`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, July 30, 2023

Janji orang politik boleh dengar tapi jangan terlalu percaya

“Kalau dah free, tolong call balik.” Itu satu pesanan WhatsApp yang saya terima ketika sedang bekerja di tempat baru pada suatu malam kira-kira lima tahun lalu. Terdetik hati ketika itu apakah pesanan itu bermaksud kepada saya atau seorang pak menteri yang kebetulan namanya hampir serupa.

Apa yang memusykilkan ketika itu ialah pesanan berkenaan datangnya daripada seorang pak menteri lain, yang mungkin tersilap hantar kerana nama kami berdua tentunya tidak pun berjarak dalam senarai “contact” telefon bimbitnya.

Lebih menimbulkan kehairanan, pesanan itu datangnya daripada pak menteri berkenaan yang sudah bertahun-tahun tidak berhubung selepas saya tidak lagi bergelar ketua pengarang sebuah akhbar nasional di sebalik kami sebelumnya boleh dikatakan agak rapat.

Untuk meleraikan kekusutan, saya membalas pesanannya itu dengan pertanyaan: “Datuk Seri hantar pesanan ini kepada saya atau…?”

Jawapannya sudah boleh saya jangka tetapi bukan bait-bait pesanan yang dikirimkannya di sebalik saya boleh berasa sedap hati sedikit kerana “contact” saya masih tersimpan di telefon bimbitnya dan belum dipadamkan.

“Macam mana pesanan ini sampai kepada you? I tersalah tekan kut,” jawab pak menteri itu, yang tidak pun bertanya khabar, atau mahu tahu sama ada saya masih bekerja atau di mana.

“Arrgghh”, fikir saya sambil beranggapan bukan semua menteri cerdik belaka atau pandai berbudi bahasa, lebih-lebih lagi memiliki sifat mengenang budi.

Bukan pun satu rahsia yang orang politik, terutama daripada parti pemerintah, dan orang surat khabar mempunyai hubungan istimewa, apatah lagi jika diambil kira kedua-duanya saling memerlukan dalam tugas harian masing-masing.

Barangkali tidak berkisar kepada semua, ada menteri yang jadi “favourite” dalam kalangan yang ramai sehingga mereka mendapat lebih sedikit keistimewaan dari segi liputan berita di samping komen mereka sering dicari dan didahulukan.

Ini biasanya bergantung kepada keakraban hubungan di samping persahabatan, yang tidak semestinya bertaraf sama dengan sesetengah menteri lain.

Malah, dalam kalangan menteri juga, ada orang surat khabar yang menjadi “favourite” mereka bagi mendapatkan pertolongan, yang bagaimanapun terbatas kepada bidang kerja masing-masing dan tidak berkaitan hal peribadi.

Namun, seperti yang pernah diberitahu seorang rakan sekerja yang lebih senior, menteri lazimnya sentiasa mahu berkawan dengan orang surat khabar atas dasar percaya selain dapat memudahkan urusan tetapi belum tentu menghargainya kemudian.

Tidak pun perlu sebarang temu janji atau perlu berhubung melalui setiausaha sulit kanan atau setiausaha akhbar, orang surat khabar boleh terus menelefon atau menghantar pesanan WhatsApp kepadanya, yang jarang sekali lambat berjawab.

“Bila kau dah duduk di kerusi panas itu, menteri yang akan cari kau, bukan sebaliknya,” kata rakan itu. Cuma, cakap-cakap rakan itu sebenarnya tidak lengkap kerana semua itu hanya bermaksud apabila jawatan paling kanan masih disandang.

Ads by Kiosked

Hilang jawatan bermakna hilanglah sebarang akses dan lebih mengguris hati lagi, hilanglah juga nilai persahabatan yang terjalin sebelumnya. Itu realiti pahit untuk ditelan seperti ditunjukkan oleh pak menteri pada awal tadi.

Ketika ura-ura saya akan hilang jawatan belum pun berusia 48 tahun pada pertengahan 2009, ada sekurang-kurangnya dua menteri menawarkan untuk membantu agar perkara itu tidak terjadi. Seorang daripada mereka jenuh meyakinkan bahawa dia berada dalam kedudukan untuk mempengaruhi keputusan supaya saya terus dikekalkan.

Pada hari sebelum pengumuman mengenai rombakan di organisasi media tempat saya bekerja dibuat, saya bertaruh RM10 dengan isteri mengenai berapa panggilan atau pesanan WhatsApp daripada menteri yang akan diterima keesokannya.

Isteri kata 10 menteri kerana dia tahu dengan siapa yang saya rapat sambil saya mengatakan tiga, termasuk daripada dua yang membuat jaminan tadi – tidak terkecuali seorang yang namanya hampir serupa dan sering menggelar saya sebagai “The Pontianak Man”.

Selepas 24 jam berlalu, dengan telefon bimbit dipastikan bercas penuh, tiada satu pun panggilan atau pesanan diterima. Tiada juga esok atau lusanya, malah tiada langsung kesudahannya, kecuali hanya beberapa rakan, itu pun segelintirnya buat kali terakhir.

Sedih? Sedih jugalah tapi saya sepatutnya tertawa atas kebodohan sendiri.

Ads by Kiosked

Kini, musim pilihan raya kembali lagi dan inilah musimnya ramai yang menabur pelbagai janji – itu sudah lumrah dalam menagih sokongan di peti-peti undi. Di sebalik sedikit yang akan dikotakan, banyak lagi bakal dimungkiri.

Janji barangkali boleh dipecahkan kepada beberapa kategori. Ada janji yang dibuat sebagai tukar ganti kepada sokongan, ada yang dibuat sebagai menagih pertolongan dan tidak kurang pula dilakukan sekadar untuk mengambil hati. Jarang sekali janji dibuat atas rasa berterima kasih atau membalas budi.

Namun, semudah sesuatu janji itu dibuat, semudah itu juga ia dikhianati tanpa sedikit pun rasa bersalah atau rasa khuatir didatangkan kifarat kemudian hari.

Barangkali kepada orang politik – bukanlah semua tapi harus majoriti – lafaz janji tidak pun mengikat mereka untuk ia dipatuhi. Janji lebih besar pula lazimnya dikhususkan kepada mereka yang berjawatan, yang boleh dituntut sebarang pulangan atau ditagih suatu bentuk keuntungan.

Kepada yang lain-lain pula, ia tidak lebih sekadar halwa telinga. - FMT

Ads by Kiosked

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.