`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, July 14, 2023

Mengiktiraf agama Orang Asli

Antara tahun-tahun 2020 sehingga 2022, saya beroleh geran penyelidikan daripada American Bar Association yang dikerjakan dengan IMAN Research Centre untuk memahami keberagaman agama di Malaysia, dan bagaimana kemerdekaan beragama diraikan atau dinafikan. Selain agama-agama besar sedia ada seperti Kristian, Buddha, Hindu, dan minoriti seperti Bahai, terdapat juga aneka mazhab dari agama-agama yang disebutkan.

Akan tetapi satu agama, atau mungkin kepercayaan yang terabai tentunya agama lampau, atau kepercayaan pagan yang masih dianuti oleh kebanyakannya masyarakat Orang Asli. Tanggapan bahawa mereka kini menganut sama ada Islam atau Kristian tidak sepenuhnya benar. Ini kerana mereka selalu sahaja mengambil ‘manfaat’ dari pendakwah yang datang, atau memang kepercayaan lalu mereka itu agak luwes untuk menerima masukan-masukan baru dan mereka tidak rasa ia membebankan.

Sekiranya kita merenung kepercayaan penghuni Nusantara zaman pra-Islam, kita akan mendapati terdapat kepercayaan pagan seiring dengan penemuan rangka-rangka manusia prasejarah di pelbagai ceruk dan pelusuk negara ini. Nusantara ketika zaman prasejarah menurut Gale Sieveking, seorang penyelidik prasejarah, terletak di bawah pengaruh budaya Hoabinhian. Terdapat puak manusia yang sudah menetap di dunia kita ini nun sejauh era Chryses Chersonesos. Dalam kanun Yunani klasik, daerah kita telah pun dikenali.

Menurut Hamka, urusan kepulauan Nusantara sudah terdapat dalam buku Yunani, Periploustes Erythras Thalasses. Dalam buku ini ada disebut nama Chryses yang bererti negeri emas. Kononnya Chryses itu ialah Semenanjung. Ia juga disebut sebagai Chryses Chersonesos. Manakala negeri Barousai dipercayai daerah Barus. Sementara Sabadebai itu pula Jawadwipa atau Andalas. Buku Yunani itu, kata Hamka lagi, bertarikh 70 Masehi. Hamka dalam “Sejarah Umat Islam” bahkan memetik betapa Protolomeus yang hidup pada sekitar 150 Masehi mengetahui kewujudan kita.

Tentu masyarakat terdahulu di Nusantara yang bermaksud nusa iaitu tanah yang diantarai oleh laut-laut ini telah pun dihuni manusia. Manusia di Nusantara ini dibahagikan kepada tiga kelompok iaitu Negrito yang merupakan penduduk pertama di rantau ini dan didakwa banyak persamaan dengan manusia di Afrika. Kelompok kedua ialah Veddoid yang dikatakan mempunyai campuran bangsa Kaukasia di mana menghasilkan pula suku kaum Senoi, Sakai, dan Kubu serta dapat dikenali berdasarkan ciri-ciri fizikal seperti rambut kerinting, bulu badan tidak begitu tebal, dan warna kulit sawo.

Hanya agak-agak terkemudian dan terakhir, adanya kelompok yang lebih lain lagi iaitu Palae-Mongoloid atau Melayu. Manusia Melayu ini dipecahkan pula kepada Melayu Proto yang mendiami kawasan pedalaman dan Melayu Deutero.

Sebagai lazimnya manusia, mereka ini mempunyai kebudayaan tersendiri dan ini termasuklah dalam bentuk kepercayaan terhadap Pencipta. Kepercayaan paling awal dan dominan bagi penduduk rantau ini ialah Dinamisme-Animisme, di mana kepercayaan terhadap Tuhan Yang Esa sudah ada tetapi dalam bentuk yang terlalu kabur.

Kepercayaan itu mungkin agak rencam di mana adanya pertembungan dua bangsa manusia yang mempunyai peradaban tinggi iaitu bangsa Cina di Timur dan India di Barat lantas menjadikan rantau ini kawasan lalu lintas perdagangan. Tatkala ada yang menyinggah terjadilah percampuran kebudayaan secara sinkretis iaitu pelbagai unsur kebudayaan masuk bersatu sehingga sukar dibezakan dan dipisahkan.

Dinamisme-animatisme bermakna kepercayaan adanya tenaga tidak berperibadi dalam diri manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan, dan benda-benda. Beberapa kepercayaan lain penghuni Nusantara ketika itu adalah animisme iaitu mempercayai jiwa dan roh dapat mempengaruhi kehidupan alam manusia. Animisme ini membibitkan pemujaan dan perhambaan diri kepada kuasa yang berperibadi kerana orang berasa terikat kepadanya dan meyakini ia boleh mendatangkan nasib buruk atau nasib baik.

Kita dapat memahami dalam hal ini, magis-religis adalah keyakinan yang wujud di daerah kita ini lebih awal dari kedatangan agama Islam. Magis bererti penguasaan terhadap tenaga ghaib dengan tindakan tertentu. Sementara religis pula ialah pemujaan dan perhambaan diri kepada kuasa ghaib di mana manusia mengharap perlindungan atau meminta sesuatu hajat kepadanya.

Antara jenis magis-religis ini yang masih diwarisi tanpa disedari oleh orang Melayu terdahulu adalah sepertinya magis analogis iaitu membuka pintu ketika melahirkan anak dengan tujuan kononnya untuk memudahkan kelahiran, juga magis imitatif seperti menikam pisau pada jantung pisang demi untuk melukakan musuh, ini termasuk juga magis bahasa di mana contohnya pawang rusa menyeru semangat atau jembalang rusa dengan pantun tertentu.

Dalam masa sama terdapat kepercayaan totemisme yang pernah menguasai kepercayaan awal penghuni rantau ini. Totemisme bermaksud mempercayai diri mereka berasal dari sebangsa haiwan atau tumbuh-tumbuhan, atau antara mereka dan haiwan atau tumbuh-tumbuhan itu ada pergantungan nasib. Justeru mereka menghormati haiwan atau tumbuhan tersebut sambil menganggapnya nenek moyang serta melarang ia dimakan melainkan pada upacara tertentu sahaja.

Sepanjang melakukan kajian itu pasukan saya juga menemukan masih ada kelompok rakyat kita yang membuat persembahan kepada alam. Hanya mereka amat berhati-hati untuk menjongolkan kepala ke luar. Bentuk persembahan ini barangkali menyamai Javadwipa iaitu pengagungan alam semesta seperti memuja dewi yang menguasai Lautan Hindi di sebelah selatan Jawa iaitu Nyi Roro Kidul.

Tentu sahaja kepercayaan Orang Asli ini berteras konsep Hyang atau yang paling berkuasa. Kepercayaan-kepercayaan tidak teratur ini lebih terurus kemudiannya bila tiba agama Hindu yang membahagikan semua tersebut kepada tiga jurusan iaitu Krishna, Vishnu, dan Shiva sementara kedatangan agama Buddha pula menokok dari segi rohani dan jasmani (atau buddhi dan prakharti).

Kerajaan Hindu Tua dijangka wujud kira-kira tahun 400 Masehi iaitu dua abad sebelum lahirnya Nabi Muhammad. Kerajaan tersebut bertapak di Kalimantan Timur iaitu di Kutai, di mana ditemui batu tercatat mengenai raja bernama Mulawarman dan huruf pada batu itu bertulisan Pallawa yang menjelaskan ada hubungan kerajaan ini dengan kerajaan di India Selatan.

Dalam pada itu sebuah lagi kerajaan di Jawa Barat bernama Tarumanagara dalam abad kelima (satu abad sebelum kelahiran Nabi Muhammad) pula dipimpin Raja Purnawarman. Lain-lain kerajaan yang diketahui oleh ahli sejarah adalah Sriwijaya, Sambojaya, Langkasuka dan Kataha, Sailendra, Kalingga dan Mataram, Kediri dan Singasari, Majapahit, Dharmasraya, Aditiawarman dan Pagaruyung. Kerajaan Hindu paling akhir di rantau kita adalah Majapahit di mana ketika itu rajanya ialah Kertarajasa (1292-1309), di mana pada masa yang sama kerajaan-kerajaan Islam sudah mula bertapak kukuh di Pasai.

Kononnya ketika Alam Melayu masih pagan, dan kemudian dikuasai Hindu-Buddha; kononnya umat manusia di rantau ini tidak mempunyai falsafah dan kebudayaan yang tinggi. Tanggapan ini tidak benar. Manusia dari era peradaban Srivijaya misalnya menunjukkan secara bukti arkeologi kebolehan atau kearifan lokal tersendiri.

Apabila monoteisme tiba, Islam dikatakan diterima sebagai ganti kepercayaan tadi kerana antara lain berpunca dari ketidaktahanan agama Buddha-Hindu itu sendiri berbanding Islam. Di Asia Tengah sebelum agama Buddha dan Hindu tiba ke Nusantara, agama ini melalui proses kemerosotan selain mendapat cabaran agama Islam yang lebih popular. Wilayah-wilayah seperti Afghanistan dan Parsi menerima kedatangan Islam dengan segera kerana salah satu sebabnya dilihat sebagai agama yang dapat bertahan dari apa sahaja cabaran.

Agama Buddha misalnya pudar kegemilangannya oleh serangan bertubi penganut Zoroastrianisme dan saingan daripada Kristian Nestorianisme dan Manichaeisme. Tambahan pula kepesatan mazhab Brahmin di sempadan India, justeru agama Buddha memang boleh dijangka akan mengalami proses yang sama di rantau ini. Ketika Islam muncul di India agama Buddha misalnya tidak lagi diperhatikan di rantau tersebut. Keadaan yang sama juga menimpa agama Buddha di rantau ini, di mana kedatangan Islam dengan penuh ‘bergaya’ segera menarik minat penghuni Nusantara.

Dalam observasi pasukan pengkaji yang saya ketuai ini kami meneliti pengalaman beragama di Malaysia, termasuk antara lain mendengar keluhan penganut agama pagan dalam kalangan Orang Asli. Rungutan penganut agama nenek moyang ini termasuklah bagaimana mereka dipaksa memeluk Islam, atau ditukar menjadi Melayu. Di beberapa keadaan mereka diperdayakan untuk menerima Islam di atas kad pengenalan atau sijil lahir.

Meskipun jumlahnya kecil, penganut kepercayaan pagan ini mengharapkan agar mereka dapat diiktiraf. Ini untuk melindungi cara hidup mereka yang kian diancam sepertinya pengambilan tanah, pemusnahan habitat, lingkungan dan alam sekitar serta proses Melayunisasi yang pesat.

Mungkin Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia patut melihat kelompok kecil ini, kerana mereka juga warganegara. Mereka juga ada hak sebagai rakyat. Hanya mungkin ‘kepercayaan kepada Tuhan’ mereka itu sedikit berbeza dari kita yang beragama Islam, Kristian, Buddha, atau Hindu ini. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.