`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Saturday, July 29, 2023

Mengapa PAS akan berjaya di PRN kelak

 

Dengan Bersatu atau tanpa Bersatu; PAS akan tetap beroleh undi besar dan mungkin menapak lebih jauh pada pilihan raya negeri mendatang. Sekurang-kurangnya PAS akan bertahan di tiga buah negeri. Juga, dengan Mahathir atau tanpa Mahathir; PAS akan tetap beroleh undi yang banyak dan barangkali melebarkan pengaruhnya pada PRN mendatang. Sekurang-kurangnya, PAS akan bertahan di tiga buah negeri.

Saya akan memberi dua sebab mengapa PAS akan kekal berpengaruh.

Pertama, agenda-proses dan juga perancangan melahirkan generasi yang taksub terhadap parti tersebut berlangsung sekian lama. Ia dilakukan secara amat berkesan menerusi sistem pendidikan. Saya mengkaji hal ini di Perak dan kajian saya untuk ISEAS-Yusof Ishak, Singapura bertajuk “Perak and Islamic Education: PAS’ Gateway to the West Coast” itu telah diterbitkan. Kajian saya ini bersama-sama pegawai Afra Alatas boleh dimuat turun di dalam talian untuk diteliti.

Dalam satu perbualan dengan bekas guru sebuah sekolah persendirian milik parti tersebut, saya difahamkan oleh guru ini bahawa pihak pentadbiran tidak memandang serius kualiti guru, sistem pendidikan, mahupun prasarana. Dalam kamus pentadbirnya yang penting adalah ketaatan kepada parti.

Guru ini diberi gaji hanya RM1,500 (sekolah di Lembah Klang). Lagi, menurut bekas guru tersebut; ketika temuduga perjawatan berlangsung pihak pentadbir tidak pun memandang kelayakan beliau yang hanya berbekalkan diploma (beliau kurang berjaya dalam pengajian di peringkat ijazah sarjana muda) tetapi lebih banyak tertumpu bertanyakan soal kesetiaan kepada parti.

Sebagai guru sekolah milik parti, beliau ‘dipaksa-rela’ menjadi ahli PAS, dan kemudian menyertai pelbagai acara parti yang melelahkan. Ia adalah satu proses indoktrinasi. Generasi guru dan pelajar di sekolah agama milik parti inilah yang hari ini taksub.

Hal ini konsisten ditemukan ketika kajian lapangan yang saya lakukan di atas. Apa yang ditemui di Perak, tidak terkecuali berlaku di negeri-negeri lain. Malah ia sudah amat kukuh di Kelantan, Terengganu, dan Kedah. Justeru, tiga negeri ini selamat dihujahkan akan bersama-sama PAS.

Kedua, bukanlah rahsia yang PAS berbekalkan budaya takfiri. Dalam satu kajian yang dilakukan oleh Wan Rohila Ganti Wan Abdul Ghapar dan Che Hamdan Che Mohd Razali bertajuk “Ragam Politik Kepartian Melayu Terengganu: Sejarah Panjang Perseteruan PAS-Umno” yang termuat dalam buku “PAS Menjelang Pilihan Raya Umum” terbitan Universiti Malaysia Kelantan (2020), kedua-dua saintis politik ini menekankan budaya takfiri bekal dan senjata paling ampuh untuk PAS melangsungkan hayatnya.

Ads by Kiosked

Menurut kedua-dua pengkaji yang saya sebutkan di atas; budaya ini mengakibatkan perpecahan dalam umat Islam, dan meskipun disedari sekian lama, tidak siapa ingin mengambil tindakan berani untuk membetulkannya, mereka menulis:

“Budaya takfir ini telah merebak dan berakar umbi dalam kalangan penyokong kuat PAS. Natijah terburuk daripada budaya takfir ini telah melahirkan penyokong PAS yang ekstrem dan rigid, bila mana sesiapa yang tidak bersama mereka dianggap kafir secara semberono. Keluarga dan masyarakat terbelah dua sehingga penyokong PAS memilih untuk tidak tidak mengerjakan ibadat di belakang imam Umno, tidak makan sembelihan orang Umno dan menikahkan semula anak-anak perempuan mereka yang dinikahkan oleh kadi Umno.

“Jenazah juga disemadikan di tanah perkuburan yang berbeza, tidak hadir ke majlis kenduri dan keramaian yang dianjurkan orang Umno, dan zakat dibayar secara terus kepada ahli PAS yang layak kerana bimbang wang zakat tersebut diagihkan kepada penerima yang telah kafir. Ini adalah kerana mereka ragu-ragu dengan pegangan akidah orang Umno, yang dipercayai telah kafir kerana tidak percaya akan kemampuan agama Islam di dalam pemerintahan negara.

“Mereka mula membina masjid dan surau sendiri menggunakan dana dari kutipan derma ahli-ahli PAS, dan jika tiada kemampuan untuk berbuat sedemikian, solat berjemaah akan diadakan dua kali, dengan kali pertama oleh imam lantikan Umno, dan kali kedua oleh imam PAS. Masjid dan surau PAS ini juga menjadi markas PAS untuk kawasan tersebut.”

Hal perasan benar ini tidaklah begitu sulit dibaca, apabila Hadi Awang memuji bekas Mahathir Mohamad kerana terhegeh datang ke pentas PAS sebagai ‘orang yang kembali ke pangkal jalan’. Tentu, beliau memaksudkan pangkal jalan yang betul adalah hanya Islam PAS, manakala Anwar Ibrahim ‘masih meneruskan perjalanan’ iaitu masih belum bertemu jalan yang betul. Ini satu contoh ekstrem iaitu mendefinisikan kebenaran untuk diri sendiri.

Bukan itu sahaja, dengan menenggek kepada sirah, Hadi mensejajarkan perjuangan merebut kuasa di Malaysia ini dengan sejarah suci hayat Rasulullah iaitu mengibaratkan orang yang datang kepada PAS sebagai golongan yang diampunkan selepas Pembukaan Kota Mekah. Dengan melakukan itu, PAS menabikan perjuangan mereka, dan mengQuraisykan orang lain.

Ads by Kiosked

Dua hal di atas akan menjadi pasak besar PAS untuk melangkah jauh dasawarsa mendatang. Jika pemerintah serius mahu menyekat kebangkitan ekstremisme agama seperti yang dititahkan raja-raja Melayu selepas PRU15 lalu, maka campur tangan segera dan tegas harus dilakukan. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.