`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, July 3, 2023

Bahasa ibunda dan anak Melayu Singapura

 

Berkata Dr Mahathir Mohamad pada sidang medianya 28 Jun lalu Bahasa Melayu di Singapura sudah hilang. Anak Melayu Singapura tidak boleh bercakap Bahasa Melayu. “Mereka pergi sekolah dalam Bahasa Inggeris sahaja,” kata beliau. Benar anak Melayu Singapura cakap omputih. Ada yang fasih dan ada yang kurang fasih, tetapi untuk mengatakan mereka tidak boleh cakap bahasa ibunda mereka tidak betul.

Majoritinya bercakap Melayu meskipun selesa bercakap Inggeris. Ada juga antara mereka tidak faham beberapa perkataan dan istilah Melayu, termasuk slanga yang digunakan anak muda Malaysia. Tetapi ada juga slanga kita yang mereka turut gunakan. Ertinya mereka tahu makna slanga berkenaan (perlu dikatakan ada juga slanga mereka yang anak muda kita tidak faham). Namun secara keseluruhannya anak Melayu Singapura boleh dan masih bercakap Melayu. Ini saya nyatakan berdasarkan pemerhatian saya. My personal observation, bak kata omputih.

“Saya tidak nafikan anak keluarga Melayu Singapura khususnya generasi muda menggunakan Inggeris dalam penghidupan harian mereka instead of Bahasa Melayu. Tetapi jumlah mereka amat sedikit,” kata seorang kawan lama saya Melayu Singapura.

Katanya lagi, “cucu saya fasih berbahasa Inggeris, Mandarin, dan Perancis dan sedikit Bahasa Melayu. Ini kerana ayahnya seorang bangsa Cina yang tidak kerap cakap Melayu tapi saya atasi masalah ini dengan menyuruh anak saya cakap Melayu dengan cucu saya. Beres.”

Menurut beliau, “with all due respect Tun Mahathir is ill-informed” atau tidak mendapat gambaran sebenar apabila berkata Bahasa Melayu sudah hilang dan anak Melayu tidak boleh cakap Melayu. “Itu tak betul,” katanya.

Seorang lagi kawan Melayu Singapura menegaskan setahu beliau pemerintah Singapura tidak mengenepikan Bahasa Melayu. Sebaliknya mereka menggalakkan sekolah mengadakan Bulan Bahasa Melayu dan ini kata beliau sudah dilaksanakan sejak zaman Lee Kuan Yew.

“Dewasa ini ramai penulis terkenal kalangan orang Melayu dilantik duta Singapura ke negara luar. Umpamanya Yatiman Yusof yang akan bersara menjadi duta di negara Afrika. Beliau seorang penyair. Pengganti beliau ialah Hawazi Daipi seorang penulis pelbagai genre. Duta Singapura ke Timur Tengah ialah Zainol Abidin Rasheed,” kata si kawan lama saya.

Rasanya apa yang kawan saya ingin sampaikan ialah Bahasa Melayu terus hidup di Singapura dan penulis yang menghidupkan bahasa dihargai dan diberi pengiktirafan. Jangan lupa Perdana Menteri Lee Hsien Loong fasih berbahasa Melayu, kata beliau. Ini bagi saya kejayaan langkah ayahnya iaitu Lee Kuan Yew yang membawa guru tuisyen Bahasa Melayu ke rumahnya untuk beri kelas tambahan. Begitu menurut satu rencana yang pernah saya baca. Lee Kuan Yew sendiri boleh bercakap Melayu dengan agak baik.

Bercakap mengenai Lee Kuan Yew umum tahu beliau menganjurkan konsep Malaysian Malaysia ketika Singapura berada dalam Persekutuan Malaysia. Konsep ini tidak disenangi pentadbiran Perikatan yang tulang belakangnya Umno, pimpinan Tunku Abdul Rahman. Ini dianggap antara sebab utama perpisahan Singapura-Malaysia pada 1965. Namun akibat berpisah Singapura secara automatik menjadi republik yang merdeka. Bolehkah kita simpulkan konsep itu dilaksanakan Lee sebaik sahaja memerintah Singapura sebagai negara merdeka, walaupun tidak diumum ia konsep Singaporean Singapore? Ia kekal diamalkan sehingga ke hari ini. Bagi saya ia mirip konsep Malaysian Malaysia yang mendiang perjuangkan dahulu. Sekadar sesuatu yang bermain di minda. Tidak lebih daripada itu.

Kembali kepada ‘kebimbangan’ (atau mungkinkah ‘kesedihan’) Mahathir mengenai hilangnya Bahasa Melayu di Singapura dan anak Melayu republik itu tidak “boleh cakap Melayu langsung”. Berkata pula seorang lagi kawan lama, yang ini warga Malaysia, akan perlunya kita “look at our own backyard”. Pada penghayatan beliau ramai dalam kalangan generasi muda Melayu terutamanya anak orang berada yakni Tan Sri, Datuk Seri, jutawan, dan hartawan yang duduk di kawasan eksklusif bercakap menggunakan Bahasa Inggeris.

Kata beliau lagi, “mereka tak kenal ghazal, zapin, dondang sayang. Malah Siti Nurhaliza dan Jamal Abdillah pun mereka tak kenal.” Saya hanya mampu tersenyum. Mungkin apa yang diuar-uarkan kawan saya itu ialah kalau nak bimbang dan sedih mengenai Bahasa Melayu, eloklah tengok keadaan kita sendiri.

Berbalik kepada sidang media Mahathir yang disebut tadi. Beliau juga ada menyatakan di Singapura “apa-apa mazhab” tidak dapat layanan yang baik seperti tidak dapat biasiswa. Aneh Mahathir memilih istilah ‘mazhab’. Mungkin beliau maksudkan kaum minoriti seperti orang Melayu kerana beliau kaitkan ‘mazhab’ dengan dakwaan Bahasa Melayu sudah hilang di Singapura.

Layanan tidak baik pada hemat saya boleh disifatkan diskriminasi ke atas golongan minoriti. Apa pun dalam konteks layanan tidak baik (seperti tidak dapat biasiswa menurut Mahathir) terhadap kaum minoriti di sana adakah ia boleh disamakan dengan layanan yang diberi kepada kaum minoriti di sini? - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.