`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, February 5, 2015

Tariff Elektrik dan Harga Barangan Berkait Wajar Turun Sekarang Sejajar Dengan Turunnya Harga Dunia Minyak dan Gas

lampiranGas

Berikutan kenyataan media oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Ahli Parlimen Kulai, dan Menteri Belia dan Sukan, saya menuntut Kerajaan, TNB (pembekal tenaga elektrik) dan juga PETRONAS (pembekal bahan api gas) agar mengambil langkah segera untuk membantu menurunkan tariff elektrik Malaysia.
Kenaikan tariff elektrik terakhir sebanyak 15% telah dibuat berdasarkan kenaikan harga bahan api yang sebelum ini telah meningkat di mana harga gas dalam lingkungan RM13.70-RM15.20/MMBtu, harga arang lingkungan USD85-87.5/tan dan harga LNG RM41.68/MMBtu.
Harga arang dunia sekarang telah turun serendah USD67/tan berbanding USD85/tan ketika semakan tariff elektrik dibuat. Harga gas dan LNG juga sudah turun sejajar dengan penurunan harga minyak mentah dunia. Maka, adalah wajar tariff elektrik diturunkan kerana harga bahan api telah jauh lebih murah berbanding sebelumnya.
Semakan semula tariff elektrik yang diadakan setiap 6 bulan sekali dimana semakan berikutnya adalah hanya pada Julai 2015 tidak lagi sesuai memandangkan harga bahan api turun mendadak – yang seharusnya menuntut usaha kerajaan dalam memastikan penurunan kos sara hidup terlaksana. (lampiran)
Penurunan ini sejajar dengan harga gas asli, arang batu dan LNG yang telah rendah masakini. Selama ini, rakyat telah dijaja alasan tariff elektrik terpaksa dinaikkan atas sebab kenaikan harga bahan api tersebut. Oleh yang demikian adalah sesuatu yang tidak adil sekiranya tariff elektrik yang begitu tinggi dikekalkan selalu bebanan ke atas rakyat.
Tambahan pula pada suku pertama yang berakhir pada 30 November 2014, TNB mencatatkan peningkatan keuntungan sebanyak 34.3 peratus, iaitu bertambah RM2.35 bilion berbanding tahun sebelumnya.  Keuntungan yang besar ini dinikmati pastinya kerana penjimatan akibat penurunan harga arang batu pada tahun lepas. TNB dan PETRONAS sebagai syarikat berkait kerajaan (GLC), dan pemegang saham utama yang menentukan tarif elektrik bersama kerajaan perlu dengan segera menjalankan tanggungjawab mereka kepada rakyat dengan membantu menurunkan kos sara hidup rakyat.
Sepertimana yang telah disebutkan oleh Ahli Parlimen Kulai, Kerajaan Singapura dan Kerajaan Negeri Sarawak telah menurunkan tariff elektrik, sebanyak 8 peratus dan 40 peratus. Saya yakin majoriti rakyat setuju bahawa TNB perlu turut serta mencontohi penurunan tariff elektrik dengan segera.
Justeru, saya tegaskan dan menyatakan sokongan terhadap kenyataan serta tuntutan yang telah dibuat untuk menurunkan tariff elektrik. Semua pihak samada daripada Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional wajar menyokong usaha ini. Masalah ini bersifat universal yang wajar mendapat dokongan semua rakyat Malaysia tanpa mengira haluan politik.
Kerajaan perlu mengambil peluang ini untuk menyemak serta memperkasa usaha menurunkan kos sara hidup rakyat dan menurunkan SEMUA harga barangan yang terbabit secara langsung dan tidak langsung dengan penurunan kos barang api dan kos minyak dan gas dunia.

NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI
NAIB PRESIDEN KEADILAN
PENGARAH JAWATANKUASA PILIHANRAYA PUSAT KEADILAN

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.