masya Allah! Aku pun tak tahu.
Dalam sedang aku taipkan luahan hati aku yang penuh ketensionan ini, aku terdengar bunyi orang sedang memaku dinding bertalu-talu. Aku toleh memandang jam di dinding. 12:14 tengah malam. Sesungguhnya aku dah ketandusan tenaga untuk berasa marah. Kadangkala aku ada juga fikir, masalah negara kadang-kala taklah sangat menensionkan jika dibandingkan dengan masalah yang ditimbulkan orang kita sendiri.
Haish. Buruknya perangai.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.