`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, April 27, 2023

Terpaling Islam tetapi terpaling bazir

 

Memandangkan kita di musim hari raya, pegangan biasa yang dipakai orang Melayu dalam menyediakan sajian makanan ‘biar lebih jangan kurang’ harus ditinggal, dan dibetulkan. Di hari raya ini, amat lazim kita akan menyaji makanan dengan banyak untuk tetamu yang datang. Para tetamu pula dek sudah berkunjung ke banyak rumah tidak akan lagi terdaya untuk melantak banyak, dan sajian yang tidak dipelankan awal itu akan berlebihan lantas melanyah.

Sudah masa kita berkempen dan beraksi sewajarnya dalam merancang penyediaan makanan, dengan kasad untuk memilih bersederhana. Pegangan ‘biar lebih jangan kurang’ itu harus ditukar kepada ‘buat jamah jangan membazir’.

Untuk orang Melayu, beragama Islam terdapat ayat suci al-Quran dari ayat 27 surah al-Isra’ yang melarang amalan membazir, firman Allah terjemahannya; “Sesungguhnya orang-orang yang melakukan pembaziran ialah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”

Ada banyak sebab pegangan ini mesti dikempenkan. Kita perlu menyedarkan masyarakat yang makanan berlebih dan bersisa dan terbuang ini merosakkan alam sekitar.

Suka tidak suka kita orang Melayu, yang terpaling Islam adalah yang terpaling membazir. Dalam bulan Ramadan yang lalu, umat Melayu telah melakukan pembaziran yang sangat tidak Islami. Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Teknikal) SWCorp, Pauze Mohamad Taha, dilaporkan berkata kira-kira 4,600 tan makanan yang masih elok terbuang di seluruh Semenanjung semasa bulan Ramadan. Peningkatan ini menaik sejak dua tahun lalu. Beliau bukanlah bercakap kosong tetapi mengemukakan data yang mana anggaran ini datang dari bazar Ramadan. Itu belum lagi pembuangan makanan ketika berbuka dan kemudian setelah moreh.

Menurut data Konpendium Pengurusan Sisa Pepejal di Malaysia 2020, 44.5% daripada komposisi sisa pepejal harian adalah sisa makanan. Pecahan dari jumlah tersebut, kita mendapati 76% merupakan sisa makanan yang sudah rosak dan tidak boleh dimanfaatkan sedangkan baki 24% sisa makanan pula boleh dielak. Dalam masa sama, 1/4 lagi daripada makanan sudah sempat dibazirkan semasa proses penyediaan, pengeluaran, dan penggunaan.

Pembaziran makanan ini pula akan merangkai menjadi pembaziran penggunaan sumber ekonomi. Ini kerana ia juga bermaksud pembaziran ke atas penggunaan sumber seperti air dan bahan api dalam penyediaan makanan tersebut, serta menyumbang kepada pelepasan karbon dioksida ke dalam atmosfera.

Menurut Yusof Saari dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia, “setiap satu kilo daging memerlukan 15,500 liter air, setiap satu kilo gula menggunakan 1,500 liter air”. Manakala petrol pula, “setiap 0.17 kilo daging menggunakan 0.159 gelen petrol dan setiap 0.22 kilo beras menggunakan 0.0098 gelen petrol”.

Dalam hal pelepasan karbon dioksida pula, “setiap satu kilo daging sebanyak 27 kg karbon dioksida dilepaskan dan bagi setiap satu kilo ayam sebanyak 6.9 kg karbon dioksida dilepaskan”.

Pendeknya, lebih banyak kita membazir makanan, maka lebih banyak pula kita menyakiti alam sekitar yang kemudiannya akan datang kembali menyusahkan kita dalam pelbagai bentuk. Sebagai contoh ia mengakibatkan pemanasan global akibat pembebasan gas metana yang terhasil daripada proses penguraian sisa makanan.

Kita juga tidak sedar sisa makanan yang dibuang ini akan menyakiti bumi. Sebagai orang Melayu yang terpaling Islam, kita selalu berangan menjadi khalifah Allah di muka bumi; baikkah kita menjahanamkan bumi sedangkan ada larangan Allah agar tidak melakukan kerosakan? Negara-negara yang amat memberi perhatian kepada sisa makanan ini nampaknya bukanlah negara Islam. Di Asia, negara Jepun, Taiwan, Thailand, dan Korea Selatan sangat tegas membasmi pembaziran makanan.

Taiwan sebagai contoh menyediakan satu program kebangsaan iaitu “National Development Plan-Green Industry-Resource Recycling and Reuse Program” antara 2003 ke 2008 yang menggalakkan penglibatan aktif industri dan sektor swasta untuk mengurangkan sisa pembuangan makanan. Thailand memastikan pembuangan sisa makanan dalam polisi peringkat kebangsaan dengan sasaran menurunkan peratusan pembuangan sisa makanan dari 30% pada 2016 kepada 62% pada 2021 dan 90% pada 2026 kelak. Di Jepun terdapat undang-undang mewajibkan industri dan mereka dalam industri makanan mengitar semula sisa makanan menjadi baja kompos, makanan haiwan, dan biogas. Nampaknya yang bukan Islam lebih membenci syaitan daripada kita. Ini kerana mereka bencikan pembaziran.

Di Malaysia, satu intervensi pihak berkuasa yang boleh dilakukan ialah mendenda kediaman, surau-masjid, pekedai malah individu yang tidak menghabiskan makanan. Dengan ingatan mana-mana rumah, restoran, atau pelanggan yang memesan atau membeli makanan hendaklah boleh mengukur sendiri saiz kehendak, serta kebolehdayaannya untuk menghabiskan makanan itu. Dalam erti kata lain, jika tidak boleh menghabiskannya maka jangan dibeli banyak atau diambil berlebihan. Demikian juga sesebuah kedai atau restoran, dan hotel hendaklah mengukur saiz pelanggan biasanya dan beringat agar tidak sampai membuang makanan yang pasti rosak.

Kita boleh meminjam panduan Kementerian Alam Sekitar Korea Selatan yang mewujudkan sistem bayar atau denda untuk kediaman yang membuang lebih sisa makanan. Selain itu, kita mesti mula menjadikan persoalan pembaziran makanan dimasukkan dalam silibus mana-mana mata pelajaran sekolah. Pendidikan boleh menyelamat dan membantu perubahan sikap ini berlaku.

Anak-anak kita hendaklah digerunkan bahawa sisa makanan mereka yang tidak habis itu akan dihantar ke tapak pelupusan sisa pepejal untuk dilupuskan. Di situ, sisa makanan yang dibuang mula menghasilkan bau, cecair larut resap, dan tempat untuk merebaknya bakteria dan virus. Kita mesti mengingatkan anak-anak yang tapak pelupusan sisa pepejal di negara kita kebanyakannya telah mencapai jangka hayatnya dan tidak lagi mampu menampung sisa pepejal yang terhasil.

Penambahan sisa terhadap yang sedia ada membawa kepada kerosakan alam. Kemungkinan ada banyak tapak pelupusan sisa yang tidak sanitari iaitu tidak berkemampuan untuk melupus atau merawat secara cekap dan lengkap. Ia membawa pula kepada pencemaran sungai dan air tanah yang kemudian masuk ke dalam pili kita. Inilah kerosakan bumi yang dilakukan oleh ramai umat terpaling Melayu dan terpaling Islam sehingga memberikan kesan rantaian terhadap ekosistem alam.

Sikap tegas diperlukan supaya keraian, parti-parti, kenduri-kendara, moreh yang penuh pembaziran dan lewah ini dapat dikawal. Kempen untuk umat Melayu terpaling Islam ialah ‘buat jamah jangan membazir’. Inilah kemadanian yang mesti digerakkan segera. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.