`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, April 4, 2016

Gratuiti kepada nama diserah Rafizi telah diurus – LTAT

Tidak ada sebarang kebenaran dalam dakwaan Setiausaha Agung PKR, dan LTAT telah memulakan tindakan undang-undang terhadap beliau.
COMMENT
ltat-2
Oleh Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor
Merujuk kepada kenyataan media terakhir YB Rafizi Ramli bertarikh 1 April 2016 yang bertajuk “Serah Senarai Nama Pesara Kepada LTAT dan LTAT Perlu Menjawab Soalan-Soalan yang Ditimbulkan”, maka berikut adalah jawapan balas Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) terhadap dakwaan-dakwaan tersebut:
Dakwaan 1: “Menurut LTAT, ia tidak terkesan dengan bayaran yang diterima PPHM dari 1MDB dalam memenuhi tanggungjawab kewangannya membayar caruman. Namun begitu, kedudukan tunai LTAT berdasarkan Laporan Kewangan LTAT 2014 menunjukkan baki tunai LTAT pada 31 Disember 2014 adalah RM561 juta. Jumlah ini jauh lebih rendah dari baki pada 31 Disember 2013 iaitu RM1.117 bilion (berkurangan hampir separuh). Jumlah tunai yang diperlukan untuk membayar pengeluaran caruman pesara tentera bagi tahun 2014 adalah RM1 bilion. Sudah tentu jumlah tunai RM561 juta bukanlah jumlah yang selesa memandangkan jumlah yang diperlukan untuk membayar pengeluaran caruman adalah RM1 bilion. Maka, sebarang kelewatan dalam bayaran kepada LTAT (atau anak syarikatnya) pada jumlah yang besar seperti RM396.42 juta mempunyai kesan kepada aliran tunai LTAT.”
Jawapan balas LTAT:
1.1. Adalah tidak munasabah dan tidak logik untuk membandingkan jumlah pembayaran gratuiti yang dibuat sepanjang tahun dengan baki tunai pada akhir tahun 2014.
1.2. Baki akhir tahun bagi tahun 2014 berjumlah RM561.5 juta adalah baki setelah LTAT membuat semua bayaran termasuk bayaran kepada pencarum-pencarum yang mengeluarkan caruman di sepanjang tahun sehingga tarikh laporan.
1.3. Sepanjang tahun 2014, LTAT telah membuat pembayaran pengeluaran caruman berjumlah RM982.9 juta kepada pencarum yang tamat perkhidmatan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
1.4. Bagi tahun kewangan 2014, LTAT juga mencatatkan keuntungan sebanyak RM1.015 bilion, jumlah yang tertinggi sejak penubuhannya. Pada tahun yang sama juga LTAT telah membayar dividen sebanyak 15% dan telah membelanjakan sebanyak RM19 juta untuk membiayai tanggungjawab sosial korporatnya termasuk aktiviti-aktiviti pemberian biasiswa untuk anak-anak anggota ATM, bantuan sara hidup, sumbangan kepada Tabung Hari Pahlawan dan Badan-Badan Kebajikan KEMENTAH, pembinaan Marhallah LTAT di UIAM, Gombak dan bantuan-bantuan lain untuk warga ATM dan veteran ATM yang layak.
Dakwaan 2: “Dalam tahun 2014, LTAT memberi pendahuluan kepada PPHM sebanyak RM48 juta bagi tujuan membiayai keperluan modal projek PUKL. Dalam tahun 2015, LTAT menambah lagi pendahuluan kepada PPHM sebanyak RM150 juta menjadikan jumlah pendahuluan kepada PPHM adalah RM198 juta menjelang akhir 2015. Pendahuluan dari LTAT kepada PPHM ini mengesahkan kesan kelewatan pembayaran 1MDB kepada LTAT sehinggakan LTAT terpaksa mendahulukan dana yang memberi lebih tekanan kepada kedudukan tunainya yang sudah pun berkurangan dalam 2014 berbanding 2013.”
Jawapan balas LTAT:
2.1. Perbadanan Perwira Harta Malaysia (PPHM) merupakan sebuah perbadanan milik penuh LTAT yang sedang menjalankan beberapa projek infrastruktur yang besar serta terlibat dengan beberapa projek pembangunan hartanah, antara lain termasuk pembinaan 2,000 unit rumah mampu milik di Bukit Jalil, Kuala Lumpur bagi anggota-anggota angkatan tentera dan juga pembangunan kuarters kerajaan di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur.
2.2. Oleh yang demikian, sebagaimana perbadanan milik penuh LTAT yang lain dan sepertimana juga amalan urusan perniagaan yang biasa dipraktikkan, dari masa ke semasa, modal kerja pendahuluan disalurkan kepada perbadanan-perbadanan kami dan ini termasuk juga bagi PPHM.
2.3. Walau bagaimanapun, sehingga kini, pembayaran oleh 1MDB kepada PPHM telah dibuat dan PPHM yang menjadi kontraktor turnkey untuk 1MDB projek PUKL pula telah membayar semua sub kontraktor atas jumlah yang ditetapkan mengikut kontrak.
2.4. Selain itu, kami juga ingin menegaskan bahawa akaun LTAT diaudit oleh Jabatan Audit Negara dan dibentangkan di Parlimen.
Mengenai senarai yang terdiri daripada 110 pencarum yang didakwa tidak menerima bayaran gratuiti mereka, senarai ini telah kami terima daripada YB Rafizi. LTAT telah menyemak rekod setiap pencarum dan status bayaran masing-masing adalah seperti berikut:
LTAT
**Bayaran akan dibuat dalam tempoh 24 jam dari tarikh penerimaan dokumen yang lengkap dan diluluskan dari UGAT.
*Terdapat di dalam senarai yang dikemukakan oleh YB Rafizi seorang anggota yang sebenarnya telah memohon dan dibayar sepenuhnya lebih 9 tahun lalu, iaitu bertarikh 5 Februari 2007.
*Lebihan baki 69 pencarum dibayar antara 16 Mac 2016 dan 4 April 2016 dalam tempoh 24 jam setelah LTAT menerima dokumen yang lengkap dan diluluskan dari UGAT.
LTAT ingin menekankan dan menegaskan sekali lagi bahawa semua pembayaran gratuiti kepada anggota tentera yang telah tamat perkhidmatan termasuk semua 70 yang disebut di atas, telah, dan akan terus diuruskan, dalam tempoh 24 jam setelah LTAT menerima dokumen yang lengkap dan diluluskan dari UGAT. Permohonan-permohonan seperti ini diterima dan dibayar secara berterusan sepanjang tahun.
Ia juga adalah jelas sama sekali bahawa tuntutan yang dibuat oleh YB Rafizi adalah fitnah semata-mata dan berniat jahat serta bertujuan untuk memusnahkan reputasi baik dan kredibiliti LTAT.
Sedemikian itu, sekali lagi ditegaskan, tidak ada sebarang kebenaran dalam dakwaan YB Rafizi, dan LTAT telah memulakan tindakan undang-undang terhadap beliau.
Bagi pencarum-pencarum yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai pembayaran gratuiti mereka sila menghubungi talian LTAT di 1-300-88-5828. Sebarang pertanyaan mengenai dokumentasi hendaklah dirujuk kepada Jabatan Rekod dan Pencen (JRP) atau UGAT di Kementerian Pertahanan.
Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor merupakan Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.