`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, November 30, 2016

[VIDEO] Kisah Sedih: Balak Dilahapkan, Orang Asli Ditangkap & DIgari, Pondok Mereka Dirobohkan!

Belum habis Orang Asli nyanyi lagu Negaraku, Perhutanan Kelantan mara roboh sekatan 

Dilihat banyak pihak sebagai tidak berperikemanusiaan, kerajaan negeri Kelantan tetap berdegil meredah sekatan jalan (blockade) Orang Asli di Gua Musang semalam walaupun mereka sedang menyanyikan lagu Negaraku. 

Satu rakaman video yang mulai tersebar pagi ini memaparkan pihak Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan menggunakan pembesar bersuara meminta Orang Asli yang berkumpul di sekatan Simpang Petei itu supaya berundur dan mengosongkan lokasi tersebut. 


Turut dimaklumkan dalam video yang menyaksikan kedatangan ramai anggota polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) adalah untuk merobohkan binaan di sekatan itu dengan alasan menyalahi Enakmen Perhutanan Negara. 

“Tuan-tuan diminta berundur dan mengosongkan kawasan ini,” dipetik daripada rakaman video berdurasi dua minit itu sebelum lebih 200 anggota pihak berkuasa terbabit mara sebaik palang buluh yang merentangi laluan balak itu diangkat. 

Sumber aktivis di tempat kejadian memberitahu Malaysia Dateline, operasi berkenaan telah memusnahkan tidak kurang 20 bangsal dan binaan Orang Asli yang berfungsi sebagai tempat mereka berkumpul bagi menghalang lori balak keluar dari kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Balah, Perias dan Stong Selatan dengan menggunakan gergaji berantai. 

Sementara itu, seramai 47 Orang Asli ditahan dalam operasi merobohkan 35 bangsal semalam. 

Turut dirampas dua bilah parang dan sumpit selain menyita beberapa unit motosikal milik Orang Asli. 

Timbalan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Mohd Radhi Chu Abdullah dilaporkan berkata, mereka ditahan mengikut Seksyen 32, Seksyen 47 dan Seksyen 81 Enakmen Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993) kerana menduduki dan memasuki kawasan hutan simpan tanpa kebenaran. 

Konflik Orang Asli dengan kerajaan negeri yang dilihat berpihak pada kepentingan syarikat pembalak berlaku apabila masyarakat tempatan mendapati aktiviti pembalakan di kawasan didiami mereka semakin mengancam sumber air dan makanan. 

Malangnya, saranan Orang Asli terbabit supaya kerajaan negeri menghentikan aktiviti pembalakan terbabit tidak dilayan bahkan pada 28 September lalu, terdapat Orang Asli nyaris terputus kaki dalam usaha menghalang pihak syarikat pembalak daripada memasuki wilayah tanah adat mereka. 

Turut mengejutkan pada hari kejadian apabila dua das tembakan dilepaskan oleh salah seorang daripada kira-kira 30 individu terbabit dipercayai bagi menakutkan dan menggertak Orang Asli yang membuat sekatan di Simpang Petei, Pos Tohoi itu. 

Masyarakat Orang Asli mengambil keputusan membina sekatan terbabit selepas notis tuntutan kepada syarikat pembalak serta aduan kepada Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) tidak berhasil. 

Rayuan sama turut diajukan kepada kerajaan negeri Kelantan dan Pejabat Perdana Menteri serta memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) tetapi masih gagal menghalang aktiviti pembalakan di tanah adat yang didiami keturunan mereka sejak bergenerasi lalu. 

Untuk rekod, sebanyak 100,000 hektar hutan di Gua Musang iaitu dua kali ganda keluasan negeri Perlis musnah akibat aktiviti pembalakan sejak 20 tahun lalu. 

Perhutanan Kelantan menuduh Orang Asli menceroboh walaupun mereka sudah bergenerasi mendiami kawasan hutan di hulu negeri itu. -MD 


‘Apa salah ayah, dia hanya pertahan tanah kami’

GUA MUSANG, 30 NOV: Penahanan dan operasi pemusnahan blockade serta pondok Orang Asli di Gua Musang oleh Kerajaan PAS Kelantan semalam terus mendapat perhatian rakyat negara ini.

Tindakan itu tambah mencetuskan tidak puas hati rakyat apabila seramai 49 Orang Asli ditahan dan dalam operasi tersebut.

Rentetan itu, orang ramai, kumpulan masyarakat sivil dan parti politik yang mula berhimpun di Gua Musang sejak malam tadi mengadakan himpunan solidariti di Ibu Pejabat Polis Daerah menuntut agar kesemua Orang Asli yang ditahan dibebaskan segera.

Bagaimanapun pembebasan 49 tahanan Orang Asli itu tertangguh apabila Mahkamah Majistret Gua Musang hari ini membenarkan permohonan reman Timbalan Ketua Polis Gua Musang, DSP Yap Sow Sing selama 2 hari, daripada 7 hari yang dimohon.

Lebih 100 orang asli dari seluruh negara termasuk dari Pahang, Perak, Melaka, Johor dan Negeri Sembilan pada hari ini telah datang ke Gua Musang memberi sokongan ke atas penangkapan saudara-saudara mereka.

Mereka berarak dari IPD Gua Musang ke mahkamah majistret Gua musang.

Menurut Inah binti Amat, saudara kepada salah seorang tahanan iaitu Saudi a/l Asli, dia hadir pada hari ini untuk menuntut supaya semua tahanan dibebaskan segera.

“Saudi adalah adik saudara saya, saya sedih dia ditahan,” katanya sebak.

Inah berkata, kawasan hutan yang dimusnahkan pembalak telah memberi kesan buruk kepada masyarakat Orang Asli di mana sumber makanan, pendapatan, perubatan dan adat istiadat terjejas.

Kemelut balak melibatkan kerajaan PAS Kelantan dan Orang Asli Temiar di Gua Musang yang mencapai kemuncaknya semalam juga menyebabkan Herry Boy bin Angah yang merupakan seorang pelajar di sebuah institusi swasta Kuala Lumpur pulang ke kampung halaman.

Ia berikutan penahanan ayahnya Angah bin Tengau dalam operasi penangkapan pihak berkuasa semalam.

“Saya marah, mereka memperlakukan ayah saya seperti penjenayah.

“Dia (ayah) tidak buat apa-apa kesalahan, dia hanya mempertahan, melindungi sumber untuk anak-anak dan demi masa depan kami,” ujar Herry.

Katanya, dia terus memberikan sokongan kepada perjuangan masyarakatnya yang tertindas sehingga pembalakan dihentikan. 
-Roketkini




ULASAN GB 

Sungguh menyayat hati. 

Semenjak berkawan rapat dengan UMNO, PAS sudah meniru dan mengambil-alih banyak perangai dan tindak-tanduk UMNO. 

Tidak berupaya untuk mencari sumber selain dari balak untuk meneruskan pemerintahan di Kelantan. Maka dilakukan apa saja cara bagi mempastikan pembalakan dapat diteruskan. 

Dan kehidupan orang asli menjadi mangsa. 

Di sebelah tangan PAS beriya-iya hendak membela Rohingya di Myanmar, tetapi di sebelah tangan yang lain kerajaan PAS sendiri menzalimi kaum orang asli di Kelantan. 

GB tertarik dengan keratan-keratan di bawah ini: 



1 comment:

  1. Orang asli kenalah sedar, bukan besi dan batu saja tak boleh dimakan.Kayu balak tu keras, tak boleh dimamah masuk kedalam perut. Najib dah usahakan nak buat keretapi magic china. Dari itu hutan kenalah ditebang untuk bagi landasan keretapi. Andaian jumlah hutang dari cina tu siap keretapi hari ni dan guna hari ni juga, harga tiket sehala dari gua musang kekuala lumpur RM520 lebih cepat tiba kekuala lumnpur nak pergi pejawat HOA - haji presideng baca zam zam ala kazam, tiup saja wisel, seminit saja dah sampai. Lebioh pantas dari naik kapal terbang.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.